DI SETIAP JANJI SI DIA - Bab 4

22 0 0
                                    

"MAKCIK buat apa?" soalku kepada Makcik Suraya. Nampak dia begitu sibuk.

"Karipap."

Jawapan itu amat ringkas namun aku faham. Makcik Suraya sebenarnya sesekali mengambil upah membuat kuih-muih. Macam-macam jenis kuih tradisional atau moden, Makcik Suraya pandai membuatnya. Kadang-kadang tidak menang tangan jika tempahan bertalu-talu masuk.

"Mari Iman tolong." Aku menawarkan diri.

Aku memang suka jika dapat menolong Makcik Suraya. Hilang rasa tekanan dengan kerja-kerja pejabat yang menekan otak aku. Badan dan otak rasa ringan dan rilex. Ya, aku suka berehat dengan cara begini.

Doh yang sudah dicanai dan dibahagikan kepada beberapa doh kecil aku capai. Menekan-nekannya bagi membentuk bulatan. Mengambil inti dan meletakkan ke dalam bulatan doh di telapak tanganku. Cepat dapat kusiapkan satu bentuk karipap. Mungkin kerana sudah biasa menolong Makcik Suraya.

Aku meletakkan karipap yang telah dibentuk di atas talam bersama deretan karipap mentah yang Makcik Suraya sudah siapkan. Aku suka dengan kerja sebegini.

"Hari ini Arul ada balik kan Iman?" soal Makcik Suraya.

Dia sedang ligat mengelim kulit karipap. Sesekali dia mengangkat mukanya memandang aku. Aku menganggukkan kepala sambil tangan masih juga ligat menolong. Sudah beberapa biji karipap yang telah aku kelim kulitnya. Rutin ini telah menjadi kebiasaan bagi aku. Itu pun jikalau aku dapat bercuti dan meluangkan masa balik ke kampung. Sesuatu rutin yang tidak akan aku lepaskan melakukannya.

Karipap buatan Makcik Suraya memang tiada tandingannya. Sedap. Biasanya aku tak akan mengira berapa biji sudah aku makan. Iyalah, takkan nak mengira kalori yang masuk ke perut pula, kan? Hisss hisss tak sanggup aku mengiranya. Namun aku sanggup sahaja menelan tiap biji karipap Makcik Suraya.

"Iman perasan tak?"

"Apa dia makcik?"

Pelik dengan soalan Makcik Suraya. Perasan apa ya? Ada yang aku terlepas pandang ke? Aku mula mengerutkan dahi.

"Zarul makin jarang balik ke sini."

Makcik Suraya memberitahu satu kenyataan. Kenyataan yang sememangnya aku ketahui.

Aku tidak menjawab. Mememangnya aku tidak mahu menjawabnya. Hanya hati yang berkata-kata. Kenyataan yang bukan sahaja aku perasan malahan aku pendam selama ini. Bertahun sebenarnya aku pendam.

Zarul bukan lagi adik kecilku yang dulu. Dia telah dewasa dengan caranya yang tersendiri. Makin menginjak usia, dia makin pendiam. Dia makin menyendiri. Malahan makin kurang bercakap dengan aku. Aku menelan segala rasa sunyi tanpa adik yang dulu. Kenapa? Tiada jawapan bagi persoalan itu sebenarnya. Aku reda dan pasrah.

"Perasan tak?" soal Makcik Suraya lagi.

Cepat-cepat aku menggelang sambil tersenyum. Sengaja sembunyikan sesuatu itu. Yang pahit!

"Iman kan tiada di rumah juga. Kerja dan kerja. Tak sempat nak perasanlah makcik tentang Zarul ni balik atau tak." Sehabis baik aku cuba membuatkan Makcik Suraya tidak akan mempersoalkan tentang perkara itu lagi.

Makcik Suraya mengangguk. Aku menarik nafas lega.

"Dia pun makin kurang bercakap. Lebih-lebih lagi dengan Iman. Yang itu, Iman perasan tak?"

Aku mengeluh di dalam hati. Jika Makcik Suraya pun boleh perasankan perkara itu, aku tentu lebih lagi. Namun cepat-cepat juga aku menggeleng.

"Iman tak perasanlah makcik. Rasanya Arul masih macam biasa." Jawapan paling selamat aku berikan

"Tak apalah macam tu. Mungkin perasaan makcik saja. Apa-apa pun makcik harap hubungan kekeluargaan antara Iman dan Zarul tidak akan terputus sampai bila-bila." Makcik Suraya nampaknya sedaya-upaya menyelitkan nasihat dalam setiap perbualan.

Aku hanya mampu senyum dan mengangguk. Hati ini? Sakit dan berdarah.

NAMA YANG DISIMPAN DALAM HATIWhere stories live. Discover now