fiirooustea: Terbakar! Iskandariah, Terbakar!

196 9 0
                                    


Angin sejuk mencucuk sampai ke tulang. Seperti biasa, malam ini aku meronda tapak pembinaan. Sesekali bunyi berkeriut memecah kesunyian apabila aku terpijak serpihan batu.

Dari jauh, kelihatan seorang lelaki terhuyung-hayang sambil memegang sebekas amfora. Jambangnya basah.

"Strabo, apa kau buat di sini?" Aku berlari mendapatkannya.

"Lihatlah, Pilis. Semuanya sudah menjadi debu." Lelaki itu memukul-mukul tanah sehingga baju toga yang dipakai terlucut ke bawah bahu.

"Sudahlah Strabo..." Aku membetulkan toga temanku itu. Hampir saja terlondeh.

Bau arak membuat aku menggerenyet. Lantas amfora di tangan Strabo aku rampas. Tindakanku itu membuatkan lelaki itu meronta. Akibatnya, bejana tanah liat jatuh berderai.

"Mari aku hantar kau pulang."

Dalam keadaan bergelut, aku memapah sahabat lamaku itu. Jelas dia masih marah kerana aku memecahkan bekas araknya.

Bukan mudah untuk memapah Strabo yang bertubuh gempal. Tambahan pula, kesan Perang Iskandariah masih jelas. Jika tidak berhati-hati, kami boleh tercedera.

Di segenap penjuru ada kesan runtuhan. Sambil sebelah tangan memaut kemas badan Strabo, sebelah tangan lagi aku gunakan untuk menyuluh jalan. Cahaya daripada serpihan marmar putih melantun apabila disuluh dengan jamung. Pada masa yang sama, bayu laut membawa bau terbakar yang masih bersisa.

"Bawa aku ke pelabuhan," Strabo tiba-tiba bersuara. Dia kini sudah tenang.

"Demi tuhan Serapis, aku tidak akan mengganggu kerja pembinaan lagi jika kau bawa aku ke pelabuhan."

Sumpah itu membuat bulu romaku meremang.

"Jangan bermain dengan tuhan Serapis, Strabo. Kau akan dihukum jika tidak menunaikannya."

Lelaki itu ketawa mendengar peringatan aku. "Iyalah teman... aku tahu. Walaupun mabuk, aku tak akan bermain-main dalam hal ini. Siapa yang berani melawan penjaga Kuil Serapeum?."

Setelah berfikir seketika, aku akhirnya bersetuju dengan permintaan Strabo. Sumpah itu aku pegang. Bukan apa. Aku sudah tidak sanggup lagi menghadapi kerenah manusia-manusia pelik seperti Strabo. Cendekiawan-cendekiawan yang berdukacita, para pendeta Yahudi yang hendak mengkaji Septuagin, pelayar-pelayar yang hendak melihat keagungan Mouseion.... Aku boleh jadi gila kalau setiap minggu perlu menghadap wajah muram mereka di tapak pembinaan.

"Hantu!"

Lamunanku terhenti.

"Cahaya apa itu?" Strabo menggeletar ketakutan.

Aku ketawa terkekeh-kekeh. "Bertenanglah! Itu cuma cahaya dari rumah api Pharos."

Mendengar hal itu, Strabo menapak ke hadapan untuk melihat dengan lebih jelas. "Aaahh! Sungguh cantik! Aku rasa....aku rasa hendak melayang di udara...."

"Dan aku rasa lebih baik kita balik sekarang." Aku memotong kejam khayalan itu. Ternyata golongan cendekiawan seperti Strabo sama sahaja dengan orang lain ketika mabuk.

"Sahabatku Pilis, kau perlu pastikan Mouseion yang baru setanding dengan yang lama."

Strabo tiba-tiba mengubah topik.

Aku tidak pasti arah perbualan ini, tapi akulayankan saja. "Jangan bimbang. Aku mampu membina bangunan sepuluh kali lebihcantik, lebih besar daripada perpustakaan lama itu. Kau lihatlah nanti...yapegang aku kuat-kuat, Strabo....Aku akan bina lebih banyak dewan dan bilikperbincangan. Semua kemasan akan ditambah baik. Pada waktu itu, orang ramaiakan berpusu-pusu semula ke Iskandariah."

Strabo menggeleng lemah. "Ini tiada kaitan dengan kemahiran kau, Pilis."

Matanya berkaca. "Ilmu yang pernah ada sudah musnah. Sedangkan tuhan Serapispun gagal melindungi Mouseion. Sama ada kau, Caesar, mahupun Ratu Cleopatra....tiada siapa dapat menggantikannya."

-Tamat-

Antologi Fiksyen MikroWhere stories live. Discover now