4

630 8 0
                                    

USAI perbincangan, dua orang eksekutif syarikatnya menawarkan diri untuk menghantar Khai pulang tetapi dia menolak dengan alasan Zaiha sudah berjanji untuk menjadi 'pemandu peribadinya' malam itu. Ke mana sahaja Khai ingin pergi, Zaiha sanggup membawanya. Itulah yang Zaiha katakan kepadanya tadi dalam nada berseloroh. Khai tidak kisah. Sesiapa pun boleh menghantarnya pulang. Kalau tidak ada yang sudi, dia naik teksi.
"You nak singgah makan dulu tak?" Zaiha yang sedang sibuk mencari sesuatu di dalam tas tangannya, menoleh ke arah Khai. Renungannya bersahaja, seolah-olah tidak ada hasrat yang terselindung di sebalik pertanyaannya itu. Sekiranya Khai bersetuju, dia akan berlengah-lengah semasa makan dengan membuka topik perbualan yang Khai suka.
Dia tahu tajuk perbincangan yang Khai gemar dan yang sering dihindari oleh lelaki kacak itu. Amelia sendiri yang menyerahkan maklumat itu kepadanya dengan senang hati. Zaiha yakin Amelia pasti menyesal sekarang. Itulah... siapa suruh Amelia suka sangat bercerita tentang peribadi suaminya itu kepada orang. Bukankah diri sendiri yang merana?
"Emm..." Khai memeriksa waktu pada jam tangannya. Sudah melepasi maghrib. "Okey. Biar I solat dulu."
"Okey. I setia menunggu you di sini."
Khai yang sedang melangkah keluar dari pejabatnya, menoleh sekilas sambil tersenyum dan menggelengkan kepalanya, sebelum terus menghayunkan langkah yang agak tergesa. Dia harus segera kerana waktu maghrib pendek. Zaiha merenung nakal punggung Khai. Sedikit masa lagi lelaki itu pasti akan menjadi miliknya, desis hati Zaiha. Bibirnya dibasahkan dengan lidah.
Sementara menunggu Khai menunaikan solat, Zaiha duduk di atas bangku eksekutif Khai yang mahal dan selesa itu. Sudut bibirnya terjongket ke atas, membayangkan majlis di mana dirinya dihadiahkan kerusi seempuk itu oleh Khai. Pemberian yang simbolik itu pastinya dapat dibaca maksudnya oleh sekalian pekerja di syarikat Khai. Mereka akan faham bahawa Zaiha bukan lagi pekerja biasa. Zaiha penting di sisi Khai!
Zaiha tersenyum puas. Dia akan sabar menunggu saat itu tiba. Buat sementara waktu, dia memujuk diri agar berpuas hati dengan bangkunya yang sama seperti bangku pekerja lain, termasuklah bangku Amelia. Huh, Amelia! Serta-merta pandangannya dihalakan ke arah potret Amelia yang terletak di atas meja Khai. Gambar itu jelas dirakamkan tanpa persediaan dari pihak Amelia kerana lirikan mata Amelia dan senyumannya, menampakkan seolah-olah dia baharu sahaja menoleh ke arah kamera sesaat sebelum gambar itu diambil. Pastinya Khai yang menyeru nama Amelia dan membuatkan dia menoleh ke arahnya. Amelia kelihatan bahagia dalam gambar itu.
Tetapi itu cerita lama. Tidak lama lagi potret di atas meja Khai itu akan digantikan dengan gambar aku pula, Zaiha tersenyum penuh bermakna. Fikirannya melayang ke rumah Khai. Apa agaknya yang sedang Amelia buat di rumah? Sedang menangis berhiba-hiba agaknya lantaran sudah tidak dipedulikan lagi oleh suaminya sendiri. Itulah... siapa suruh layan suami acuh tidak acuh sahaja selepas kau balik dari kampung? Sudahlah sepuluh hari kau tinggalkan dia, ada hati pula kau mengenepikan dia. Semua orang ada masalah tetapi ingatlah, kau itu seorang isteri. Sesekali bolehlah kau tidak mempedulikan suami kau tetapi jika sudah terlalu kerap sangat, pasti dia bosan dengan tingkah lakumu. Lambat laun, pasti dia akan mencari orang lain untuk menjadi pendampingnya.
