1

2.3K 27 2
                                    

KEKASIH...
Mengapa kau kurasakan semakin menjauh? Sejak akhir-akhir ini jarang sekali kau memanjakan aku, tidak seperti dahulu bila mana aku kau jadikan nadi yang mendenyutkan jantungmu. Kini aku berasa seolah-olah kau tidak memerlukan aku lagi, kekasih... seolah-olah diri ini sudah tiada harga lagi di matamu.
Seolah-olah... kau sudah menemui penggantiku!
Hakikatkah, kekasih firasat yang kurasai ini atau hanya mainan jiwa seorang aku yang terlalu merindui belaian cintamu? Jawablah, kekasih. Rungkaikanlah pertanyaanku ini agar ia tidak menyesakkan nafasku tatkala memikirkannya, lantaran hanya kau seorang sahaja yang mampu meleraikan soalan yang terlalu membelit tangkai hatiku ini.
Kekasih...
Seandainya benar kau sudah berubah hati, lakarkanlah bicara duka itu buatku. Usah kau seksa diri ini dengan mengajak aku meneka maksud tingkah lakumu yang sering mengelirukan aku. Ada kalanya kurasakan kau masih setia, namun sering aku kau sisihkan dari tubuh dan ingatanmu. Yang mana satu perlu aku percayai, kekasih? Yang mana satu perlu aku fahami maksudnya? Usah biarkan aku terus melangkah ke arahmu, sedangkan kau sebenarnya mahu aku pergi dari sisimu.
Oh, kekasih...
Direnggut pilu, Amelia menekup mukanya dengan tangan. Dia tidak mahu menangis kerana baginya hanya orang yang lemah sahaja menangis. Namun, monolog jiwanya tadi telah menyemarakkan lagi emosi yang semakin terbakar. Akhirnya Amelia menyerah kalah kepada kehendak hati. Dibiarkan tasik air matanya melimpah. Sebutir demi sebutir air matanya yang tumpah dipandang pada balikan wajahnya di cermin. Jika Khai nampak tangisannya itu, apakah Khai akan resah? Apakah Khai akan sedar bahawa dia telah melukakan hati Amelia? Atau mata Khai sudah dibutakan sehingga dia tidak langsung dapat melihat duka yang terpeta pada wajah Amelia? Sekiranya Khai masih dapat melihat seperti dahulu, amat mustahil dia gagal mengesan kegusaran hati Amelia. Amat mustahil!
Pintu bilik air untuk pekerja wanita itu dibuka dan ditutup oleh seseorang. Segera Amelia mengeringkan air matanya, lalu dia beredar ke pintu. Rakan sekerja yang baharu melangkah masuk ke dalam tandas wanita itu disapanya sambil lalu. Berhenti dan berbual bermakna dia terpaksa keluar dari daerah hatinya yang sepi, sedangkan dia masih belum bersedia untuk meninggalkan kedukaan yang dirasai.
Amelia kembali ke pejabatnya. Langsung matanya tertancap pada susuk tubuh Khai yang sedang berbual mesra dengan Zaiha di dalam ruang pejabat lelaki itu. Dinding berkaca yang menjadi sempadan di antara ruang pejabat Khai dengan ruang keseluruhan syarikat itu, mengizinkan perlakuan kedua-duanya menjadi tontonan ramai. Amelia terkedu. Parasnya membahang dibakar cemburu. Dia merenung Khai yang kebetulan menoleh ke arahnya. Khai melebarkan senyumannya sebelum kembali menumpukan seluruh perhatiannya terhadap Zaiha. Amelia mengetap bibirnya menahan marah. Khai tidak langsung berasa bersalah, malah Khai dilihatnya seakan bangga dengan gelagatnya bermesra dengan Zaiha.
Tidakkah kau malu, kekasihku? Tidakkah kau tahu perbuatanmu itu memalukan aku?
"Jangan tengok aje, Amelia."
