5

615 6 1
                                    

AMELIA menyangkutkan telekung dan sejadah pada ampaian kayu di dalam bilik tidurnya. Dia baru sahaja selesai menunaikan solat isyak. Di situ dia tercegat buat seketika, bertekur dengan tangan melekap di dada, menikmati ketenangan jiwa yang sudah lama tidak dirasainya. Cacamarba yang menghuru-harakan perasaannya sudah hilang, lenyap entah ke mana. Tingkah laku Khai yang merobek tangkai hatinya selama ini bagaikan memori silam yang tidak lagi signifikan. Malah, dia berasa kesedihan yang dilaluinya sejak dua minggu lalu tidak ada kaitan langsung dengan hidupnya, seolah-olah apa yang dirasainya itu hanya efek daripada menonton sebuah drama sedih di kaca televisyen sahaja.
Kala itu dia benar-benar bahagia. Hidupnya dirasakan kembali sempurna, tiada lagi celah-celah yang renggang yang membuatkan dia terintai-intai ke luar mencari sesuatu yang dia sendiri tidak pasti apa dia. Kini, tahulah dia siapa yang dicarinya selama ini. Sangkanya dia sudah terlalu kepingin untuk menjadi seorang ibu tetapi rupa-rupanya Ziyad yang dia rindukan. Tanpa Amelia sedar seluruh jiwa dan raganya, seluruh saraf dalam tubuh badannya masih menanti kepulangan Ziyad. Masih mahukan Ziyad meskipun dia sedar, hubungan mereka kini tidak mungkin boleh melebihi hubungan seorang abang dengan adiknya sahaja.
Takdir yang amat menyakitkan namun dia reda kerana yang penting, Ziyad sudah kembali ke pangkuannya.
Bibir Amelia mengorak senyuman bila dia kenangkan semula pertemuan yang tidak disangka-sangkakan petang tadi. Wajah Ziyad yang berkumis, menghiasi kanvas mindanya. Senyuman Ziyad membuatkan senyumannya sendiri meleret. Terjentik sedikit kekesalan kerana empat tahun dia menunggu Ziyad sebelum memaksa dirinya menerima Khai. Empat tahun, abang! Bukan sekejap Amel tunggu abang. Sekarang bila Amel sudah bergelar isteri kepada Khai, baru abang kembali?!
Ah! Tidak usah dikenang perkara yang sudah terjadi. Pokoknya Ziyad sudah kembali. Terima kasih, ya Allah kerana telah memulangkan dia kepadaku. Biarpun aku tahu kami tidak mungkin dapat bersatu seperti yang kami harapkan suatu masa dahulu, namun aku tetap bersyukur dan aku reda dengan kehendak-Mu. Aku reda dengan jodoh yang telah Kau pilihkan buatku. Aku reda, ya Allah, aku reda.
Berulang kali ayat terakhir itu disebut dalam kalbunya demi menenggelamkan lagu berlirik duka yang masih berdendang dalam hatinya. Mengapa bukan Ziyad yang menjadi jodohku? Mengapa, ya Allah? Apa kekurangan dia? Apa kekuranganku? Rintih hati Amelia.
"Astahgfirullah..." Amelia beristighfar, menyesali fikiran yang termakan pujukan syaitan. Jodoh yang Allah tetapkan untukku adalah yang terbaik buatku. Aku reda. Aku reda, ulang hatinya lagi, hati yang ternyata masih begitu berat sekali mahu menerima hakikat itu.
Enggan melayani soalan yang bisa membuatkan keyakinannya terhadap keputusan Allah tergugat, dia memaksa fikirannya mengingati Khai. Suaminya itu masih belum pulang-pulang lagi. Terbit perasaan resah di hati, lalu dia segera ke jendela berkaca. Langsir tebal dikuak. Pandangannya dijuruskan ke hujung jalan yang mudah dilihat dari tingkat atas rumah banglonya itu. Dapat dia rasakan kereta Zaiha tidak akan muncul dalam masa yang terdekat itu. Ya! Dia sangat yakin Zaiha yang akan menghantar suaminya pulang. Zaiha pasti tidak akan melepaskan peluang keemasan itu untuk berada berdua-duaan dengan Khai.
Telefon bimbit di tangan dipandang sambil berfikir sama ada patut dia menelefon Khai atau tidak, bimbang juga dia kalau-kalau Khai masih sibuk di meja perbincangan. Lagipun, dia berasa malas sangat hendak bercakap dengan Khai kerana menelefon Khai bermakna sengaja memalitkan semula luka yang sudah dibuang oleh Ziyad dari hatinya petang tadi. Bukankah hatinya baru diulit bahagia? Biarlah dahulu. Biarkan bahagia itu jadi miliknya buat seketika sehingga Khai pulang ke rumah sekejap lagi.