Dan akulah orang itu, yang akan menghilangkan kedahagaan suamimu itu. Akanku curahkan seluruh kasih sayangku terhadapnya sehingga dia tewas dan tersungkur di kakiku. Aku akan pastikan ingatannya hanya pada aku sahaja, Amelia kerana kau tidak layak lagi menjadi isteri dia. Kau sudah diberikan peluang untuk membahagiakan suamimu tetapi kau mensia-siakan peluang itu. Kini, jangan haraplah suamimu akan kembali ke pangkuanmu kerana aku tidak akan melepaskannya daripada genggamanku. Dan jangan marah serta menyebarkan cerita bahawa kononnya aku telah merampas suamimu, sedangkan kau sendiri tahu kau yang bersalah. Siapa suruh kau bercerita tentang suamimu kepadaku? Setiap kali berjumpa, tidak ada kisah lain yang hendak kau bualkan. Asyik fasal Khai sahaja yang kau sogokkan ke telingaku. Elok dahulu aku tidak berminat tetapi sekarang, aku tidak mampu lagi menahan nafsuku terhadap suamimu. Jangan salahkan aku bila dia menjadi milikku suatu hari nanti, Amelia. Kau sendiri yang menyerahkan dia kepadaku.
"Menung jauh, nampak? Teringatkan siapa?" tegur Khai, membuatkan Zaiha tersipu-sipu malu. Segera dia bangun dari bangku eksekutif Khai.
"I teringatkan Amel kat rumah. Entah dah makan entah belum dia. Nanti you bungkuslah mi rebus untuk dia satu. Makanan kegemaran dia tu," ujar Zaiha, pura-pura mengambil berat tentang Amelia. Itulah permainannya; meraih kepercayaan Khai terhadapnya agar lelaki itu melihatnya sebagai dahan tempat bergantung. Menggoda dengan menggunakan kemontokan tubuh badan bukan cara Zaiha. Baginya, hanya perempuan yang kurang bijak akalnya sahaja yang akan memperalatkan tubuh badan sendiri untuk merantai nafsu lelaki.
Namun jika terpaksa, Zaiha tidak teragak-agak mengaplikasikan cara kuno itu untuk memperoleh lelaki idamannya.
Buat masa itu, dia sudah berada dalam zon selesa walaupun jarum masih belum masuk dengan sepenuhnya. Khai memang sudah hampir berada di persimpangan dan kepercayaan Khai terhadapnya juga sudah hampir menyeluruh tetapi sayang, kesetiaan Khai terhadap Amelia masih terlalu utuh. Lagi seminggu, bisik hati Zaiha. Lagi seminggu, kau akan menjadi milikku!
"You memang sahabat yang baik, Zaiha," puji Khai.
Zaiha sekadar tersenyum, padahal hatinya bersorak. Aku baik ada makna, Khai.
"Amel beruntung dapat kawan macam you," sambung Khai lagi. "Tapi tak payah membazir belikan makanan untuk dia. Dia takkan makan lepas pukul lapan malam. Sanggup berlapar sampai pagi semata-mata nak jaga badan. Mengarut ke tidak?"
"Orang perempuan macam tulah, Khai!"
"You tak kisah pun. Jam sepuluh, jam dua belas, elok aje you makan."
"Badan I bukan jenis yang cepat naik macam badan Amel. Metabolisme I tinggi. Amel, dari dulu lagi dia kena jaga makan. Kalau dia tak berpantang, badan dia memang cepat naik macam kena pam. Tak payah tunggu lama. Seminggu aje cukup. Terus gedabak badan dia. Buruk you muka dia masa dia gemuk dulu. Sebab tu dia cukup jaga fasal bab makan ni," ujar Zaiha. Dalam menunjuk baik, dia masih sempat memburukkan Amelia.
"Hidup ni hanya sekali. Untung apa menyusahkan diri?"
"Eh... dia sanggup susahkan diri dia tu bukannya untuk orang lain, tau! Untuk you jugak. You kena hargai usaha dia tu. Kalau I jadi isteri you, mesti I kecik hati kalau I tahu you pandang remeh aje kat usaha I mencantikkan badan. Kita nak bagi dia bangga ada isteri yang solid molid, tengok-tengok dia tak kisah pun," sebut Zaiha dengan nada yang dia tahu pasti akan menarik perhatian Khai. Dia mahu Khai mengingati kata-katanya itu. Bila mereka bersama nanti, dia mahu Khai sentiasa menghargainya. "You dah sedia ke? Jomlah! Nanti lewat pulak you balik ke rumah. Kasihan Amel tertunggu-tunggu," katanya lagi seraya menyangkutkan tali tas tangannya ke bahu.