Terperanjat, sepantas kilat kepala Amelia menoleh. Kak Tinah yang berdiri di sebelahnya dipandang. Perlahan-lahan ketegangan pada wajahnya mengendur. Dia sayang pada Kak Tinah. Malah, wanita separuh abad itu sudah dianggap seperti kakaknya sendiri. Dia yang mengajak Kak Tinah bekerja di situ setelah Kak Tinah dibuang kerja oleh majikan lamanya. Alasan bos lama Kak Tinah, bekas setiausahanya itu sudah tidak setangkas dahulu, sedangkan mereka semua tahu Kak Tinah dibuang kerja kerana bos lamanya mahu memberikan jawatan Kak Tinah kepada kekasih gelapnya.
"Saya tak faham maksud Kak Tinah."
"Cegah sebelum parah." Kak Tinah berfalsafah. Penafian Amelia tidak diendahkannya. "Perempuan macam Zaiha tu dah lama wujud. Wanita macam kau pun sama. Ada yang berani mempertahankan hak mereka tapi ramai yang kecundang di tangan perempuan macam Zaiha sebab mereka hanya pandang dari jauh aje."
"Mereka bersembang tentang projek ajelah, Kak Tinah." Amelia tertawa halus bagi menabiri cemburu yang semakin bercambah. Dia merapati bangkunya lalu duduk di situ, pura-pura menyibukkan diri.
"Hmmm... memang masalah besarlah kalau kau sendiri percaya pada cakap kau tu." Kak Tinah menghampiri Amelia lalu diusap-usapnya bahu wanita muda itu dengan lembut. "Jangan jadi bodoh. Pergi! Pergi masuk ke dalam pejabat Encik Khai. Rampas balik hak kau."
Kak Tinah berlalu meninggalkan Amelia termangu-mangu melayan soalan baru yang mengasak masuk ke dalam kotak mindanya. Patutkah dia menyerbu masuk ke dalam pejabat Khai? Ah, tidak usahlah. Perasaannya terlalu bercelaru. Emosinya terganggu. Takut kata-kata yang dilemparkannya nanti akan membuatkannya menyesal seumur hidup. Maruah Khai perlu dijaga, meskipun daripada tingkah laku Khai ketika itu jelas menunjukkan dia tidak langsung memikirkan tentang maruah Amelia.
Biarlah! Di tempat dan masa yang sesuai nanti, dia akan mengajak Khai berbicara dari hati ke hati. Dia mahu tahu tahap kemesraan Khai terhadap Zaiha.
"Kak Amel nak saya bagi amaran pada Zaiha?"
Suara lelaki muda itu membuatkan Amelia mendongak. Omar direnungnya dengan mesra. Dia suka Omar. Anak muda itu sangat pandai mengambil hatinya. Dalam konteks kerja pula, Omar sering memastikan tugasnya dibereskan mengikut kehendak Amelia. Selagi tiada kata putus daripada Amelia, selagi itu Omar akan memperbaiki kerjanya. Pada awalnya, Amelia menyangka Omar mahu mengampunya dan cuba memikat hatinya tetapi setelah dua tahun bekerja bersama, dia menyedari bahawa Omar sememangnya jenis yang sentiasa mahu menggembirakan hati orang lain. Sifat lelaki sejati tertanam teguh dalam diri Omar. Untung gadis yang bergelar kekasih Omar.
Atas sebab-sebab yang tidak pasti, Omar juga telah melantik dirinya sebagai almukhalis tidak rasmi Amelia, menentang sesiapa sahaja yang menyakiti Amelia. Kini, tingkah laku Zaiha telah mendapat perhatian Omar. Matanya tajam merenung Zaiha. Entah apa yang bersarang dalam fikiran Omar, Amelia pun tidak tahu tetapi jujur Amelia katakan dia sangat bimbang. Dia risau Omar akan hilang sabar dan mengapa-apakan Zaiha.
"Terima kasih, Omar. Tapi tak payah. Tak ada apa-apa yang perlu dicakapkan pada Zaiha," balas Amelia dengan lembut, meskipun hatinya kala itu sedang berdenyut-denyut. Menyebut nama Zaiha sahaja membuatkan hatinya berasa seperti dirobek belati.
