Bab 6

8K 594 11
                                    

KERTAS panduan solat itu dipegang oleh tangan kanannya sambil dia baca doa iftitah yang sudah dihafal tanpa melihat kertas tersebut. Sebutannya yang tidak jelas kemudian dibetulkan oleh Rinne. Lega hati Adel memiliki rakan yang sudi ingin mengajarnya.

"Wah! Kau dah hafal semua bacaan solat, surah pun dah. Alhamdulillah lepas ini kau dah boleh solat guna surah-surah yang diajar." Rinne menepuk bahu kanan Adel tanda bangga dengan usaha rakannya itu.

Kelopak mata Adel sudah menakung air mata yang hangat namun apakan daya air mata tersebut sudah pun jatuh membasahi pipi. Hatinya sungguh terharu dengan usaha yang telah dia lakukan. Walaupun orang lain sudah diajar untuk solat ketika kecil namun dirinya baru belajar solat ketika sudah mencecah usia 21 tahun. Baginya, tidak terlambat untuk dia belajar kembali ke jalan Allah. Jika keluarga tidak pernah mengajarkan dia ilmu agama maka dia akan mencarinya bersama-sama rakan yang sanggup menjadi tempat sandaran dan juga menjadi 'ibu' yang mengajari ilmu agama.

"Aku gembira sangat walaupun aku sepatutnya belajar lebih awal tapi aku gembira sebab aku tak terlambat untuk belajar." Adel tersedu-sedan. Tubuhnya dipeluk erat oleh Rinne.

Dengan perlahan tubuhnya dielus bagi menenangkan emosi yang sudah terlarut sedih.

"Kau tahu tak yang aku bangga dengan kau sebab tak putus asa walaupun iman naik turun..." bisik Rinne kemudian air mata Adel diseka olehnya.

Rinne kemudian meminta izin untuk beredar kerana dia mempunyai kelas sebentar lagi. Adel pula pergi mengambil air wudhu untuk membaca al-Quran untuk mengisi waktu luangnya.

Ketika dia keluar dari bilik mengambil wudhu, satu alunan suara yang membaca al-Quran dengan sempurna terdengari. Hatinya tersentuh mendengar bacaan yang begitu sempurna dan mendayu-dayu itu. Dengan rasa ingin tahu, langsir diselak sedikit dan dia mencuri lihat siapakah gerangan tuan badan yang memiliki suara yang hebat itu.

Tak berkedip matanya apabila melihat Nadeem Amsyar. Rupanya sang pemilik suara merdu itu dia. Satu garisan senyuman melingkari bibir.

"Masya-Allah, kenapalah awak ini menarik sangat," lirihnya.

Nadeem seolah-olah mendengar satu suara namun ketika dia menoleh ke belakang hanya ada beberapa orang yang sedang berehat. Suara yang samar-samar tadi diabaikan olehnya.

JAM menunjukkan pukul 4:25 petang. Adel dengan segera memandu pulang ke rumah. Tiba di rumah, dia terus masuk ke dalam biliknya. Puan Merlyna pula sibuk menonton filem bersama Encik Aryan di ruang tamu.

Mata Adel kini tertumpu ke arah lukisan kanvas yang dihadiahkan oleh Nadeem. Sarung lukisan kanvas itu dibuka kemudian lukisan tersebut diletakkan di atas meja. Sebuah buku yang berada di dalam sarung kanvas itu dikeluarkan.

"Kenapa tak perasan pun ada buku ini? Dia bagi buku apa ni?" Adel tertanya-tanya

Buku tersebut diambil dan dia terus menghempaskan tubuh ke atas katil empuk itu. Halaman demi halaman diselak olehnya hinggalah lewat malam. Rupanya, itu buku motivasi islamik.

Adel terus menangkap gambar tangannya yang sedang menyelak halaman buku tersebut dan menghantar foto tersebut kepada Nadeem melalui pesanan mesej. Ucapan terima kasih turut disertakan olehnya.

"Akhirnya awak perasan pun kehadiran saya, Nadeem. Selamat malam lelaki idaman."

Setelah beberapa jam terlena. Keringat membasahi seluruh tubuhnya. Tangannya mencengkam cadar katil manakala air mata mengalir keluar daripada mata.

'Kau kafir!'

'Kau tahu tak dia dekat luar pakai macam pelacur? Janganlah kawan dengan dia'

Ucapan hina daripada Nadyrah Madyne menghantui mimpinya. Masih dia teringat betapa kejamnya Nady kerana selalu memburukkan dia terhadap rakan-rakan di sekolah dengan tujuan ingin semua orang menjauhkan diri daripada Adel.

Akhirnya dia terjaga daripada mimpi buruk itu. Dia menghela nafas berat. Semakin kuat deras air matanya mengalir.

"Ya Allah, hina sangat ke aku hingga dia hanya mampu mengejiku dan tidak menegur dengan cara yang sopan?"

"Aku sedih, ya Allah. Kenapa manusia jahat sangat? Kenapa mereka nak hancurkan hati aku? Bahkan keluarga aku sendiri hancurkan aku..." desis Adel.

Adel kemudian pergi ke dapur untuk mengambil segelas air putih untuk melegakan perasaan. Puan Merlyna masih berjaga pada jam 3 pagi itu.

"Nanti pagi kau beli nasi lemak dekat warung Pak Din," pesan Puan Merlyna sambil melirik dingin.

"Ibu nak makan nasi lemak ke?" soal Adel.

"Aku nak dua. Jangan lupa belikan bapak kau sekali! Dia punya pun dua. Guna duit kau, jangan nak kedekut sangat dengan keluarga sendiri."

Adel meletakkan gelas tersebut dengan kuat. Satu helaan nafas dilepaskan.

"Adel tak akan berkira dengan ibu sendiri tapi kenapa Adel nak kena belikan lelaki itu makanan dengan duit Adel? Dia bukannya suami sah ibu. Adel malas nak bertekak dengan ibu tapi itu fakta yang dia bukan siapa-siapa untuk Adel. Suruhlah dia beli sendiri kalau dia nak. Dia bukannya sewa rumah, kan? Tak akan tak ada duit? Malulah sikit duduk rumah kita free tapi duit makan pun tak ada," bebel Adel dengan panjang lebar ingin melepaskan emosinya kemudian dia terus masuk ke dalam bilik kerana tahu ibunya itu akan memarahinya kerana baginya lelaki tersebut ialah nyawanya.

Adel mengeluh.

"Ya Allah, kenapalah aku kena hadap ujian macam ini? Aku tak kuat."

[C] Akhir Tak PastiWhere stories live. Discover now