PROLOG 2

5.2K 66 2
                                    

Tahun 2013

Lima tahun kemudian

SELESAI makan malam, Suria dan Faisal masuk ke bilik dan tidak menunjukkan muka mereka lagi. Selepas kehilangan Sari, apa-apa saja yang berkaitan dengan Hutan Baria hanya menambahkan sengsara di hati masing-masing. Mereka memutuskan untuk datang ke Vila Mandura pun kerana menghormati tradisi keluarga Tuan Haji Tajudin.

Nas duduk di sofa ruang tamu yang menghadap ke cermin tingkap yang besar. Tidak seperti lima tahun lepas, cuaca malam itu tenang tanpa kilat dan guruh.

"Nas."

Nas menoleh apabila terdengar Waji memanggil. Tanpa sempat dia jawab apa-apa, Waji dan Umai sudah pun duduk di sebelah kiri dan kanannya.

Umai memastikan tiada yang mendengar sebelum bersuara. "Kau fikir apa?"

Nas diam. Namun matanya terus menghala ke arah hutan yang gelap dan menakutkan di luar.

"Kita berdua tahu apa yang dia fikirkan, Mai," jawab Waji bagi pihak Nas.

"Kau rasa dia..." Umai berhenti bercakap apabila perasan ada kelibat yang tiba-tiba melintas dari arah tangga untuk ke dapur. Siapa lagi kalau bukan Ghazi, anak Mak Edah. Dia perasan yang Ghazi ada menoleh sekilas ke arah mereka sebelum kelibatnya hilang di sebalik pintu dapur.

Waji dan Nas saling berpandangan. Seolah-olah bercakap dalam diam tanpa menggunakan kata-kata.

"Kau rasa dia masih hidup?" Umai menyambung soalannya, perlahan.

"Mungkin ya, mungkin tak," jawab Nas. "Tapi aku rasa lebih baik tak."

Waji menyenggol lengan Nas. "Kenapa kau cakap macam tu?"

"Yalah, kalau dia hidup lagi, ada kemungkinan yang dia akan balik semula. Kalau dia balik semula dan cerita apa sebenarnya yang jadi malam tu, habislah kita bertiga," bisik Nas. Ya, dia memang harapkan yang Sari sudah pun mati. Hanya dengan cara itu dia tidak perlu hidup dalam ketakutan.

Umai dan Waji diam, terus merenung ke arah hutan yang mungkin ada jawapan kepada satu soalan: adakah Sari masih hidup?

NAFSUWhere stories live. Discover now