Bab 5

202 7 0
                                    


"PUAN, maafkan Mak Dah ya

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

"PUAN, maafkan Mak Dah ya." Mak Bidah terus menyapa sebaik-baik sahaja kelibat Salina terfokus di matanya. Tidak dinafikan wujudnya rasa risau di hati Mak Bidah terhadap keadaan Luth yang masih terkurung di bawah kolong. Seolah-olah terdengar di telinganya jeritan Luth seketika tadi. Apakah yang terjadi di bawah sana? Apakah yang diperbuat oleh perempuan kejam ini terhadap Luth? Hati Mak Bidah jadi tidak menentu.

"Kalau nak terus bekerja di sini, jangan sekali-kali buat benda yang aku tak suka, kau faham tak? Rumah ni milik aku. Jadi suka hati akulah macam mana nak mentadbirkannya. Kau ingat mulut Ravi tu boleh dikunci ke?" omel Salina.

Mak Bidah mengangguk seperti burung belatuk.

"Mak Dah turun kejap nak ambik pinggan dan mangkuk kotor tu ya, puan." Dia sengaja mencari alasan untuk menjenguk Luth.

"Kan aku dah cakap tadi... jangan nak memandai-mandai! Kau ni tak faham bahasa ke?" sergah Salina. Matanya membuntang ke arah Mak Bidah.

Hui, seramnya aku tengok muka betina ni! Gerutu Mak Bidah dalam hati. Rasa meluat dan menyampah berbaur di sudut hati Mak Bidah terhadap Salina. Nampaknya buat masa ini, dia tidak mampu berbuat apa-apa untuk membantu Luth.

Salina mendengus. Dia sudah mula bosan memandang wajah Mak Bidah. Dia berpaling meninggalkan dapur lalu melangkah menuju ke bilik tidur tempat suaminya terbaring.

"Assalamualaikum, sayang. I dah balik ni," ucap Salina sebaik sahaja masuk ke bilik itu.

Dia tahu suaminya menyedari kehadirannya di dalam bilik itu dan turut memahami setiap patah perkataan yang diucapkannya. Hanya tubuh Tuan Bahrin sahaja yang kaku tetapi otak dan fikirannya masih berfungsi seperti biasa.

"You dah makan kan, sayang? Mak Dah suapkan you ya tadi? Sorrylah... hari ni I tak dapat suapkan you makan macam biasa. I keluar shopping tadi." Salina menoleh ke arah suaminya. Mata Tuan Bahrin tegak merenung siling yang berukir cantik.

"Kalau you nak tau, I terserempak dengan ex-boyfriend I kat pekan tadi. Tentu you masih ingat dengan Awaludin, kan?" Meluncur pengakuan itu dari mulut Salina.

Dia menoleh lagi ke arah suaminya. Dia lihat mulut Tuan Bahrin bergerak-gerak seolah-olah ingin berkata sesuatu tetapi malangnya hanya bunyi menderam-deram sahaja yang terkeluar.

Salina menghampiri katil Tuan Bahrin. Dia menyaksikan ketegangan yang wujud pada tubuh suaminya. Walaupun terkedang kaku tak bermaya tapi kau masih ada rasa cemburu jugak ya?

"Kenapa ni, sayang? You marah ke? Jangan risaulah, kami dah lama putus sejak I buat keputusan nak kahwin dengan you. I korbankan usia muda I untuk kahwin dengan you tapi you tak pernah percayakan I, kan?" Salina menghempaskan punggungnya ke atas katil.

Direnungnya wajah suami yang dahulunya gagah tetapi kini sudah berubah bagaikan mayat hidup itu. Tuan Bahrin kelihatan semakin gelisah di pembaringannya.

FOBIAWhere stories live. Discover now