PROLOG 1

13.5K 107 4
                                    

PROLOG 1

Tahun 2008

SARI pernah dengar cerita, yang hutan bersebelahan vila milik nenek moyang keluarganya itu ada 'penunggu'. Tapi bukan itu sebabnya dia berat hati untuk pulang. Dia ada tiga sebab, tapi dia tahu tiada gunanya dia senaraikan sebab-sebab itu kepada mama dan papa. Mereka tidak akan faham.

Vila Mandura mula jelas kelihatan dari sebalik dedaun pokok yang menjalar tinggi sebaik saja kereta yang dipandu papa membelok masuk ke pekarangan rumah. Ketika brek tangan ditarik dan enjin dimatikan, Sari sedar sudah tiada jalan keluar untuknya lagi.

Tanpa mengalih headphone yang menutup gegendang telinga, Sari mendongakkan kepala dari tempat duduk belakang kereta untuk melihat ke luar. Kali terakhir dia datang ke situ sewaktu dia berumur sepuluh tahun, dan sekarang dia ke situ lagi setelah lima tahun berlalu. Vila itu masih kelihatan sama. Halamannya bersih dari daun-daun kering yang gugur hasil jagaan Mak Edah. Suasana sekitarnya tetap sunyi bagaikan berada di satu tempat yang jauh dari kediaman manusia yang lain.

Sedang berdiri di bawah sebuah pokok berakar besar yang dekat dengan hutan ialah Ghazi, anak Mak Edah. Walau cermin kereta diwarnakan gelap, Sari perasan ekor mata lelaki itu sedang mengerlingnya.

Cermin tingkap kereta yang diketuk dari luar buat Sari tersentak. Mama beri isyarat supaya dia turun. Sambil melepaskan satu dengusan, Sari menolak daun pintu dan keluar dari kereta.

"Yang lain semua dah sampai. Angkat beg dan masuk dalam," arah Suria lalu bergerak ke belakang kereta untuk mengeluarkan beg pakaian.

Sari memerhati kereta-kereta yang terparkir di halaman rumah. Termasuk kereta papa, ada empat buah lagi kereta yang lain. Satu kereta Pak Long Wahab, satu kereta Pak Lang Ubai, satu kereta Mak Su Nuri, dan satu kereta atuk dan nenek. Memikirkan apa yang menunggu di dalam rumah, hati Sari meronta-ronta untuk masuk semula ke kereta dan memandu pergi sejauh yang mungkin.

"Sari!" Suria memanggil lagi apabila anak tunggal perempuannya itu terus tercegat di tepi kereta.

Sari menoleh ke arah mama yang sudah berdiri di pintu rumah.

"Kenapa berdiri lagi kat situ? Cepat angkat beg!"

Satu lagi dengusan dilepaskan Sari sebelum dia bergerak ke belakang kereta. Begnya sendiri dikeluarkan dari but kereta.

"Papa tahu Sari tak suka datang sini, tapi cuba tunjuk muka manis, okey?" Suara papa lembut memujuk dari sebelah. Sebaik saja semua beg dikeluarkan, but ditutup.

"Dia orang semua tak suka Sari. Macam mana nak tunjuk muka manis?" rajuk Sari tak puas hati. Dia ingat lagi lima tahun lalu dan lima tahun sebelumnya ketika dia datang ke sini, tiga sepupunya yang lain seakan-akan berpuak dan sengaja memulaukan dia. Dan dalam fikiran seorang budak berumur lima tahun sepertinya dulu, mereka semua tak suka dan tak mahu berkawan dengannya.

Ya, mereka bertigalah sebab kenapa dia tak mahu datang ke vila itu lagi.

"Benda tu dah lama, Sari. Mungkin dia orang dah berubah dan nak berkawan dengan anak papa yang comel ni?" usik Faisal sambil mencuit pipi anaknya.

Sari tersenyum malu. Harap-harap apa yang papa cakap tu betullah.

"Jom, kita masuk. Semua dah tunggu tu."

Sari menarik nafas dalam-dalam sebelum mula melangkah menuju ke pintu utama. Dan ekor mata Ghazi yang masih berdiri di bawah pokok itu terus mengekori gerak-gerinya.

SUDAH menjadi tradisi dalam keluarga Tuan Haji Tajudin untuk mereka berkumpul di Vila Mandura setiap lima tahun. Vila yang terletak di birai Hutan Baria menjadi tempat mereka sekeluarga menghabiskan masa bersama selama tiga hari, sebelum masing-masing pulang ke dunia kota semula dan menjalani kehidupan seperti biasa.

NAFSUWhere stories live. Discover now