8

2.7K 9 0
                                    

8

BERCELARU perasaan Amelia semasa mendengar kata-kata Zaiha sehingga membuatkan dia terpaku merenung Zaiha, cuba membaca tujuan Zaiha menyusahkan hatinya dengan berita tentang keadaan bapanya. Hati anak mana yang tidak risau, sementelah dia sangat rapat dengan bapanya, namun pada masa yang sama Amelia tidak berani untuk mempercayai kata-kata yang keluar dari mulut Zaiha lagi.
"Baru semalam aku telefon mak aku, Zaiha. Dia kata bapak aku okey je." Agak lemah suara yang keluar dari dua ulas bibir Amelia, dirantai ketakutan memikirkan kebenaran kata-kata Zaiha. Tidak ada yang mustahil dalam dunia ini, walaupun berita itu keluar dari mulut perempuan seperti Zaiha.
"Semalam kau telefon, hari ni dah 24 jam. Macam-macam boleh berlaku dalam masa 24 jam, Amel," balas Zaiha, membuatkan Amelia berasa dirinya semakin mengerdil gerun. Zaiha usap lembut bahu Amelia, mahu Khai melihat betapa prihatinnya dia terhadap Amelia sedangkan dalam hatinya Zaiha sedang menunggu saat yang sesuai untuk memisahkan Khai dari Amelia, sekurang-kurangnya untuk sehari pun cukuplah. Macam-macam boleh dilakukannya dalam masa 24 jam itu. Jika Amel berlama-lama di kampung, lagi bagus. Lagi mudah kerja Zaiha menggoda Khai.
Zaiha masih yakin Khai sebenarnya hanya berlakon sahaja tadi semasa lelaki itu berkata bahawa dia tidak pernah menyimpan perasaan terhadap Zaiha tetapi Zaiha tahu Khai memang tertarik padanya. Alasan Zaiha mudah sahaja; orang lelaki ini tidak akan - Zaiha ulang - tidak akan memberi perhatian kepada seseorang perempuan jika mereka tidak berminat terhadapnya. Noktah! Alasan kononnya Khai mendekati Zaiha sekadar untuk bertanya tentang Amelia adalah alasan yang sangat bijak. Tengoklah sekarang, betapa Amelia mempercayai semula suaminya itu. Amelia sudah memaafkan Khai sedangkan Zaiha tahu jauh di sudut hati Khai, lelaki itu masih berharap untuk mengenali Zaiha dengan lebih mendalam lagi. Daripada cara Khai memandang ke arahnya pun Zaiha sudah tahu Khai menaruh hati padanya.
"Telefonlah emak kau kalau kau tak percaya." Zaiha terus mendesak dengan lembut. Riak risau dipamerkannya supaya hati Amelia bertambah kacau. Sudah ringan mulutnya hendak menyuruh Amelia kembali ke mejanya di luar sana untuk membuat panggilan telefon ke kampung. Orang yang tengah celaru minda ini, sangat mudah menerima saranan orang lain tanpa memikirkan baik buruknya dahulu.
"Jom telefon mak kau," kata Zaiha lagi apabila melihat Amelia masih membatu. Ditariknya lengan Amelia ingin mengajak Amelia keluar dari pejabat Khai.
"Amel," panggil Khai.
Serentak, Amelia dan Zaiha menoleh ke arah Khai.
"Mak..." kata Khai lagi seraya mengunjukkan gagang telefon pejabatnya ke arah Amelia.
Meradang hati Zaiha dibuatnya, tidak menyangka Khai akan bertindak sebodoh itu dan seterusnya menggagalkan rancangannya. Khai ini sebenarnya mengapa? Hendak berlakon baik sekalipun janganlah keterlaluan sangat sehingga menyusahkannya pula. Dalam situasi ini Khai perlu pandai menjaga hatinya juga, bukan jaga hati Amelia sahaja, bentak Zaiha dalam diam sambil merenung tajam ke arah Khai, cuba memberi isyarat mata namun sedetik pun Khai tidak memandang ke arahnya. Tumpuan Khai hanya pada Amelia sahaja. Zaiha semakin meradang. Dadanya berasa seperti hendak meletup tetapi dia tahankan perasaan itu.
