BAB 5

539 3 0
                                    

DALAM GRAB…

“Dia cantik sangat bang!” puji pemandu Grab itu pada Ray, setelah dia memandu beberapa meter melepasi rumah Mutiara Arabella.

“Owh, yeah! Memang cantik!” akui Ray.

Tak dapat dinafikan, kecantikan Mutiara Arabella memang sangat rare, hingga mampu memukau sesiapa saja yang memandangnya.

Jangan kata lelaki-lelaki di kelab malam, sekarang pemandu grabnya pun turut angaukan kecantikan gadis itu.

“Hebat abang berlakon. Sampai macam tu sekali abang cuba nak pikat dia ya?” ucap pemandu itu lagi.

“Apa boleh buat, bukan senang nak pikat sesetengah gadis,” kata Ray, seraya mengukir senyum senget di bibirnya.

Komennya itu turut mengundang tawa halus dari pemandu grab tersebut. Kemudian, masing-masing selesa mengunci mulut. 

Ray mengimbau semula pertemuan dia dan Mutiara Arabella sebentar tadi.

Mujur semuanya berjalan seperti yang dia rancang. Ya, dia rancang pertemuan itu! Selepas Mutiara beredar dari kelab semalam, Ray menyusul dari belakang selang beberapa minit.

Fauzan pula, dia tinggalkan begitu saja. Pandai-pandailah Fauzan balik sendiri. Lagipun, Fauzan lelaki. Tak ada apa yang perlu dia risaukan.

Cuma, apabila mereka berjumpa nanti, pasti bernanah telinganya mendengar caci hamun yang keluar dari mulut sepupunya itu.  

Tapi, Ray tak kisah. Apalah sangat caci hamun Fauzan kalau nak dibandingkan dengan misi yang sedang dia jalankan.

Demi Mutiara Arabella, sanggup dia ekori kereta Aqlan hingga ke rumah. Sebab itu, dia tahu di mana gadis itu bermalam.

Kemudian, dia pulang dan tidur di rumah seperti biasa. Pagi ini pula, seawal jam enam pagi Ray sudah bangun untuk menjejaki Mutiara sekali lagi. 

Berbekalkan pengalamannya di England dulu, Ray boleh agak Mutiara hanya akan keluar dari apartment lelaki itu seawal jam tujuh atau lapan pagi kerana waktu itu merupakan waktu yang paling munasabah untuk para gadis beredar dari kediaman one night stand mereka.

Dan, terbukti telahannya benar. Sengaja dia tempah Grab dari rumah, dan arahkan pemandu ini tunggu di sekitar kawasan apartment yang gadis itu diami. 

Mujur, tempahan Grab dari Mutiara dapat ke tangan pemandu Grabnya setelah dia jadikan lokasi apartment itu sebagai tempat turunnya.

Jadi, tiada istilah double book sebenarnya apabila dia sudah rancangkan perkara ini dengan persetujuan pemandu Grab tersebut. Kedengaran pelik, namun tiada yang janggal dan mustahil atas nama cinta. 

“Bang, kita dah sampai!” Lamunan Ray tercantas dengan gema suara pemandu itu. Pantas, dia jengah ke luar tingkap. 

“Orait, terima kasih banyak-banyak! Nah, duit kopi.” Ray kenyit mata usai pemandu itu menyambut huluran wang yang dia berikan. 

Selain duit tambang perjalanan, dia selitkan juga sedikit imbuhan sebagai tanda terima kasih kerana pemandu itu sudi menjayakan rancangannya.

Kalau tidak, mustahil dia dapat duduk bersama dengan Mutiara di dalam satu kereta pagi ini.

Keluar saja dari kereta, Ray bergegas atur langkah ke depan muka pintu. Pantas jarinya menekan loceng rumah beberapa kali. 

“Hah, ingat pulak kau nak cari aku pagi ni kan?!” Muka cemberut Fauzan menyambutnya, usai pintu utama rumah mama dibuka. 

“Rilekslah bro! Tak jantanlah kalau kena tinggal pun dah bising macam murai,” sindir Ray selamba, seraya melangkah masuk ke dalam rumah tanpa rasa bersalah sikit pun. 

“Mama mana?” soal Ray, usai dia labuhkan punggung di atas sofa.

Wajah masam sepupunya itu dipandang sekali imbas. 

“Kau cari sendiri,” kata Fauzan seraya mula hayunkan kaki untuk beredar.

Malas dia mahu menunggu di ruang tamu bersama Ray. Pandai-pandailah lelaki itu cari mamanya nanti. Bukan Ray tak biasa berkunjung ke sini. Selalu!

Ada-ada saja yang lelaki itu mahu bincangkan bersama mamanya. Bila ditanya, tiada satu maklumat pun yang sudi mereka kongsikan. 

“Merajuk?” usik Ray bersama tawa besar.

“Blahlah kau!” tempelak Fauzan kuat.

“Sorrylah, aku bukan sengaja nak tinggalkan kau malam tadi. Ada kerja penting sikit!” laung Ray kuat, kerana kelibat Fauzan semakin menjauh. 

Fauzan mengangkat ibu jari, tanda dia terima permohonan maaf sepupunya itu. Ray pun dah minta maaf, tak guna dia mahu panjangkan rajuk.

Bukan bersikap seperti perempuan, namun adakalanya Ray terlupa walaupun lelaki… dia juga punya perasaan. Kerap benar Ray jadikan dia seperti tunggul.

Kadang-kadang, terasa digunakan oleh sepupunya itu untuk kepentingan sendiri. Namun, kerana talian darah yang mereka miliki, dia terima saja perangai Ray baik atau buruk. 

Mustahil untuk dia terasa hati lama-lama dengan Ray, kerana lelaki itu tak akan berada di Malaysia dengan lama.

Tahu-tahu saja nanti, sudah pulang ke England semula. Jadi, sementara dia punya kawan gaduh ini, layankan sajalah perangai sepupunya itu. 

“Ray! Dah lama sampai?” tegur Pn. Sheena, yang baru muncul dari arah dapur.

“Baru je mama. Mama masak ke?” Ray bangun dari sofa dan mula dapatkan mamanya yang berdiri di tengah ruang tamu. 

“Haah, mama masak nasi goreng. Jom makan!” ajak Pn. Sheena teruja.

“Jomlah, Ray pun lapar dah ni. Fauzan tak makan sekali ke?” 

“Budak bertuah tu, tak payah ditanya. Pagi-pagi ni, memang dia layan mata je,” ujar Pn. Sheena seraya menggeleng kepala beberapa kali, bila teringatkan perangai anak sendiri. 

Mereka sama-sama beriringan ke meja makan. Ray duduk di kerusi, ralit meneliti skrin telefon pintarnya sementara Pn. Sheena menyenduk nasi ke dalam pinggan. 

“Macam mana, Ray? Semua okay ke?” tanya Pn. Sheena, sejurus dia serahkan pinggan berisi nasi goreng buat anak saudaranya. 

“Okay je, mama!” Ray kenyit mata serta hadiahkan senyum manis buat mamanya.

#AnisAshikali
#MutiaraMilikEdewards
#ReadyEbook

Yang berminat nak beli ebook ni, boleh pm saya di 0187909216. ♥️🥰

MUTIARA MILIK EDWARDSWhere stories live. Discover now