Bab 16

6.6K 554 22
                                    

TIRAI itu dibuka agar sinar mentari memasuki ruangan tersebut. Wajah gadis itu ditatap dengan perasaan yang sayu. Bibirnya pecah, matanya lebam. Kata doktor, dia mengalami kecederaan di perut.

"Biar saya ringkaskan, kami dapati kecederaan pada perut akibat pukulan tersebut. Dia memerlukan pembedahan segera untuk baiki organ-organ yang cedera. Jika tidak, boleh jadi pendarahan yang besar dan boleh menyebabkan kematian," terang Doktor tersebut kepada mereka berdua.

Nadeem mengangguk faham manakala Puan Khadijah cemas mendengar tentang bahaya yang menimpa gadis itu.

"Ya Allah, kau selamatkanlah dia." Puan Khadijah terus memegang tangan Adel. Sempat kepala itu diusap perlahan.

Nadeem keluar membuntuti doktor sambil mendengar penjelasan doktor tentang pembedahan yang akan dilakukan. Tiba-tiba susuk tubuh Tengku Syed Hanif muncul di hadapan mereka.

"Bil semua aku tanggung."

Doktor itu pun meninggalkan mereka berdua untuk berbicara.

"Aku boleh tanggung," balas Nadeem.

"Dia bukan siapa-siapa untuk kau, kan? Kau sanggup pula nak bekerja seumur hidup untuk bayar balik bil hospital dia? Lagipun, dia cedera masa dia bekerja dengan aku dan aku pun ada dekat sana jadi aku kena tanggung." Syed kemudian cuba untuk masuk ke dalam wad tersebut namun langkahnya dihentikan oleh Nadeem.

Wajah dinginnya dipandang.

"Kenapa kau tak selamatkan dia semalam? Kalau kau selamatkan dia, dia tak akan cedera teruk macam ini." Kedua tangan Nadeem memegang kedua bahu milik Syed itu.

Anak mata kecoklatan lelaki itu ditatap. Wajah kesal dipaparkan oleh Nadeem. Syed terdiam.

"Aku terkejut, aku tak tahu nak buat apa."

Kedua bahu itu dicengkam kuat akibat geram.

"Kau lelaki, Syed. Tak akan benda macam itu pun kau tak boleh nak bertindak." Nadeem kemudian melepaskan kedua-dua bahu tersebut lalu pergi mencari udara segar kerana dadanya sesak dengan amarah yang membuak-buak ingin meledak.

Nadeem duduk di sebuah bangku di hadapan sebuah pohon besar. Dia mula beristighfar untuk menenangkan hati.

Kini dia sudah tahu alasan mengapa gadis itu selalu tampil ke kampus dengan jari-jemari yang merah kadang terluka juga. Disebalik senyuman manis yang selalu ditunjukkan, ada seribu luka yang disimpan. Ternyata hidupnya begitu sadis. Mungkin benar kata sebuah buku yang pernah dibaca, berlembut-lembutlah kepada orang lain kerana ada sebahagian orang yang sedang derita dengan liku kehidupan dan kita tidak tahu tentangnya.

"Ya Allah, kau hapuskanlah deritanya dan gantikanlah kebahagiaan yang pantas untuk dirinya kerana sesungguhnya dia layak untuk sentiasa tersenyum."

Nama Nadeem disahut berkali-kali akhirnya dia tersedar daripada lamunannya. Rinne menyapa Nadeem dari jauh lalu melangkah mendekati jejaka tersebut.

"Aku tunjuk arah," kata Nadeem sambil mengiringi Rinne yang datang untuk melawat Adel.

Pintu wad itu dibuka. Sungguh luluh hatinya apabila melihat rakan baiknya itu terbaring dengan wajah yang lebam sana-sini. Tak sanggup dia lihat keadaan Adel sebegitu.

"Ya Allah, kenapa sampai teruk macam ini? Allahuakbar, Adel." Tangan kanan gadis itu diusap perlahan.

Hatinya seakan-akan hancur. Tidak dapat dia bayangkan betapa sakitnya Adel menanggung perit itu. Cecair jernih hangat itu kemudian jatuh berlerai kerana hati perempuannya yang setipis tisu tak mampu melihat kedukaan yang ditanggung rakannya itu.

"Apa doktor cakap?" soal Rinne sambil memandang Nadeem.

Nadeem menghela nafas berat lalu berjalan mendekati katil tersebut. Dia tatap Adel sejenak.

"Doktor kata dia kena buat pembedahan sebab ada kecederaan pada bahagian perut dan organ dalaman dia cedera. Kalau tak, pendarahan banyak akan berlaku dan boleh menyebabkan...kematian."  Sebak dia ingin mengucapkan perkataan itu.

"Ya Allah, teruk sangat pukulan ibu kali ini." Rinne menatap Adel dengan rasa hiba.

"Jadi, ibu dia pernah pukul dia banyak kali, kan?" tanya Nadeem.

Rinne pun mengangguk.

"Dia masuk hospital fasal kepala cedera itu sebab ibu baling gelas kaca ke arah kepala dia."

"Kenapa tak buat laporan?"

Rinne menggeleng kepala.

"Dia suruh rahsiakan. Jujur, aku pun tak rela tengok dia macam ini tapi bila dia suruh rahsiakan itu kita sebagai kawan pun faham dia cemas kalau ada apa-apa terjadi dekat ibu dia walaupun ibu dia sendiri yang pukul dia dan benda itu salah."

"Sekarang ini, manusia kejam sangat. Tak kisahlah budak, orang dewasa dengan orang tua semua boleh didera. Aku tak fahamlah, pukul itu boleh sedapkan hati ke?" Membuak-buak rasa marah Rinne.

Nadeem mengangguk setuju. Lengannya disilangkan.

"Terima kasih tau, tolong jaga Adel."

Nadeem memberi senyuman tipis.

"Aku pun manusia juga, Rinne. Tak sanggup aku biarkan orang terluka sendirian. Selagi mana aku boleh bantu, aku bantu. Kalau dia perlukan aku, aku boleh teman dia harungi masa sukar. Mak aku pun sayang dekat dia sampai nak tidur sini teman dia. Mungkin, dia dah ibarat keluarga dah."

"Keluarga? Maksudnya, sebagai adik?" Rinne memandang Nadeem.

Lelaki itu diam seketika.

"Ya, adik."

[C] Akhir Tak PastiWhere stories live. Discover now