SuriMawarneKaidar: CINTA DATE PLANNER

368 23 4
                                    

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.


"Kenapa Encik Ammar tidak berterus terang dengan saya?" Lembut suara Amelia, menahan geram. Sesekali Amelia mengurut dahi. "Semenjak bila pula Encik Ammar jadi bapa tunggal dan ada lima orang anak? Bila?" Mata pen diketuk-ketuk ke atas helaian kertas yang penuh dengan contengan.

Namun begitu, lelaki di hujung talian hanya tertawa. Menambahkan marak api kemarahan Amelia.

"Dua pertemuan sebelum ini berjalan dengan lancar. Mengapa pula timbul cerita begitu? Bukankah Encik Ammar kata, mahu melamar Cik Nana dalam masa terdekat?"

Lelaki itu masih ketawa.

"Encik Ammar sangka ini semua gurauan?" Amelia cuba mengekalkan keprofesionalannya, tetapi klien ini benar-benar menguji kesabaran.

"Saya tidak bergurau."

"Habis tu, betullah cerita yang Nana sampaikan kepada saya?" Nada suara Amelia semakin meninggi.

"Bila Nana beritahu awak?"

"Tengahari tadi dia datang ke pejabat, maki hamun saya."

Gelak tawa di hujung talian semakin galak. Urat-urat di dahi Amelia pula timbul. Perbualan itu semakin menjengkelkan. "Encik Ammar, jika encik tidak serius dengan urusan kita, saya boleh tamatkan semua ini. Encik boleh cari orang lain untuk uruskan hal encik."

Hampir sahaja Amelia memutuskan talian, apabila Ammar berkata, "Saya minta maaf. Ada sebab saya perlukan bantuan awak"

"Jelaskan."

"Eh, saya ada mesyuarat sekarang. Petang ini saya singgah di pejabat Cik Amelia. Kita sembang nanti."

Talian diputuskan. Amelia hanya mampu memejamkan mata dan mengetap gigi. "Sabar Amelia, sabar...."

++++

Petang, bayang Ammar langsung tidak kelihatan. Fail profil Ammar hampir sahaja hendak dicop besar-besaran, 'Blacklist!', apabila ada mesej masuk; 'Mohon maaf sekali lagi. Mesyuarat saya baru berakhir. Apa pun, saya ingin Cik Amelia maklum, saya serius mencari isteri yang sedia bersama dalam susah dan senang.'

'Berbohong bukan caranya'.

'Saya mengaku saya silap. Apapun, saya tidak mencari teman berlibur, yang mahu segalanya terhidang dalam dulang emas. Seorang yang lebih peduli berapa gaji saya. Seorang yang dalam pertemuan kedua, sudah menggesa saya menukar kereta baru jenama luar negara'.

'Cerita perihal lamaran itu pun tipu sahaja?'

'Saya sengaja mahu menguji. Tidak sangka pula dapat membuka hijab, perangai sebenar seseorang.'

'Saya betul-betul marah dengan Encik Ammar. Kalau encik ada di hadapan saya, mahu sahaja saya luku kepala encik. Bukankah telah saya berikan syarat tiga kali pertemuan? Jika tidak serasi, kalian boleh tamatkan begitu sahaja. Tidak semestinya setiap pasangan berakhir di jinjang pelamin!'

'Oh, ada ya klausa begitu dalam kontrak?'

'Ya Tuhan, kenapalah kau temukan daku dengan klien sebegini?' Amelia menghantuk kepala ke meja. "Sakit jiwa layan orang sebegini!"

'Sakit tak kepala tu?'

"Huh?" Cepat-cepat Amelia mengangkat kepala dan menoleh ke sekeliling. Pandangannya cepat menangkap kepada seorang lelaki di luar dinding kaca pejabat kecil Amelia. Pejabat itu terletak dalam sebuah kompleks yang menempatkan ratusan syarikat kecil yang lain.

Ammar tersengih-sengih sambil mengambil tempat di sofa comel milik Amelia. Lelaki itu hanya berpakaian kasual baju-t dan seluar jeans. Langsung tidak kelihatan seperti seorang yang bekerja di pejabat.

Lelaki itu dipandang atas bawah. Soal Amelia, "Bukan tadi Encik Ammar kata ada mesyuarat?"

"Baru sahaja selesai." Lelaki itu menjadikan diri sendiri selesa di atas sofa. Bantal hiasan bercorak geometri dipeluk erat.

Amelia mengecilkan mata sambil mengambil tempat di sofa sebelah Ammar. "Mesyuarat di mana?"

"Mesyuarat online sahaja. Pejabat saya di tingkat dua."

"Huh?"

"Jom kita minum." Jeda, "Oh ya, saya dah hantar gambar ibu dan anak lima itu ke telefon awak."

Berubah wajah Amelia melihat gambar yang baru sahaja dihantar oleh Ammar. Bantal kecil di atas sofa, dibaling ke arah Ammar. Dia menjerit, "Ini gambar kucing!"


Antologi Fiksyen MikroWhere stories live. Discover now