"Kak Amel terlalu baik!"
Amelia hanya tersenyum. Dia bukannya terlalu baik tetapi dia tidak mahu mengecohkan suasana. Sekiranya Omar memberi kata dua kepada Zaiha, kepada siapa Zaiha akan mengadu? Kepada siapa lagi kalau bukan Khai! Dan selepas itu siapa yang akan Khai persalahkan? Sudah tentulah Amelia kerana Khai sememangnya tahu Omar sangat setia kepada Amelia.
"Tak patut dia buat Kak Amel macam ni." Omar terus meluahkan perasaan kurang senangnya.
"Dia bersembang ajelah dengan Encik Khai. Bukannya boleh buat apa pun kat dalam bilik tu. Semua orang boleh nampak," tingkah Amelia. Matanya dikerlingkan ke arah pejabat Khai. Kelihatan Khai sedang duduk di bucu meja, merenung Zaiha yang sedang asyik berbicara di hadapannya. Amelia tidak suka melihat cara Khai merenung Zaiha. Ada intimasi dalam renungan lelaki itu.
"Kak Amel yang tolong dia dapatkan kerja kat sini, kan?"
"Mestilah! Kan dia kawan Kak Amel!" balas Amelia dengan tegas. Dia tidak pernah kesal membantu Zaiha. Yang dia kesalkan ialah tindak tanduk Zaiha yang tidak menghormati dirinya.
"Sebab tulah dia tak patut buat Kak Amel macam ni!" Omar merenung Amelia dengan wajah tidak puas hatinya. "Kawan apa yang tikam kawan yang banyak tolong dia dari belakang?"
Amelia menghela nafas yang panjang dan berat.
"Bukan kawan namanya tu, kak!"
"Sudahlah, Omar. Kejap lagi akak cakap dengan Encik Khai."
"Kenapa pulak Kak Amel nak cakap dengan dia? Kak Amel kena cakap dengan Zaiha. Dia yang kacau hak Kak Amel!" tegas Omar.
"Biar akak cakap dengan Encik Khai dulu!" ujar Amelia dengan lembut. Zaiha tidak akan berani mempamerkan kemesraan yang berlebihan jika Khai tidak melayan. Khai yang harus menghentikan kekarutan ini. Oleh sebab itulah Amelia mahu bercakap dengan Khai dahulu.
"Okey, macam ni. Kak Amel cakap dengan Encik Khai. Biar saya cakap dengan Zaiha."
"Pergi sambung kerja, Omar. Nanti akak potong gaji awak, baru awak tahu," gertak Amelia.
Omar pandang Amelia, Amelia pandang Omar. Melihat Amelia serius, akhirnya Omar berlalu tetapi sebelum itu sempat juga dia berpesan agar Amelia menghubunginya jika Amelia berubah fikiran.
Ah, Amelia tidak akan berubah fikiran. Situasi itu melibatkan maruahnya dan Khai. Tidak perlu dia mengheret orang lain ke dalam kemelut yang sedang melandanya itu. Biar dia dan Khai sahaja yang menguruskan masalah mereka sendiri. Malah, Zaiha pun tidak akan Amelia libatkan dalam diskusi dari hati ke hatinya dengan Khai. Jika boleh, nama Zaiha tidak akan dibangkitkan langsung.
Matanya mengerling sekali lagi ke arah pejabat Khai. Teringin hendak mengetahui butir-butir percakapan di antara Zaiha dengan Khai yang masih berjalan rancak, Amelia mencapai sebuah fail dari atas talam fail lalu dia bangun. Kebetulan, memang ada beberapa keping dokumen yang memerlukan tandatangan Khai yang diletakkannya di dalam fail itu. Semasa melangkah, nafas Amelia berasa seperti hendak terputus bila dengan tidak semena-mena Zaiha menoleh ke belakang dan memandang ke arahnya. Khai pula tiba-tiba sahaja menaruh minat pada sesuatu yang berada di atas lantai. Kemudian, Zaiha berpaling semula ke hadapan dan kembali berkata-kata. Khai mengangguk dan menegakkan tubuhnya. Zaiha pula melangkah ke pintu pejabat Khai, sementara Khai kembali ke bangkunya. Hati Amelia berdebar dengan laju. Nampak sangat Khai yang memaklumkan Zaiha bahawa Amelia sedang melangkah ke arah mereka, menyebabkan perbualan mereka berdua terhenti, seolah-olah Khai tidak mahu Amelia tahu isi perbualannya dengan Zaiha. Mengapa? Apa yang mereka bualkan?