"Biarlah. Kalau ada kat rumah pun, bukannya dia nak bersembang dengan I. Dia lebih rela menyendiri kat dalam bilik tu. Lebih baik I bersembang dengan you," keluh Khai seraya mengajak Zaiha keluar dari situ. Tingkah laku Amelia amat merunsingkannya. Apa yang Amelia mahukan lagi, Khai pun tidak tahu. Mujur ada Zaiha yang sudi membantu meleraikan kekusutan masalahnya. Jika tidak, boleh gila Khai dibuatnya. Zaiha cukup baik. Cukup sabar mendengar rintihannya. Ketika itu, Khai benar-benar bersyukur kerana Zaiha hadir dalam hidupnya.
"You suami. You kena banyakkan sabar. Dia risaukan bapak dia tu. Cuba you tukar tempat dengan dia. Mesti you pun murung macam dia bila bapak you sakit. You sabar, tau. Bagi dia masa. Jangan marah-marah. Tak baik," nasihat Zaiha dengan nada tegas tetapi lembut. Nada suaranya sungguh meyakinkan. Sesiapa yang mendengar, pasti tidak percaya bahawa dia sedang bersandiwara. Oleh sebab itu jugalah dengan mudah Khai tertipu.
"Sementara tu, kalau you ada masalah ke apa, I kan ada. Apa guna kawan kalau tak boleh tolong kawan sendiri?" tokok Zaiha lagi.
"Dah selalu sangat I susahkan you, Zaiha."
"I tak kisah. Kita kan kawan?" Zaiha mengajak Khai masuk ke dalam kereta terpakai yang dihadiahkan oleh seseorang kepadanya beberapa tahun yang lalu. Tahun ini, Zaiha berjanji pada diri sendiri, dia akan membeli sebuah kereta baru. Atau lebih tepat lagi, Khai yang akan menghadiahkan kereta baru itu kepadanya. Zaiha tersenyum kecil. "You nak makan kat mana? Cakap. Biar I bawakan."
"Mana-mana pun tak apa."
Zaiha menghidupkan enjin kereta dan memandu menghala ke Shah Alam. Sanggup dia ke sana semata-mata untuk membawa Khai ke restoran yang jauh dari rumah lelaki itu. Perjalanan pergi balik sahaja akan memakan masa selama satu jam. Bersembang semasa makan, dua tiga jam. Selepas tengah malam, baru dia akan menghantar Khai pulang ke rumah. Biar Amelia tertunggu-tunggu sehingga tertidur. Itu sahaja caranya untuk mengajar isteri seperti Amelia. Isteri yang tidak tahu menghargai suaminya.
"Zaiha..."
"Hmm..." sambut Zaiha dengan suara manja. Dia menoleh sekilas ke arah Khai sebelum kembali memandang ke jalan raya.
"I nak mintak maaf."
"Kenapa?" Dada Zaiha tiba-tiba sahaja berdebar. Serta-merta pandangannya jatuh pada tangan kanan Khai yang terletak di atas paha lelaki itu. Hendak menjalarkah tangannya itu? Jika betul Khai hendak meletakkan tangannya di atas paha Zaiha, Zaiha tidak akan melarang, malah dia lebih daripada rela.
"Dulu, masa Amel suruh I ambik you kerja dengan kami, I bantah cadangan dia."
"Apa?" Zaiha benar-benar terperanjat. Amelia tidak pernah menceritakan perkara itu kepadanya. Patutlah Amelia sentiasa beralasan bila Zaiha bertanya bila dia boleh memulakan kerjanya di syarikat suami isteri itu. Tidak pula dia menyangka Khai yang menjadi penghalangnya.
"I mintak maaf."
"Sampainya hati you. I nak merajuklah!"
"Takkan nak merajuk kut? Kan sekarang you dah kerja dengan kami?" Khai pandang Zaiha yang sedang mencebik. Dalam cahaya lampu jalan yang berbalam menyinari paras rupa Zaiha, Khai dapat melihat riak wajah Zaiha yang memusykilkan hatinya. Kelihatannya Zaiha benar-benar tersinggung dan terkilan. Pelik! Bukankah sekarang Zaiha sudah bekerja di syarikat yang Khai dan Amelia miliki bersama? Tidak perlu rasanya dia berasa hati dengan pengakuan ikhlas Khai tadi.
