7

6.4K 12 0
                                    

ZAIHA berdiri sambil bercekak pinggang. Melentik keras tubuhnya semasa dia memanjangkan leher melepasi dinding kubikal stesen kerjanya untuk meneropong bilik berdinding kaca yang terletak nun jauh di hujung sana. Sejurus dia duduk semula, mengangkat gagang telefon mejanya dan menekan butang REDIAL, namun seperti sepuluh kali tadi hanya suara dari mesin rakaman sahaja yang kedengaran, menyatakan telefon bimbit itu masih tidak dapat dihubungi.
Dihempasnya gagang telefon itu ke tempatnya. Terdengar dehaman seseorang menegurnya tetapi dia peduli apa? Mereka semua setaraf dengannya, ada hati pula hendak menegur tingkah lakunya.
‘Sikit lagi... sikit je lagi korang takkan berani berdeham-deham kat aku. Korang tengoklah nanti apa aku nak buat kat korang,’ bisik hati Zaiha penuh yakin.
Hati yang resah gelisah memaksa Zaiha bangun dan kembali mengintai, namun orang yang diintai masih belum nampak lagi kelibatnya. Mendongkol dia menghenyak punggung pada kusyen bangkunya. Sekejap berpeluk tubuh, sekejap menaip, sekejap dia menyemak dokumen yang sudah beberapa kali disemak - membaca sekerat jalan sebelum menolak dokumen itu ke tepi, selepas itu dia bangun semula dan memanjangkan lehernya mengintai ke luar tingkap pula. Kotak parkir khas itu masih kosong. Kenderaan yang sepatutnya mengisi kotak parkir itu masih belum menampakkan batang hidung, membuatkan fikirannya semakin celaru dan hatinya seolah-olah sudah bertukar menjadi bom jangka yang akan meletup pada bila-bila masa sahaja. Saat itu, dia benar-benar kehilangan fokus sehingga merasakan dirinya sedang dilanda amnesia.
Semuanya gara-gara Khai dan Amelia!
Pasangan suami isteri itu masih belum masuk kerja lagi meskipun hari sudah hampir tengah hari. Mendidih darah Zaiha bila memikirkan Khai dan Amelia yang masih memadu asmara di atas ranjang. Apa lagi yang mereka buat jika bukan berasmara? Kedua-duanya mematikan telefon bimbit masing-masing jadi apa yang patut Zaiha fikirkan lagi? Apa?
Babak asmara yang sedang dimainkan oleh Khai dan Amelia berputar di ruangan mata Zaiha. Kedua-duanya bak Adam dan Hawa, hanya berselimut nipis untuk menutupi tubuh mereka yang tidak disaluti walau seurat benang pun. Fokusnya hanya pada Amelia yang begitu manja sekali merangkul Khai. Begitu manja sekali diulit Khai.
Zaiha menggenggam dua tangannya yang menggigil dikuasai amarah.
‘Sepatutnya aku yang bersama Khai, bukannya kau!’ jerit hatinya. ‘Kenapa Khai? Kenapa kau terlalu lemah? Susah sangat ke nak tolak kehendak Amel? Sampai berbuih-buih mulut aku bagi tunjuk ajar kat kau tengah malam tadi, masih kau tak faham. Kentalkanlah sikit hati tu. Jangan diturutkan sangat cakap isteri kau tu. Amel perlu diajar, bukan dipujuk dengan rayuan dan belaian,’ rengus hati Zaiha lagi.
Dada Zaiha bergetar menahan didih semasa ia turun naik mengepam oksigen. Marahnya dihalakan ke arah Amelia. Seluruh kesalahan diletakkannya di atas bahu Amelia. Khai tidak akan datang lewat ke pejabat pagi itu jika Amelia tidak menggoda suaminya malam tadi. Sebab itulah Amelia tidak tidur lagi semasa Zaiha menghantar Khai pulang. Amelia sanggup melawan rasa mengantuknya semata-mata mahu menunggu Khai supaya dia dapat menggoda Khai. Berasmara dengan Khai. Memadu kasih sayang dengan Khai. Argh!