Sepantas kilat Amelia mengambil gagang telefon daripada tangan Khai dan berdiri dekat dengan suaminya yang duduk di bucu meja. Sebelah tangannya Khai genggam untuk memberi semangat. Khai sudah menanam azam, jika sebelum ini dia gagal memahami hati Amelia dan gagal menghilangkan resah di hati Amelia, kali ini dia cuba memastikan kesilapan lama itu tidak akan diulanginya lagi. Dia tidak akan membiarkan isterinya terkapai-kapai seorang diri lagi.
Zaiha berasa dirinya seperti orang bodoh, tercegat di situ sambil memandang ke arah pasangan suami isteri yang ternyata telah berjaya mencantumkan semula kasih dan cinta mereka yang hampir diputuskannya. Matanya tajam merenung Khai dan tangan Khai yang menggenggam erat tangan Amelia. Bercelaru mindanya memikirkan permainan Khai yang keterlaluan itu.
Khai menoleh ke arah Zaiha, baru sedar pekerjanya itu masih berada di situ. Zaiha terkejut lantas menegakkan kepalanya, berasa nyawanya seolah-olah berjaya melepaskan diri dari jerutan berapi yang menyakitkan. Dia hampir menghadiahkan Khai sebuah senyuman lantaran menyangka Khai sedang mencuri peluang untuk memandang ke arahnya, tersenyum kepadanya dan memujuknya tanpa lisan.
“Zaiha, awak boleh balik ke meja awak," kata Khai sebelum kembali fokus pada Amelia.
Lenyap terus harapan yang baru hendak berbunga dalam hati Zaiha. Tidak dapat dia bayangkan perasaannya yang bercampur aduk dengan segala rasa itu. Yang nyata, dia tersangat marah. Tersangat terluka. Sebaik sahaja berpusing untuk berlalu, bibir Zaiha terkuit-kuit menahan sembilu diperlakukan sehina itu oleh Khai. Sesaat pun dia tidak menyangka bahawa Khai tergamak menjatuhkan maruahnya di hadapan Amelia!
Muka Zaiha terasa berbahang dan matanya sudah mula ditakungi air panas yang bila-bila masa sahaja bakal menitis. Zaiha melajukan langkah, bimbang Khai atau Amelia akan memanggilnya semula. Amelia pasti akan mengetatkan lagi belitannya pada Khai jika dia melihat keadaan Zaiha itu yang jelas mempamerkan perasaannya yang sebenar terhadap Khai. Amelia tidak mungkin akan berlekang dari Khai selepas itu sehinggalah dia benar-benar yakin Zaiha tidak lagi menjadi ancaman terhadap rumah tangganya.
Bermakna, sekali lagi Zaiha akan kehilangan kerja!
Dia tidak mampu hidup jika diberhentikan sekali lagi. Dia suka bekerja di situ. Dia akui mereka di situ melayannya dengan baik sehinggalah Amelia kembali dari kampung minggu lalu. Semua masalah yang dihadapinya sekarang berpunca daripada Amelia. Perempuan itu perlu diusir dari pejabat itu dan dari hidup Khai. Tetapi buat masa ini, dia perlu melangkah dengan berhati-hati supaya rezekinya kekal di situ. Di situ dia sentiasa dekat dengan Khai. Tidak sanggup rasanya dia berpisah dengan Khai walaupun atas nama lakonan semata.
Cepat-cepat Zaiha ke bilik air untuk membersihkan sisa-sisa perasaan yang tercalit pada wajahnya. Dia yakinkan hati bahawa Khai hanya berlakon sahaja semasa menyuruhnya keluar dari situ. Khai terpaksa berkasar dengannya demi memastikan Amelia tidak mengesyaki apa-apa. Zaiha kata pada diri sendiri, dia tidak boleh lembik lagi bila berhadapan dengan permainan Khai yang menyakitkan hatinya itu kerana dia tidak tahu apa yang difikirkan oleh Khai, namun dia yakin Khai melakukan semua itu untuk mereka berdua agar di hujung perjalanan yang perit ini, cinta mereka berjaya disatukan juga. Buat sementara waktu ini, dia perlu kentalkan hatinya jika dia mahu Khai menjadi miliknya.
