Bab 10

163 8 0
                                    

"MAK Dah!!!"

Mak Bidah yang sedang membasuh pinggan mangkuk di sinki terperanjat sebaik terdengar pekikan itu. Hampir terpelanting pinggan kaca yang sedang disabunnya. Tergesa-gesa dia membasuh tangannya lalu bergegas mendapatkan Salina yang berada di belakang rumah.

Sebaik sahaja keluar, dia nampak Salina terjelepok di atas rumput karpet sambil mengongoi-ngongoi bagaikan budak kecil yang baru sahaja dimarahi ibunya.

"Puan! Kenapa ni, puan?" soal Mak Bidah sambil menapak beberapa langkah lagi ke hadapan. Ketika itulah mata Mak Bidah terpandangkan suatu benda yang sudah tentu menjadi penyebab mengapa Salina mengongoi sebegitu rupa.

"Masya-ALLAH! Siapalah yang punya kerja ni?" Mak Bidah berkeriau.

Dia turut terkejut dengan apa yang dilihatnya. Pemandangan itu cukup menakut dan mengerikan. Di atas pokok kemboja putih, kelihatan Mili, kucing Siam kesayangan Salina terjuntai dalam keadaan berlumuran darah. Leher Mili telah dikelar dan dijerut dengan tali. Kedua-dua belah mata Mili yang biru dan cantik itu telah dikorek dan dibiarkan tergolek di atas rumput.

"Turunkan Mili, Mak Dah! Turunkan Mili..." Salina mengarah.

"Eeeiii... Mak Dah tak berani."

"Aku kata turunkan Mili!" Salina membentak.

"Kejap ya, puan. Mak Dah panggil Ravi." Mak Bidah yang tidak berani hendak mendekati Mili yang sudah menjadi bangkai itu tergesa-gesa meninggalkan Salina. Beberapa minit kemudian, dia muncul semula bersama-sama Ravi.

Sementara Ravi menguruskan bangkai Mili, Mak Bidah menemani Salina masuk dalam rumah.

"Siapa yang sanggup bunuh Mili, Mak Dah? Kejam sungguh!" soal Salina.

Mak Bidah yang sememangnya tidak tahu menahu tentang kejadian itu, hanya mampu geleng kepala.

"Entahlah, puan. Mak Dah pun tak tahu siapa yang tergamak buat Mili macam tu," ujar Mak Bidah. Dalam hati dia menuduh Ravi. Entah-entah dalam keadaan mabuk samsunya itu, Si Ravi telah menyembelih dan menggantung Mili. Tetapi sudah tentulah Mak Bidah tidak berani hendak mengadukan hal yang tidak tentu kesahihannya itu kepada Salina.

"Sabarlah, puan. Mili tukan cuma binatang."

"Binatang kau cakap! Hey, kalau kau nak tahu, aku dah anggap Mili tu macam anak aku!" Salina menghentak suaranya.

"Maaf, puan." Mak Bidah menundukkan kepalanya.

"Huh! Perempuan bodoh! Dahlah, aku benci tengok muka kau. Pergilah sambung kerja kau kat dapur tu!" Salina bersuara. Kasar.

Mak Bidah tidak membalas kata-kata kesat yang dilontarkan ke arahnya. Dia meninggalkan Salina lalu melangkah laju menuju ke dapur semula. Layan pinggan mangkuk yang bertimbun kat dapur tu lagi mendamaikan daripada layan perempuan ini. Mak Bidah bermonolog.

Dalam pada itu, ingatan Mak Bidah tertumpu lagi ke arah Mili. Siapakah yang begitu kejam sehingga sanggup membunuh seekor kucing yang tidak berdosa, menjerut leher dan kemudian menggantungnya pada dahan kemboja di belakang rumah agam itu?

AWALUDIN sampai lebih kurang setengah jam kemudian setelah mendapat panggilan telefon daripada Salina. Walaupun sudah hampir dua minggu mereka menjalin semula hubungan yang terputus tetapi itulah pertama kali Awaludin menapak ke rumah Salina.

"Encik ni siapa? Kenapa nak jumpa Puan Salina?" soal Mak Bidah yang membukakan pintu untuk Awaludin.

"Saya kawan Lin. Lin yang suruh saya datang ni." Sahut Awaludin.

"Encik duduklah dulu, ya. Kejap lagi Puan Salina keluar." Setelah mempersilakan Awaludin duduk, Mak Bidah meninggalkan ruang tamu menuju ke dapur semula.

Salina muncul tidak lama kemudian. Dia duduk berlaga paha di sisi Awaludin. Kemesraan mereka berdua sudah tidak dapat dibendung lagi.

"I rasa ada orang berdendam dengan I. I takutlah, Awal." Rengek Salina. Tanpa segan silu dia merebahkan kepalanya ke dada Awaludin.

Awaludian menepuk-nepuk bahu Salina.

"Siapa pulak yang berdendam dengan you? Mungkin angkara jiran tetangga, kut? Manalah tahu kalau kucing you tu merayau ke rumah mereka dan terberak merata-rata."

"Isy, you ni! Mili tu kucing betina. Kucing betina tak keluar merayau-rayau jauh dari kawasannyalah. You tengoklah keliling rumah ni. You nampak ada rumah lain ke selain daripada rumah I?" Salina meninggikan suaranya. Badannya ditegakkan dan dia memberi jarak di antara dirinya dengan Awaludin. Dia nampak benar-benar marah kerana Awaludin seolah-olah mempersalahkan kucing kesayangannya. Seolah-olah Mili yang sengaja keluar mencari pasal.

Awaludin tersenyum. Dia mencuit dagu Salina yang sudah masam mencuka wajahnya itu.

"You pun kucing betina jugak. Tapi I tengok you selalu keluar dari kawasan you." Getus Awaludin. Suaranya sarat dengan sindiran.

Buli-buli darah menerpa ke wajah Salina. Semerta wajahnya yang cerah itu merintik merah. Dia melonjakkan badannya lalu berdiri di depan Awaludin.

"You!!!" jerkah Salina.

Awaludin terpaksa mendongakkan kepalanya untuk memandang wajah Salina. Dia tahu Salina marah dengannya, terasa hati setelah menerima gelaran 'kucing betina' seketika tadi. Tetapi, dia tidak akan sesekali menarik balik kata-katanya. Salina adalah kucing betinanya yang kini sudahpun berjaya dijinakkan.

Dia mencapai pinggang Salina lalu menariknya kuat. Salina yang tidak bersedia, jatuh tersembam ke dada Awaludin.

Mak Bidah yang baru keluar dari perut dapur dengan menatang dulang berisi minuman serta sepiring karipap, terkaku dan hanya mampu memandang kemesraan sebabak di antara Salina dengan Awaludin itu dari jauh.

Malam itu, Awaludin tidak pulang ke rumahnya atas permintaan Salina. Dan, sejak daripada hari itu, Awaludin sudah tidak segan silu lagi untuk mengunjungi rumah agam tersebut.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Para pembaca sekalian. Terima kasih kerana sudi membaca FOBIA. Untuk makluman: Novel ini sudahpun terbit. Jangan lupa untuk mendapatkannya di pasaran. #mphbookstores #bukuprima #karangkrafmall #pestabukuantarabangsa2017 #kedai-kedaibukuterpilih

FOBIAWhere stories live. Discover now