‘Kau memang perempuan murahan, Amel! Hanya tahu guna seks saja untuk ikat hati suami kau tu,’ bentak Zaiha dalam hati, berang kerana dia gagal membaca agenda Amelia itu. Bukankah siangnya Amelia terlalu berduka? Amelia terlalu runsing mengenangkan kesihatan bapanya sehingga mengabaikan Khai. Mengapa tiba-tiba sahaja Amelia berubah menjadi ceria hingga berani menggoda suaminya dan mengajak Khai berasmara dengannya? Mengapa? Apa puncanya? Bapanya sudah sihat agaknya sebab itulah tiba-tiba sahaja emosi Amelia berubah rupa.
Demi memuaskan hatinya, Zaiha capai gagang telefon pejabat itu sekali lagi lalu dia mendail nombor telefon rumah ibu bapa Amelia, ingin memastikan telahannya itu betul. Entah mengapa dia berasa jawapan itu sangat penting bagi dirinya. Dan jawapan kepada soalannya itu akan memudahkan dia mengatur langkah yang selanjutnya.
Panggilannya dijawab oleh ibu Amelia.
"Assalamualaikum, mak cik. Apa khabar?" sapanya dengan suara mesra.
"Wa'alaikumussalam. Macam nilah, sihat orang tua. Siapa ni?"
"Zaiha, mak cik. Kawan baik Amelia tu."
"Ooo... lama tak dengar cerita. Sihat ke?" Emak Amelia ingat-ingat lupa.
"Alhamdulillah. Saya telefon ni nak tanya khabar pak cik. Dah okey ke dia sekarang?"
Ibu Amelia melepaskan keluhan tanpa sengaja, kepenatan kerana terpaksa berdepan dengan kerenah dan kedegilan suami tercinta. Sudah menjadi tugas seorang isteri merawat dan menjaga suami yang sedang sakit tetapi tolonglah bagi kerjasama kerana dia juga sudah berusia. Dia faham suaminya pasti kecewa kerana tidak dapat lagi melakukan aktiviti yang biasa dilakukannya semasa sihat dahulu, malah terpaksa bergantung sepenuhnya kepada dia pula. Hendak makan pun perlu bersuap sekarang kerana tangan suaminya masih belum kuat lagi untuk menggenggam sudu. Itu dia tidak kisah sangat. Mana susahnya menyuap suami makan? Semasa muda-muda dahulu, semasa mereka suami isteri hendak bermanja-manja boleh pula makan bersuap, takkanlah bila sudah sakit begini dia hendak berkira? Cuma dia kesal kerana suaminya enggan memakai lampin pakai buang seperti yang disarankan oleh pihak hospital. Buat sementara waktu ini, semasa masih belum boleh berjalan ini, pakailah. Tolong dia agar badannya tidak penat dan hatinya tidak merungut-rungut semasa terpaksa membersihkan najis yang mencemar lantai marmar rumah mereka semasa suaminya mengesot hendak ke bilik air.
"Pak cik masih macam tu jugak, Zaidah... eh, apa ke nama kamu tadi?”
“Zaiha, mak cik.” Bibir Zaiha mencebir. Baru sahaja dia menyebut namanya, emak Amelia sudah lupa. Sengaja agaknya. Dasar! Anak dan emak hanya ingin menyakiti hatinya sahaja.
“Hah, Zaiha... lambat lagi baiknya pak cik kamu tu kata doktor."
"Sabar, mak cik. Memang sakit macam tu makan masa nak baik. Amelia tahu ke keadaan bapak dia ni?" tanya Zaiha dengan nada yang kedengaran seolah-olah dia prihatin sangat di telinga ibu Amelia, padahal dia sedang menahan bara yang sudah mendidih dalam hatinya lantaran jawapan emak Amelia itu telah mengosongkan balik ruang jawapan untuk soalan yang berlingkar dalam fikirannya. Terpaksa akalnya dikerah menjelajah ke seluruh daerah yang penting bagi Amelia untuk merungkai asbab kebahagiaan Amelia malam tadi. Keadaan kesihatan bapa Amelia bukan sebabnya, jadi apa dia? Secara tiba-tiba fikiran Zaiha disapa oleh topik perbualannya dengan Khai tengah malam tadi. Mungkinkah Amelia...