Memang tidak susah mana hendak mencari lelaki lain untuk dijadikan suami tetapi sudah terlanjur mencintai Khai dan dicintai oleh lelaki itu, lebih baik dia teruskan sahaja rancangan asalnya itu walaupun dia bakal menghadapi saingan yang sangat sengit daripada Amelia. Untuk melemahkan Amelia mudah sahaja. Zaiha hanya perlu mencari kesalahan Amelia. Kekurangan Amelia dia tahu tetapi ia tidak berguna bagi Zaiha kerana Khai sendiri sudah menerima Amelia seadanya. Namun, kesalahan Amelia bakal membuatkan Khai berjauh hati hingga menjauhkan dirinya dari Amelia. Semasa itulah Zaiha akan memastikan Khai berada dalam genggamannya.
Dia keluar dari bilik air menuju ke kubikalnya. Semasa melangkah ke mejanya Zaiha menoleh sekali imbas ke arah pejabat Khai, berharap untuk melihat Khai sudah ditinggalkan bersendirian di situ. Bolehlah dia menelefon Khai untuk memuji permainan lelaki itu sebentar tadi. Biarpun hatinya disakiti dengan bicara dan kelakuan Khai, namun dia tidak boleh memarahi Khai atau meluahkan rasa terkilannya bimbang Khai akan memberontak. Orang lelaki ini mereka cukup rimas jika terlalu diasak dengan soal hati. Namun, dia tidak menjangka akan melihat pejabat Khai gelap bermakna Khai sudah keluar dari situ. Langsung langkah Zaiha terhenti, terpaku merenung ke arah pejabat majikannya itu tanpa mempedulikan orang lain yang kehairanan melihat wajahnya yang sudah merah padam. Dia tidak bersedia untuk melihat pejabat Khai diselaputi kegelapan. Tidak bersedia untuk  ditinggalkan. Remuk redam hatinya kerana Khai keluar tanpa memberitahunya terlebih dahulu.
Kepalanya ditolehkan ke arah tingkap pula. Ternampak Khai dan Amelia yang sedang membongkok untuk masuk ke dalam kereta mereka, Zaiha hendak berlari mengejar mereka, hendak bertanya Khai ke mana arah tujunya. Mujur dia cepat sedar bahawa tindakannya itu hanya akan menyusahkannya sahaja, lalu dia melangkah ke mejanya dengan perasaan yang berbelak-belak, tidak tahu bagaimana hendak menenangkan kekacauan yang terlalu kuat melanda benteng hatinya.
“You tahu tak Khai pergi mana?” tanyanya kepada pekerja yang berjiran kubikal dengannya seraya melabuhkan punggung sendiri di atas bangku. Suaranya bergetar.
“Maksud you Encik Khai? Lunch kut,” jawab pekerja itu dari kubikalnya sendiri.
Zaiha periksa waktu pada jam tangannya. Sudah pukul 12.30. Patutlah pejabat itu lengang sahaja. Dia kembali bangun untuk keluar dari situ sambil meneka-neka di kedai mana Khai menjamu seleranya tengah hari itu. Khai pernah membawanya makan tengah hari di empat buah kedai berlainan semasa Amelia berada di kampung minggu lalu. Zaiha akan pergi ke semua kedai-kedai makan itu, tengok di mana Khai makan kemudian dia akan singgah di kedai itu juga. Bukan untuk makan di situ. Tidak! Dia akan beli nasi bungkus sahaja kecuali... jika Amelia mengajaknya makan bersama.
Pedih hatinya bila mengenangkan Amelia sedang makan beradap semeja dengan Khai. Pedih hati Zaiha!

Peluklah Aku SayangWhere stories live. Discover now