Zaiha keluar dari pejabat Khai tanpa memandang ke arah Amelia. Perbuatannya itu memberitahu Amelia bahawa Zaiha sengaja menyisihkannya. Bahawa Amelia tidak penting lagi di mata Zaiha. Terlupakah Zaiha siapa yang membantunya mendapatkan kerja di syarikat itu dahulu? Kalau bukan Amelia, siapa lagi? Khai sendiri enggan mengambil Zaiha bekerja di syarikatnya kerana Zaiha tidak memiliki kelulusan yang bersesuaian. Amelialah yang tidak putus-putus memujuk Khai sehingga akhirnya Khai mengalah. Kini, Zaiha berani menunjukkan sikap sombongnya terhadap Amelia?! Tidak ingatkah dia bahawa hanya Amelia sahaja rakan yang masih sudi membantunya. Yang lain-lain semuanya buat tidak tahu sahaja. Bila sebut sahaja nama Zaiha, muka mereka terus berubah.
Huh! Sekiranya beginilah sikap Zaiha, tidak hairanlah mengapa semua rakan-rakan mereka membencinya.
Amelia mengekori langkah Zaiha dengan matanya sehingga Zaiha tidak dapat dilihat lagi. Semasa menoleh ke arah Khai, dia sempat menangkap Khai sedang merenung ke arahnya sebelum lelaki itu menundukkan muka. Kenapa, kekasih? Kenapa kau berkelakuan seperti orang yang telah melakukan kesalahan? Apakah dosamu terhadapku?
Amelia melangkah masuk ke dalam pejabat Khai. Salam dihulurkan dengan perlahan, dijawab oleh Khai juga dengan perlahan. Kedinginan layanan Khai sangat ketara. Terasa kemesraan sudah tiada. Hati Amelia serta-merta sebak. Bicara yang ingin dilontarkan tersekat di kerongkongnya. Hanya bibirnya sahaja yang terkuit-kuit ingin bertutur. Beberapa saat kemudian Amelia menyerah kalah kepada keengganan suaranya untuk terbit dari celah dua ulas bibirnya, lalu fail berisi beberapa keping dokumen yang memerlukan tandatangan Khai, diserahkan kepada lelaki itu. Tanpa sepatah kata, Amelia berpusing untuk berlalu.
"Amel!" panggil Khai.
Langkah kaki Amelia terhenti. Dia berpusing dan terus tercegat di mana dia berdiri. Matanya merenung Khai dengan penuh berharap. Cakaplah, sayang. Berterus teranglah kepadaku. Kau tahu kau bersalah, bukan? Kau tahu kau telah mengabaikan aku. Ucapkanlah isi hatimu. Aku akan mendengar dengan khusyuk dan aku sedia memaafkanmu, bisik hatinya yang turut berharap, namun akal memintanya agar berhenti bermimpi di siang hari.
"Malam ni I balik lambat," sambung Khai.
I? Bukan abang lagi? Soal hati Amelia. "Kenapa?"
"Ada kerja tak siap. Tak ada kerja, tak ada gaji!" jawab Khai sambil menekan bahagian akhir ayatnya, seolah-olah dia marah dengan pertanyaan Amelia.
"Kalau macam tu, saya tunggu abanglah. Kerja saya pun banyak yang tak siap lagi," tawar Amelia. Dua minggu yang lalu dia mengambil cuti panjang demi menjaga bapanya yang dimasukkan ke hospital. Ibunya masih ada dan turut berada di hospital tetapi tidak termampu wanita tua itu untuk berjaga seperti orang muda. Selama sepuluh hari itu Amelia menjadi jururawat peribadi bapanya. Kerja pejabat memang hanya dia sahaja yang boleh lakukan. Jadi, bila dia kembali bertugas, kerja yang terpaksa dilakukannya menjadi berlipat kali ganda.