“Mak cik! Mak cik!” Pantas Zaiha menghentikan bicara emak Amelia di pertengahan jalan. “Saya minta diri dulu. Ada kerja sikit. Saya doakan pak cik cepat sembuh. Assalamualaikum.”
“Wa’alaikumussalam,” jawab emak Amelia kebingungan. Tadi bertanya benar, belum habis dia menjawab kata-katanya sudah dicantas. Ah, orang muda yang kuat bekerja, begitulah... geleng emak Amelia.
Zaiha tidak mampu menahan lagi perasaan ingin tahu yang sedang membuak-buak dalam hatinya. Pantas dia bangun, mencapai beg tangannya lalu bergegas ke pintu dengan wajah yang cukup tegang, cukup serius. Selagi dia tidak bersemuka dengan Khai, selagi dia tidak memperoleh jawapan yang pasti, selagi itu hatinya tidak akan tenang. Patutlah emosi Amelia terlalu terganggu sejak dia balik dari kampung. Sangka semua orang, Amelia resahkan kesihatan bapanya tetapi rupa-rupanya Amelia berbadan dua. Zaiha yakin benar dengan telahannya itu. Yakin benar. Apa lagi yang boleh membuatkan Amelia begitu gembira hingga sanggup melupakan keadaan bapanya?
“Haip! Kejap!”
“Eh, ke tepilah!” marah Zaiha cuba menukar haluannya yang dihalang oleh Kak Tinah. Menyibuk sahaja perempuan tua itu. Kenapa Kak Tinah tidak duduk di rumah sahaja menjaga cucunya yang baru lahir? Tidak banggakah dia mendapat cucu pertama?
“Kau nak ke mana ni? Lunch time lambat lagi, mana boleh keluar sekarang. Kau nak ke mana?” tanya Kak Tinah dengan suara tegas. Kaduk naik junjung seperti Zaiha ini tidak boleh diberi muka dan dilayan mesra. Zaiha harus diajar supaya dia sedar diri dan tahu di mana tempatnya.
Kak Tinah dapat mengagak arah tujuan Zaiha kerana sejak dari tadi dia memerhati tingkah laku Zaiha yang asyik mengintai pejabat berkaca Khai sahaja. Kak Tinah tahu Zaiha resah kerana Khai dan Amelia masih belum menunjukkan muka mereka di pejabat lagi. Suka hati Amelia dan Khai lah jika mereka hendak datang lambat atau tidak masuk ke pejabat langsung. Syarikat itu milik mereka berdua. Mereka yang bayar gaji kepada semua pekerja, termasuklah gaji Zaiha. Peduli apa Zaiha jika mereka berdua tidak masuk kerja? Lagipun, Khai dan Amelia itu suami isteri. Orang tidak akan bercakap jika mereka berdua ‘hilang’, lainlah jika Khai tidak datang kerja pada hari yang sama Zaiha mengambil cuti kecemasan. Pasti kecoh satu pejabat bercerita tentang skandal mereka.
“Eh, suka hati akulah nak pergi ke mana!” bentak Zaiha seraya menolak Kak Tinah agar setiausaha Khai itu tidak menghalang laluannya lagi.
“Eh, eh, ehhh... siapa cakap kau boleh keluar masuk pejabat ni sesuka hati kau? Kau ingat kau tu siapa, hah? Encik Khai dengan Puan Amelia pun kena cakap kat aku kalau dia orang tak masuk office, kau pulak selamba je nak keluar masuk berlagak macamlah kau ni bos kat sini!” marah Kak Tinah, mencekak kuat lengan Zaiha.