"Zaiha?" panggil Khai lagi, didesak oleh perasaan risau.
Serta-merta Zaiha menoleh sambil tersenyum manis. Hakikatnya, hatinya benar-benar terluka ketika itu. Tidak disangkanya Khai memandang rendah terhadapnya. Itulah punca Khai membantah rancangan Amelia hendak membawanya masuk ke syarikat mereka, bukan? Khai tidak mengenalinya. Tidak pernah melihat rupanya. Apa lagi yang membuatkan Khai menolak usul Amelia jika bukan kerana kekurangannya dalam bidang akademik?
"I acah ajelah. You ni... I main-main pun tak boleh ke?" Zaiha melepaskan tawa. Dia menyuruh hatinya melupakan tanggapan lama Khai terhadapnya. Perkara itu sudah berlalu. Yang perlu dia fikirkan sekarang ialah cara yang paling berkesan untuk mengikat hati Khai supaya lelaki itu hanya patuh kepada kehendaknya sahaja.
"Jangan buat I risau. Dahlah isteri I si Amel tu buat perangai..."
"I bukan macam Amel! Dia tu sensitif sangat," potong Zaiha. "I... situasi tak akan merubah peribadi I. Tapi situasi Amel tu bukan situasi biasa, Khai. Bapak dia sakit tenat. Bapak dia, bapak you jugak. You kena faham perasaan dia. Kena simpati. Kadang-kadang kita kena tolak ke tepi ego kita demi orang yang kita sayang," nasihat Zaiha lagi, sedangkan hatinya ketika itu membengkak kerana Khai menyebut nama Amelia sebaris dengan perkataan isteri. Zaiha perlu memikirkan taktik baru untuk mempercepatkan proses memisahkan perasaan, fikiran dan fizikal Khai daripada terus mengingati Amelia. Dia tidak mahu lagi menjadi kaunselor rumah tangga Khai. Selepas ini dia hanya mahu berbicara tentang dirinya dan Khai sahaja. Tentang cinta mereka. Amelia harus dikeluarkan dari bingkai kehidupan mereka dengan segera.
"Yalah. Nanti I cuba buat apa yang you suruh tu."
"Jangan cuba aje. You mesti buat!" tegas Zaiha. "Bukan suami aje yang suka kena pujuk tau. Isteri pun sama. I tahu you penat. Dan I tahu, Amel sepatutnya mendahulukan you tapi you kena bagi pengecualian untuk situasi ni. Amel tengah berduka tu, Khai. You kena pujuk dia. Cakap baik-baik dengan dia."
"Yalah. Malam ni I pujuk dia."
"Bagus!" kata Zaiha. Tetapi maaflah, Khai. Malam ini kau tidak akan dapat memujuk Amelia kerana aku sudah buat rancangan lain untuk kita berdua.
Mereka terdiam, melayan fikiran masing-masing. Di ingatan Khai hanya ada isterinya sahaja. Memikirkan sedalam-dalamnya tentang bebanan perasaan yang terpaksa ditanggung oleh Amelia sebaik sahaja mengetahui tentang penyakit bapanya. Khai selak semula memori lama kehidupannya. Dia teringat kembali bagaimana peritnya hidup akibat kehilangan arah setelah diberitahu oleh doktor tentang penyakit kritikal yang sedang menghuni tubuh ibunya dua tahun yang lalu. Hendak membantu, Khai tidak tahu kerana kepakarannya bukan dalam bidang perubatan. Jadi dengan berat hati dia terpaksa menyerahkan nasib ibunya kepada orang lain. Dia terpaksa reda. Dan selama ibunya dirawat di hospital, jiwa Khai sendat dengan tekanan demi tekanan yang tidak diketahui daripada mana puncanya. Tujuan hidupnya ketika itu hanya satu sahaja; mencari penawar bagi penyakit ibunya.
Allah! Bisik hati Khai. Pastinya Amelia juga sedang dilanda tekanan yang sama. Dahulu, Amelialah yang telah menariknya ke tebing ketika dia tenggelam dalam arus keresahan. Tetapi kini, dia menghilangkan diri tatkala Amelia teraba-raba mencari jalan keluar dari kegelapan yang tidak berpenghujung. Betapa kejamnya aku, ya Allah. Kekesalan mula mencuit hatinya. Khai berasa seperti mahu terus pulang ke rumah untuk memujuk Amelia. Dia mahu memeluk isterinya itu. Mahu meminta ampun dan maaf. Mahu menghilangkan rindu yang sudah lama bertapak. Sejak Amelia kembali dari kampung, mereka masih belum lagi bersanggama. Terasa rindu terhadap Amelia membakar dalam jiwanya.