Langsir dilepaskan, menabiri semula jendela berkaca hitam itu dengan sepenuhnya. Kemudian dia keluar dari bilik itu menuju ke bilik sebelah yang sangat jarang dijenguknya, bilik yang dijadikan ruang tempatnya menyimpan barang-barang lama. Almari besar tempat menyimpan beg pakaian dibuka. Matanya terus melirik ke arah beberapa buah kotak kasut dan kotak hadiah yang disusun kemas di atas para almari itu. Sebuah kotak hadiah yang paling besar, yang menyimpan sejuta memori indah dia dan Ziyad, ditariknya turun dengan berhati-hati. Dia terbatuk kecil bila habuk yang menyelaputi kotak itu menyerbu deria hidunya, marah kerana hibernasi mereka diganggu. Ketebalan habuk yang melekat pada kotak itu menunjukkan betapa lamanya dia tidak mempedulikan kewujudan kotak hadiah tersebut. Yalah! Apa gunanya dia melewati kenangan lama sedangkan dia sudah bergelar isteri Khai? Apa perasaan Khai jika melihat dia terleka menatap gambar kekasih lama? Pasti hati Khai terluka dan mencurigai keluhuran cintanya.
Selepas dibersihkan, kotak itu dibawa ke katil. Dia duduk bersila di atas tilam empuk dan mula mengeluarkan isi kotak hadiah itu satu per satu. Beberapa buah album kecil berisi gambar-gambar Ziyad bersendirian dan juga gambar mereka bersama, beberapa ikat surat cinta yang Ziyad kirimkan kepadanya, kad-kad ucapan bernada cinta daripada Ziyad dan hadiah-hadiah yang Ziyad belikan setiap kali Ziyad teringatkan dia, disusunnya sebelah-menyebelah di atas tilam itu. Kemudian kotak hadiah itu ditolak jauh ke tepi. Salah sebuah album kecil dicapai lalu dibukanya, menyerlahkan gambar Ziyad tanpa kumis yang sedang tersenyum menggoda ke arahnya. Dia turut tersenyum.
Dan rindu pun bertandang.
Rindu pada Ziyad, pada suara gemersik Ziyad, senyuman Ziyad, gelak tawa Ziyad, sentuhan tidak sengaja Ziyad... Amelia menyentuh pipinya di mana jari-jari Ziyad dilayangkan lembut semasa cuba membuang labah-labah kecil yang tiba-tiba sahaja mendarat di situ. Ziyad tidak akan menyentuhnya dengan sengaja. Belum haknya yang sah, tegas Ziyad. Pendirian Ziyad itu membuatkan kasih Amelia semakin dalam terhadapnya.
Jari halusnya Amelia larikan di atas gambar Ziyad, mengusap bahagian pipi Ziyad. Rindunya semakin menggebu-gebu. Terasa bara cintanya terhadap Ziyad yang tidak pernah padam, kembali menghangatkan jiwa. Dia jadi syahdu. Jadi pilu lantaran tidak pernah dia merasai cinta yang sebegitu hebat, yang sentiasa menyimbahkan kebahagiaan dalam hatinya pada setiap waktu. Ah... dia memejamkan mata, menahan kerinduan yang bergetar di dada. Tidak adil rasanya perasaan itu hadir sekarang lantaran tangan mereka telah diikat oleh keadaan yang mengekang mereka daripada bersatu. Sangat tidak adil!
Amelia membuka matanya semula. Gambar Ziyad diusap lagi sambil tersenyum. Dahulu, bibirnya sering menyebut perkataan 'abang' setiap kali ingatan terhadap Ziyad melintas di fikirannya. Tidak kira sama ada semasa itu dia sedang memasak, makan, menelaah, menonton televisyen, membasuh pinggan, membasuh kain, di atas bas, di pusat beli belah atau di mana sahaja, bila rindu itu hadir, tubuhnya akan kaku buat seketika dan bibirnya akan menyeru, 'abang...' dengan perlahan. 'Abang...' cukup hanya sekali setiap kali. Selepas itu hatinya akan tenang kembali. Rindunya tidak berkocak lagi dan segala-galanya berfungsi seperti biasa semula.
Album gambar itu diletakkan kembali ke atas tilam. Seikat surat cinta daripada Ziyad pula diambilnya, lalu dengan lembut dia menarik sepucuk dari bongkahan surat-surat yang dililit riben merah darah dengan penuh kasih sayang itu. Dia mengeluarkan surat cinta Ziyad dari sampulnya. Dalam bening malam, dia mula membaca bait-bait cinta yang Ziyad lakarkan buatnya suatu masa dahulu.

Peluklah Aku SayangWhere stories live. Discover now