SAPTEMBER: ULAR BERGADING

707 41 13
                                    

Pernahkah anda didendangkan dengan kisah manusia yang menuntut ilmu larangan?

Grote, merupakan seorang manusia yang ditindas kerana kekurangannya. Bagi membuktikan dirinya berkuasa, Grote telah menyeru seekor makhluk kegelapan.

Ular bergading.

Grote mengaku dirinya sebagai pewaris makhluk seruan itu.

Malangnya, makhluk itu bertindak buas dan di luar kawalan. Ia dambakan santapan daging manusia. Bukan sebarang manusia, akan tetapi manusia yang-

"Ambik ni."

Dengan angkuhnya Melanie melemparkan pakaian kotornya pada Cassidy. Bakul baju dicampak pula pada adik angkatnya sehingga terhentak pada dahi.

Darah kelihatan mengalir.

Cassidy hanya berdiri tertunduk menahan pedih pada dahi dan juga hatinya. Sedar dirinya hanya duduk menumpang. Nak lawan balik? Jangan haraplah. Cassidy baru sahaja berusia 11 tahun. Melanie pula sudah menginjak di alam remaja. Berusia 17 tahun.

"Apa terpacak lagi?! Berambuslah!"

Melanie mengherdik! Jarinya ditunding pada pintu menuju ke bilik bawah tanah di mana aktiviti mendobi dilaksanakan.

Kelam-kabut Cassidy mengutip pakaian-pakaian kotor yang telah tersarung pada tubuh Melanie dan dimasukkan ke dalam bakul baju.

Melanie menghembuskan nafas dengan kasar seusai Cassidy melangkah turun ke bilik bawah tanah. Punggungnya kemudian dihempaskan pada kerusi sofa.

"Besar betul pangkat. Orang lain basuhkan baju kau. Kau betul-betul buat dia macam hamba."

Ujar Janet sambil mengunyah biskut. Sejak tadi hanya duduk menonton adegan membuli Melanie.

"Ayah aku bodoh. Entah anak sundal mana dia kutip bawak balik."

Melanie meluahkan rasa benci pada sahabatnya yang datang melepak.

"Kau buli dia, ayah kau tak marah?"

"Ayah aku tak ada,aku hentamlah dia. Bodoh! Tak nak mengadu siapa suruh?"

Melanie memutarkan bola matanya.

Janet tertawa mendengar bait kata Melanie.

"Untunglah, kau ada orang nak buat hamba. Aku ni tak ada."

"Cassidy tu ada. Kau suruh lah dia buat apa-apa."

"Nak dia urutkan kaki akulah. Boleh?"

Janet tertawa.

"Aku memang gunakan dia untuk buat servis mengurutpun."

Melanie tersenyum sinis.

"Kau bergurau?"

Biji mata Janet terbuntang luas.

"Cuba fikir. Mana aku dapat duit? Ayah aku miskin."

Melanie menjongketkan keningnya dengan raut wajah angkuh.

"Hebatlah kau!"

Si sahabat bersorak riang!

"Nanti aku belanja kau. Jangan risau."

"Yay!"

Sedang mereka asyik ketawa tiba-tiba jeritan seorang gadis kedengaran dari bilik bawah tanah.

Mereka tersentak dan berpandangan sesama sendiri. Terasa meremang bulu roma.

"Suara Cassidy."

Wajah Melanie memucat.

"Pergilah tengok. Apa-apa jadi nanti, nak jawab apa dekat ayah kau?"

Janet menolak bahu sahabatnya.

Melanie akur. Terus mereka melangkah turun ke bilik bawah tanah. Lampu pelita dicapai.

"Cassidy?"

Melanie meneguk air liur saat melangkah turun. Janet hanya sekadar mengekor Melanie.

Dua orang sahabat tersentak!

Jantung berdegup kencang saat terlihat pakaian yang bersepah di atas lantai kayu dengan bantuan cahaya lampu pelita.

Cassidy tidak kelihatan.

Tiba-tiba, bunyi ular berdesis memecahkan kesunyian.

Kuat bunyinya.

Wajah janet terus memucat. Makhluk itu betul-betul berdiri di belakang sahabatnya.

"Mel..mell.."

Janet gugup.

Melanie membatu tidak berani untuk menoleh.

Kelihatan seekor ular gergasi yang memiliki taring sebesar gading gajah di belakang tubuh Melanie.

"Melanie!!!"

Sekelip mata ular bergading itu membaham tubuh Melanie!

Darah dan serpihan daging tersembur dan hinggap pada wajah Janet!

Dalam ketakutan yang melampau Janet berlari keluar!

Terus meninggalkan kediaman tersebut.

Ruang dobi bawah kekal sepi dan suram.

Seketika kemudian, makhluk ular bergading dan juga segala percikkan darah dan daging lenyap di sebalik kabus hitam. Segala bukti kekejaman lenyap.

"Ayah dah balik."

Edwin bersuara di muka pintu.

"Selamat pulang ayah!"

Cassidy terus mendakap tubuh ayahnya erat.

"Mana Melanie?"

Si ayah tersenyum.

"Melanie kata dia ada hal. Mungkin balik lambat."

Cassidy bersuara riang. Tersenyum manis di dalam dakapan ayahnya. Tiada lagi penderitaan.

Ya, Melanie mungkin akan pulang lambat. Dalam erti kata lain tidak akan kembali.

Ular bergading dambakan santapan daging manusia. Bukan sebarang manusia. Namun, manusia yang menindas tuan pewarisnya.

 Namun, manusia yang menindas tuan pewarisnya

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Antologi Fiksyen MikroWhere stories live. Discover now