"Khai..."
Tiba-tiba Zaiha bersuara, menarik Amelia keluar dari ingatan Khai. Serta-merta Khai menoleh. Melihat Zaiha, langsung dia tidak sampai hati hendak meminta perempuan itu memusingkan kereta dan menghantarnya pulang. Zaiha terlalu baik terhadapnya. Dan Zaiha pastinya sedang kelaparan. Terasa kejam pula jika dia tidak menemani Zaiha makan malam itu.
"Kalau I tanya you satu soalan, you jangan marah tau," ujar Zaiha.
"Tanyalah. I takkan marah punya."
"You janji?" Zaiha sengaja membuat suara manja.
"I janji."
"Okey. Emm... kalau you rasa soalan I ni terlalu sensitif, tak payah jawab, tau."
"Okey." Khai mengangguk.
"Emm... macam ni. Dah tiga tahun you kahwin, kan? Tapi kenapa masih tak ada tanda-tanda you nak jadi seorang bapa? You dengan Amel ni sebenarnya merancang ke?" soal Zaiha dengan berhati-hati, bimbang Khai akan menolak untuk menjawab soalannya itu. Jujur Zaiha katakan, dia sangat teruja ingin mengetahui duduk perkara yang sebenarnya. Mereka memang merancangkah dan sengaja berlengah-lengah untuk memperoleh cahaya mata. Atau memang ada sesuatu yang tidak kena pada mereka berdua, terutamanya pada Khai?
Jika ditakdirkan Khai yang mandul, Khai yang tidak mampu memberikan zuriat, bagaimana? Pentingkah perkara itu kepada aku, soal Zaiha kepada hatinya sendiri.
"Oh... fasal tu ke?" Khai ketawa. "Kami tak pernah merancang. Tapi dah belum rezeki, nak buat macam mana?"
"You tak nak check doktor ke? Ajaklah Amel buat pemeriksaan. Manalah tahukan, kut-kut ada bahagian yang tersumbat," saran Zaiha. Tuduhan dalam kata-katanya itu hanya ditujukan kepada Amelia sahaja, malah dia sempat membayangkan Amelia keresahan bila doktor yang merawatnya memberitahu bahawa dia mandul. Bibir Zaiha terjongket sedikit ke atas.
"Hmm... tak terfikir pulak fasal tu. I tak terdesak nak dapat anak. Amel pun sama. Kalau tidak, mesti dia ada sebut."
"Dia ada sebut kat I!" lontar bibir Zaiha sebelum dia sempat memikirkan akibat kata-katanya itu.
Memang satu hakikat bahawa dia dan Amelia pernah memperkatakan tentang anak tetapi bukan Amelia yang membangkitkan perkara itu. Dia yang bertanya dan terus bertanya, cuba meniupkan perasaan sedih di hati Amelia lantaran gagal memberikan zuriat kepada Khai tetapi Amelia bukan sahaja tidak bersedih, malah sahabatnya itu menukarkan perbualan yang bersifat negatif itu kepada positif, membuatkan hati Zaiha sendiri terbakar dek api cemburu. Namun, dia terpaksa melayan Amelia yang sudah mula leka berbicara tentang kecomelan sepasang anaknya bersama Khai nanti. Semakin rancak Amelia berkata-kata, semakin semarak api cemburu membakar jiwa Zaiha. Bahangnya terasa hingga ke muka. Namun, dia terpaksa pendamkan rasa kerana dia yang memulakan tajuk itu. Dia yang mendesak Amelia memikirkan tentang anak. Jika tiba-tiba sahaja dia membentak menyuruh Amelia diam, pasti Amelia akan mengesyaki sesuatu.
"Ya ke? Amel ada sebut? Apa dia kata?" tanya Khai, risau memikirkan sebab mengapa Amelia enggan membincangkan hal anak dengannya. Khai faham, Zaiha sahabat baik Amelia dan Zaiha seorang perempuan. Sudah tentu Amelia berasa lebih selesa memperkatakan perkara itu di hadapan Zaiha. Tetapi Khai suami Amelia. Soal anak adalah soal mereka berdua. Mengapa Amelia mencari Zaiha pula untuk membincangkan soal itu? Apa yang Amelia takutkan?
