9

1.7K 8 0
                                    

USAI memberikan taklimat, Ziyad kembali ke pejabatnya. Dia duduk termenung menghadap tingkap, melayani hambar yang bertebaran dalam jiwa dan rohnya lantaran separuh daripada semangatnya telah ‘dibawa lari’ oleh Khai keluar dari Kuala Lumpur. Saat itu dia berasa seolah-olah hidupnya sudah hilang pedoman. Sudah tidak berpaksi lagi.  Ziyad bukan bercakap tentang iman dan pegangan. Imannya masih teguh tetapi seteguh-teguh mereka yang beriman, bila masuk soal hati, ramai yang tersungkur ke bumi.
Dia pun tidak terkecuali.
‘Ya Allah, tolonglah aku...’ serunya dalam hati yang merintih kesakitan diseksa oleh rasa cemburu yang mencengkam. Hatinya masih enggan menerima hakikat bahawa Amelia sudah menjadi hak orang lain. Malah, hatinya mendesak agar Ziyad terus-terusan memburu cinta Amelia.
‘Dia dah jadi isteri orang, Ziyad. Dah ada suami! Kau faham tak, Ziyad? Kau faham tak?’ Rintih hatinya lagi yang terlalu cemburu. Terlalu rindu. ‘Hubungan tu bukannya boleh diputuskan sesuka hati je. Dah tertulis di lohmahfuz sana dan diikat pula dengan akad di sini. Kau kena terima hakikat ni, Ziyad. Kau wajib terima hakikat ni tak kiralah berapa dalam sekalipun cinta kau pada dia!’
Sadis dirasakannya bila dia terpaksa menasihati hati sendiri.
Nampaknya dia terpaksa juga mencari jalan untuk melupakan Amelia secara total. Tak boleh ingat-ingat lagi dah. Boleh musnah hidupnya jika dia terus-terusan merindui Amelia.
Hanya dua cara sahaja yang mampu difikirkannya kala itu. Pertama, mencari pengganti Amelia dan kedua, kembali membawa dirinya jauh dari Malaysia. Ziyad ketawa sendiri dengan cadangan akalnya. Cakap memang senang tetapi hakikatnya, akalnya sendiri pun tahu bagaimana. Jika semudah itu hatinya boleh berubah arah, sudah lama dia mencintai wanita lain selepas menyaksikan sendiri Amelia bersanding dahulu tetapi hatinya tetap setia pada Amelia. Terlalu setia sehingga dia sendiri tertanya-tanya sebabnya.
Kembali membawa diri mungkin jalan yang terbaik tetapi hatinya pula enggan meninggalkan Kuala Lumpur, apatah lagi Malaysia. Bukan hatinya sahaja, malah seluruh roh dan jasadnya juga enggan berpindah keluar dari ibu negara itu.
Mengapa?
Mungkinkah sebab dia sudah penat berpindah-randah?
Atau... mungkin juga dia sengaja menyeksa diri?
Entahlah... Ziyad sendiri pening, tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan akalnya itu.
Dia cuba mengingati semula teknik yang digunakannya untuk melupakan Amelia dahulu. Selama tiga tahun dia benamkan diri dalam kerja. Makan tidurnya tidak menentu. Mana sempat sahaja. Hidupnya benar-benar tidak terurus semasa itu sehingga rakan-rakan sepasukan menggelarnya taksub kerja, taksub hendak naik pangkat dan macam-macam taksub lagi. Ziyad diamkan sahaja kerana rakan-rakan sepasukannya itu tidak tahu betapa dahsyatnya kesedihan yang membelit hatinya. Betapa sakitnya dia ketika mengutip semula cebisan hatinya yang hancur setelah melihat Amelia bersanding. Mereka tidak tahu.
Tetapi semua itu bukan salah sesiapa. Salah dirinya juga.
Dan sekarang, dia akan kembali ke rutin lamanya itu. Dia akan benamkan dirinya dalam kesibukan bekerja supaya tiada ruang baginya dan Amelia berjumpa.
“Maafkan abang, Amel. Maafkan abang. Kita tak boleh berjumpa lagi. Dah sampai masa kita berdua terima kehendak takdir untuk kita ni,” bisiknya.  
Ziyad pejamkan matanya, mengurut-urut dahinya yang berdenyut-denyut sakit sebelum memusingkan bangku duduknya itu kembali menghadap meja. Terkejut bila mendapati pembantunya berdiri betul-betul di hadapan mejanya. Entah bila pemuda itu masuk ke dalam pejabatnya itu. Sudah pasti lelaki itu mendengar suara hatinya tadi. Ah, lantaklah!
“Siap dah fail tu?” tanyanya kepada pembantunya dengan suara tegas.
“Siap, bos.” Pembantunya menghulurkan beberapa buah fail kepada Ziyad sebelum meminta diri. Beberapa langkah lagi hendak sampai ke pintu, dia berpusing balik memandang Ziyad. “Bos, masa bos mula-mula bertukar ke sini dulu, bos pernah cakap pada kami semua supaya jangan terlalu mudah mengaku kalah walaupun pada takdir. Kadang-kadang yang kita sangkakan takdir tu bukan takdir sebenarnya tapi sekadar ujian yang Allah berikan, menyuruh kita mencari jawapannya. Saya harap bos tak lupa pada kata-kata bos sendiri,” katanya dengan laju sebelum keluar dari pejabat Ziyad.
Di bangkunya, Ziyad merenung daun pintu yang sudah terkatup itu dengan satu pertanyaan yang terucap tanpa lisan; apa sebenarnya yang cuba Allah sampaikan padanya ni?

Peluklah Aku SayangWhere stories live. Discover now