BAB 3

186 9 1
                                    


"MILI, mama dah balik!" Kedengaran suara Salina memanggil kucing kesayangannya

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

"MILI, mama dah balik!" Kedengaran suara Salina memanggil kucing kesayangannya.

"Wah, dah balik rupanya perempuan tu," bisik hati Mak Bidah ketika suara langsing Salina hinggap ke telinganya. Entah mengapa dia sentiasa gementar setiap kali berdepan dengan Salina.

Mak Bidah menelinga. Ketika terdengar bunyi langkah Salina menuju ke arah dapur, dia berpura-pura sibuk membasuh pinggan mangkuk di sinki. Malah, dia langsung tidak menoleh ketika terdengar bunyi pintu peti sejuk dibuka dan ditutup.

"Mak Dah masak apa hari ni?"

Ketika Salina menyoalnya barulah Mak Bidah berani menoleh.

"Tengah hari ni Mak Dah masak kari ayam dan bayam rebus air aje. Puan teringin nak makan apa-apa ke?"

"Tak payahlah. Aku dah makan kat luar tadi." Salina menjawab. "Orang tua tu dah makan ke?" Dia merujuk ke arah suaminya yang sudah beberapa bulan diserang strok dan hanya mampu terbaring di bilik tidur utama.

Mak Bidah mengangguk.

"Mak Dah dah bagi budak tu makan?" Mata Salina mencerun ke wajah Mak Bidah.

"Errr... kan puan yang larang Mak Dah bagi Luth makan." Mak Bidah menyahut pantas. Dia tidak mahu perbuatannya memberi Luth makan sewaktu Salina keluar ke pekan tadi terbongkar.

Salina kerut kening.

"Mak Dah tak bagi dia makan? Mak Dah nak tengok budak tu mati ke?"

Mak Bidah mula pening kepala memikirkan perangai Salina itu. Bukankah sebelum ini dia dilarang memberi Luth makan dan minum?

"Puan nak Mak Dah bawakan makanan untuk Luth?" Mak Bidah meminta kepastian.

Salina tersenyum nipis. Dia angguk.

Mak Bidah mengisi nasi ke pinggan. Selepas itu dia menceduk kari ayam ke dalam mangkuk. Luth suka paha ayam, bisik hatinya. Dia mencapai sebotol kecil air mineral sebelum menatang dulang berisi nasi dan lauk itu ke tempat Luth dikurung.

Salina mengekori langkahnya dengan ekor mata.

PEDIH di perut Luth sudah berkurangan. Dia menyandarkan badannya ke dinding sambil cuba mencari secebis ketenangan. Suatu ketika dahulu, hidupnya gembira dan ceria. Dia dilimpahi kasih sayang yang tidak berbelah bahagi oleh ibu dan ayahnya. Dia juga bersekolah sama seperti budak-budak seusianya.

Kebahagiaan keluarganya mula diuji sejak ibunya disahkan mengidap penyakit lumpuh sebahagian badan. Pelbagai ikhtiar dilakukan oleh ayahnya untuk mengubati penyakit ibunya itu tetapi satupun belum menampakkan hasilnya.

"Abang takkan berputus asa dengan Yah. Abang harap Yah jugak begitu. Jangan cepat berputus asa. Suatu hari nanti Yah akan sembuh juga." Begitulah Tuan Bahrin memujuk isterinya yang bagaikan orang yang sudah putus harapan itu.

Apa tidaknya, Puan Mariyah yang semasa sihatnya dahulu amat aktif kini terpaksa berkerusi roda untuk ke mana-mana. Malu dengan kondisinya yang tdak berdaya itu, Puan Mariyah lebih suka memencilkan dirinya dan memerap di rumah sahaja.

Keluarga mereka tetap berfungsi seperti biasa. Perhatian dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Tuan Bahrin terhadap dia dan juga ibunya tetap tidak berkurang sehingga munculnya seorang perempuan bernama Salina di dalam rumah agam itu.

Itu kisah silam, kisah dua tahun lalu iaitu ketika ibunya masih hidup dan bernafas di muka bumi ini. Kini, ibunya sudah lama meninggal dunia. Mungkin Puan Mariyah rasa dia sudah tidak diperlukan oleh Tuan Bahrin lagi lalu terus menyerah kalah. Pada suatu petang, entah macam mana dia jatuh tangga bersama-sama dengan kerusi rodanya. Kepalanya terhentak ke lantai simen. Puan Mariyah disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Sejak ibunya meninggal dunia, hidup Luth semakin tertekan. Ibu tirinya tanpa segan silu menunjukkan permusuhan dengannya. Salina tidak ubah seperti perwatakan ibu tiri yang ditonjolkan dalam filem-filem Melayu; yang berlagak baik dengannya ketika Tuan Bahrin berada di rumah dan berubah menjadi garang serta kejam sebaik sahaja ayahnya keluar daerah untuk menguruskan perniagaan.

Beberapa bulan lalu, Tuan Bahrin pula ditimpa petaka. Kalau dua tahun lalu, isterinya mengidap strok, kini gilirannya pula mendapat penyakit yang sama. Dia yang dahulunya sihat serga gagah, kini hanya mampu terbaring di atas katil. Kesan daripada penyakit itu, dia tidak mampu bertutur dengan betul. Kalau hendak ke mana-mana, dia terpaksa berkerusi roda.

Ketika itulah layanan Salina terhadap Luth semakin teruk.

"SATU... dua, tiga, empat, lima..." Sebaik sahaja figura Mak Bidah lesap daripada pandangan matanya, Salina mula mengira.

Tiba-tiba telefonnya berbunyi menandakan ada mesej yang masuk.

Lin...

Walaupun hanya tiga huruf itu sahaja yang mampu dititipkan Awaludin ke telefon bimbitnya, namun Salina tetap tersenyum bahagia. Dia sudah lama mengenali Awaludin iaitu sejak sebelum bergelar isteri kepada Tuan Bahrin dahulu. Perkataan 'Lin' itu sahaja sudah cukup menggambarkan getar perasaan lelaki itu terhadap dirinya.

Dia sengaja enggan membalas mesej Awaludin itu. Biarlah jejaka itu tertunggu-tunggu, bisik hatinya.

"Enam... tujuh, lapan, sembilan, sepuluh..." Salina terus mengira.

Beberapa ketika kemudian, telefonnya berbunyi lagi. Satu lagi mesej masuk ke telefon bimbitnya. Salina sengih. Dia menoleh ke arah skrin.

Bila agaknya kita boleh jumpa lagi?

Itulah titipan daripada Awaludin kali ini. Senyum Salina semakin melebar.

"11... 12, 13, 14, 15..."

Tanpa diketahui oleh sesiapa kecuali kedua-dua Malaikat yang mencatat amalan baik dan buruknya, Salina membandingkan Awaludin dengan suaminya yang kini hanya terkedang di atas katil. Salina terpaksa berdepan dengan kenyataan bahawa Tuan Bahrin sudah tidak mampu memberikan layanan sebagai seorang suami kepada dirinya. Hakikat yang terlalu pahit untuk ditelan oleh seorang perempuan muda sepertinya.

Dia menahan keluh.

"16, 17, 18, 19... 20. Masa dah tamat!"

Salina berhenti mengira lalu bangkit dari kerusi. Dia meninggalkan ruang dapur itu lalu mengekori laluan yang diikut oleh Mak Bidah sekejap tadi.


FOBIAWhere stories live. Discover now