Barangkali Amelia yakin Khailah punca mereka masih belum mempunyai cahaya mata sehingga kini. Khai yang mandul. Sebab itulah dia takut untuk membangkitkan soal anak di hadapan Khai.
"Dia cakap dia nak dua orang anak. Sorang lelaki dan sorang perempuan. Selalulah jugak dia bayangkan rupa anak-anak dia tu. Macam teringin aje."
Jawapan Zaiha itu memberikan satu tamparan hebat kepada Khai. Benarlah, bisik hatinya, Amelia bimbang dia akan berkecil hati jika Amelia mengajaknya berbincang tentang anak. Rupa-rupanya selama ini Amelia memendam perasaan tetapi sampai bila dia sanggup menyembunyikan keinginan untuk menjadi seorang ibu dalam hatinya sahaja? Sebab itulah dia mencari Zaiha. Dia bercerita kepada Zaiha sebagai jalan untuk melepaskan tekanan yang dirasai.
"Sampai di rumah nanti, I nak ajak dia berbincang fasal benda ni. Dah sampai masanya I hentikan ketegangan yang menjarakkan hubungan kami," putus Khai, membuatkan Zaiha terkedu.
"Emm... kalau dia dah tidur jangan kacau. Tak baik," nasihat Zaiha. Itu sahaja yang termampu difikirkan oleh akalnya yang sudah panik. Niat Khai itu harus digagalkan. Jika tidak, Zaiha sendiri yang akan gigit jari. Zaiha arif benar apa yang akan berlaku apabila pasangan suami isteri yang bergaduh cuba berbaik semula. Kelazimannya, babak pujuk-memujuk akan diakhiri dengan kehangatan pelukan asmara di ranjang.
"Kalau you tak kisah, boleh tak I tahu apa benda yang you nak bincangkan dengan Amel? Fasal anak ke?" soal Zaiha.
"Semuanya."
"Ini pendapat I ajelah. Baik you tunggu siang baru you ajak dia berbincang. Tak baik bincang malam-malam. Kalau bergaduh nanti, macam mana?"
"Kenapa pulak kami nak bergaduh?"
"Yalah, kan? Kut nanti terkeluar kata-kata yang menghiris hati sesiapa, mesti bergaduh punya. You tunggu sianglah. Bagi masa kat diri you sendiri untuk fikir apa yang you nak cakapkan kat dia," ujar Zaiha. Dia berharap Khai akan bersetuju dengan saranannya itu. Masa yang Zaiha suruh Khai ambil itu bukanlah untuk Khai sebenarnya tetapi untuk dirinya sendiri agar dia dapat memikirkan cara untuk menghalang Khai daripada berbaik semula dengan Amelia.
Mata Khai melirik ke arah jam digital kereta itu. Dia mencongak waktu dalam kepalanya. Akhirnya, dia mengangguk. "Esok ajelah I cakap dengan dia."
Zaiha menghela nafas lega dengan teramat perlahan sekali. Sekarang, bisik hatinya, dia perlu melakukan sesuatu yang cukup drastik bagi mengubah hasrat Khai. Niat Khai itu mungkin tidak boleh dihalang tetapi boleh dilengah-lengahkan. Dia hanya perlu mencari amunisi untuk membuatkan Khai berasa kurang yakin dengan impak yang akan terhasil daripada niatnya itu.
"Lepas tu, sebaik-baiknya you dengan dia pergi buat pemeriksaan doktor. Kena pastikan betul-betul kenapa you berdua masih tak dapat anak sampai sekarang. Kalau tahu puncanya, senang you all nak ambik langkah seterusnya. Ini pendapat I aje, Khai. Jangan kecik hati tau."
"Pendapat you tu betul. Dah sampai masanya kami buat pemeriksaan doktor."
Zaiha mengangguk-anggukkan kepalanya. "Harap-harapnya you all berdua sihat. Subur. Tapi kalau ditakdirkan Amel mandul, macam mana?" soal Zaiha seraya memberhentikan keretanya di hadapan restoran yang ingin mereka kunjungi. Dipandangnya Khai yang sedang terkebil-kebil merenung ke hadapan dengan wajah kebingungan. Zaiha tersenyum puas. "Jom turun. Kita sembang sambil makan."
Bagaikan orang bodoh, Khai menurut.

Peluklah Aku SayangWhere stories live. Discover now