"Tak payah. Pergi balik. Kerja tu esok aje awak buat. Nah! Ambik ni." Khai menghulurkan kunci kereta yang diambil dari dalam laci mejanya kepada Amelia.
"Habis tu abang balik nanti naik apa?" Amelia merenung Khai, cuba mentafsir wajah lelaki itu. Kunci kereta yang Khai hulurkan, tidak dipedulikannya.
"Tumpang orang."
"Siapa?"
"Tengoklah siapa yang nak hantar nanti." Khai mengeluh. "Kenapa banyak sangat soalan ni?"
"Tak adalah... selalunya kita balik sama-sama."
"Amel," Khai bangun lalu mendapatkan Amelia, "kenapa ni? Abang tengok awak macam susah hati aje. Awak risaukan bapak, ya?"
Bukan bapak yang aku risaukan tetapi kau, kekasih. Sepuluh hari ketiadaanku, kau jadi berubah. Kau tidak seperti dahulu lagi. Sejak aku pulang ke pangkuanmu, kau sering menyisihkan aku sedangkan aku sangat-sangat memerlukan belaianmu dan ungkapan kata-kata dorongan daripadamu. Aku perlukan kekuatanmu, kekasih agar semangatku yang rapuh dek risaukan kesihatan bapaku kembali teguh tetapi kau... kau terus membiarkan aku terumbang-ambing sendirian.
"Pergi balik kampung esok. Ambik cuti seminggu."
"Abang tak nak ikut?"
"Kalau abang ikut, siapa yang nak siapkan kerja yang berlambak ni?" Khai ketawa. Kunci keretanya diletakkannya dalam tapak tangan Amelia kemudian dua bahu Amelia digosok-gosoknya lembut. "Kalau Amel nak balik kampung sekarang pun tak apa. Abang izinkan."
Wah, beria-ia benar kau menghalau aku pergi. Mengapa, kekasih? Agar bebas kau bergerak jika aku tiada di sini, bukan? Tetapi maaflah. Tindak tandukmu terlalu mencurigakan. Selagi aku belum pasti penyebabnya, selagi itu aku tidak akan meninggalkanmu bersendirian.
"Hujung minggu nanti kita balik sama-sama," putus Amelia. Dia keluar dari pejabat Khai tanpa memberi ruang kepada suaminya untuk membantah.
Amelia kembali ke mejanya. Tetikus komputernya digerak-gerakkan di atas meja. Renungan matanya tajam menikam layar komputer, namun otaknya sedang ligat berputar memikirkan tentang niat sebenar Khai mahu pulang lewat malam itu. Apakah ada kena-mengena dengan Zaiha? Dan siapa yang akan menghantar Khai pulang ke rumah nanti? Zaihakah? Hati Amelia benar-benar resah. Hendak bertanya kepada Khai, dia berasa momen untuk melontarkan soalan keramat itu sudah pun berlalu. Pada Zaiha, Amelia tidak akan bertanya apa-apa. Menyoal Zaiha tentang Khai sama ertinya dengan mengakui bahawa Zaiha sememangnya mempunyai hubungan sulit dengan Khai. Sekiranya Amelia tersalah andai dan ternyata tidak ada apa-apa yang jelik sedang berlaku di antara Khai dengan Zaiha, Amelia bimbang soalan yang dilontarkannya kepada Zaiha akan memberikan persepsi kepada perempuan itu bahawa hubungan Amelia dan Khai sedang goyah, dan seterusnya mendorong Zaiha menggoda Khai. Siapa yang patut dipersalahkan nanti? Bukankah Amelia juga?
"Kak Amel, saya balik dulu," ujar Omar.
"Baik-baik bawak motor tu," pesan Amelia. Saban hari, itulah ungkapan terakhir Omar buatnya sebelum anak muda itu meninggalkan pejabat mereka. Dan Amelia pula akan melontarkan pesanan yang sama.
Sejurus, seorang demi seorang pekerja syarikat itu mula meninggalkan premis tersebut tetapi bayangan orang yang Amelia tunggu, masih belum muncul lagi.
Baik!
Tidak mengapa!
Selagi Zaiha belum beredar dari situ, selagi itu Amelia akan menunggu. Biarlah Khai marah, Khai naik angin, Amelia tidak peduli. Dia berhak berada di situ. Tidak lama kemudian Zaiha muncul dan seperti yang Amelia andaikan, Zaiha terus masuk ke dalam pejabat Khai. Hati Amelia mendongkol. Dia mengambil keputusan untuk turut sama duduk dalam perbincangan yang sedang berlangsung di antara Khai dengan Zaiha. Dia isteri Khai. Separuh daripada syarikat itu adalah miliknya.
Lantas Amelia bangun.
Tetapi dia termalu sendiri bila melihat dua orang eksekutif syarikat itu tergesa-gesa melangkah menuju ke pejabat Khai. Di tangan masing-masing ada fail dan juga gulungan pelan. Jelas menunjukkan mereka turut terlibat sama dalam perbincangan itu.
"Tak balik lagi, Amel?" tegur salah seorang daripada eksekutif itu dengan mesra. "Sanggup ke tunggu sampai lewat malam? Banyak yang kami kena bincang ni."
"Nak baliklah ni," jawab Amelia.
Komputer mejanya dimatikan. Tas tangannya diambil dari dalam laci dan selepas memastikan semua kabinet yang dijaganya berkunci, Amelia beredar dari situ. Hatinya berasa lega sedikit bila mengetahui bukan Zaiha dan Khai sahaja yang tinggal di pejabat. Namun, dia kembali resah bila mengenangkan orang yang akan menghantar Khai pulang. Kalau benar Zaiha, Amelia nekad menyuarakan rasa hatinya kepada Khai malam itu juga. Khai perlu disedarkan bahawa perbuatannya menyakitkan hati Amelia. Khai perlu ingat statusnya sebagai suami Amelia!
Kereta dipandu ke pusat beli-belah untuk membeli makan malamnya. Pulang ke rumah pun bukannya ada sesiapa. Alang-alang bersendirian, lebih baik dia membeli barang-barang keperluan dapur sekali. Amelia ke Mydin. Berseorangan memudahkannya membelek produk yang dijual di pasar raya itu. Kalau Khai ada bersama, Amelia hanya akan membeli produk yang biasa mereka beli sahaja. Khai tidak gemar berlama-lama di pasar raya. Orang lelakilah katakan tetapi jika membeli barang-barang keperluannya sendiri, sanggup pula Khai menghabiskan masanya berjam-jam di pasar raya yang sama. Amelia mengerlingkan matanya ke atas sebelum memeriksa catatan mengenai bahan-bahan yang terkandung di dalam serbuk kopi yang ingin dicubanya. Yang mana satu yang patut dibeli? Moroccan Spiced Coffee atau Espresso.
"Dua-dua bagus tapi saya lebih suka Moroccan Spiced Coffee."
Serta-merta Amelia menoleh ke arah tuan punya suara. Lelaki berkumis yang memberikan saranan itu, tersenyum manis kepadanya. Amelia membalas. Senyum itu sedekah.
"Terima kasih. Saya akan cuba kopi yang encik sarankan," ujar Amelia seraya meletakkan balang kopi Espresso ke tempatnya semula. Sekali lagi Amelia menghadiahkan senyuman kepada lelaki itu sebelum mengatur langkah untuk pergi dari situ.
"Amel..." panggil lelaki itu. "Takkan awak tak kenal abang lagi?"
Langkah Amelia terus mati. Sepantas kilat kepalanya menoleh. Matanya membulat menatap wajah lelaki berkumis itu. Perlahan-lahan tegang pada wajahnya mengendur apabila dia mula menyedari siapa yang sedang berdiri di hadapannya.
"Abang..."

Peluklah Aku SayangWhere stories live. Discover now