“Khai ada telefon kau?” Terpaku seketika Zaiha kemudian dia sedar kesilapannya. “Maksud aku, Encik Khai ada telefon kau?”
“Mestilah! Aku setiausaha dia. Bukan kerani cabuk macam kau!” tempelak Kak Tinah, tersenyum kemenangan kerana berjaya menambahkan sakit hati Zaiha.
Awal-awal pagi tadi Khai menelefon Kak Tinah, memaklumkan setiausahanya itu bahawa dia dan Amelia mungkin akan masuk lewat hari itu. Jika penting sahaja barulah Kak Tinah boleh menghubunginya tetapi jika perkara itu mampu Kak Tinah uruskan sendiri, dia meminta Kak Tinah uruskan dahulu. Tersenyum simpul Kak Tinah semasa menerima panggilan telefon itu. Meskipun dia tidak tahu sebab Khai dan Amelia masuk lambat ke pejabat tetapi dia dapat mendengar kebahagiaan dalam suara Khai. Bagus, Amel... rebut balik hak kau!
“Kenapa dia tak masuk? Aku ada hal nak bincang dengan dia,” kata Zaiha lagi.
“Jadi memang betullah kau nak pergi cari Encik Khai?” Kak Tinah menggeleng. “Zaiha... Zaiha... sekilas ikan di air, aku dah tahu jantan betinanya. Tak usahlah kau berangan jauh sangat, Zaiha. Kau ingat balik jasa Amel bawak kau masuk ke sini masa kau hampir kebuluran dulu.”
“Eh, aku tak minta nasihat kau jadi zip mulut kau tu!” Zaiha menujah kasar mulut Kak Tinah dengan jarinya, menyebabkan setiausaha Khai bertambah berang.
“Kau jangan melampau sangat, perempuan! Aku ni lebih tua dari kau. Hormat sikit pada aku!” Tinggi suara Kak Tinah memarahi Zaiha.
“Dah tahu diri tu tua, duduk ajelah kat rumah tunggu malaikat maut panggil kau...”
“Zaiha!”
Berdesing telinga Zaiha mendengar namanya diseru dengan herdikan. Spontan tangannya menekup telinganya yang berasa pedih dicucuk suara yang melengking nyaring. Ditoleh kepalanya ke arah dari mana suara itu datang. Semakin terkejut dia apabila melihat Khai, yang entah bila sampainya dia pun tidak perasan dek terlalu sibuk berbalas kata dengan Kak Tinah.
Wajah Zaiha serta-merta berubah. Hatinya terkilan sangat dengan Khai. Sampai hati Khai menengkingnya di hadapan para pekerja lain. Zaiha meredupkan kelopak matanya, meminta Khai datang memujuknya atau sekurang-kurangnya memanggilnya masuk ke pejabat lelaki itu agar mereka dapat berbicara tanpa gangguan sesiapa, namun Khai hanya tercegat di situ sahaja memandang ke arahnya dengan reaksi yang sangat membimbangkan hatinya. Zaiha sedar Khai sudah bersangka buruk terhadapnya. Khai keliru setelah mendengar kata-kata yang dia lemparkan kepada Kak Tinah tadi. Zaiha tidak akan meminta maaf pada Kak Tinah. Oh, tidak! Perempuan tua itu memang layak menerima hamburan tersebut tetapi Zaiha sedar dia perlu melakukan sesuatu untuk mengembalikan kepercayaan Khai terhadapnya. Dia perlu mendapatkan Khai untuk menjelaskan tindak tanduknya tadi. Hendak membela diri agar Khai sedar, bukannya dia sengaja mengeluarkan kata-kata itu tetapi dia diprovok oleh setiausaha Khai sehingga dia tidak dapat mengawal diri.
Semasa Zaiha hendak melangkah mendapatkan Khai, barulah dia menyedari kehadiran Amelia yang berdiri di sebelah Khai. Tersentak dia buat seketika dan serta-merta dia berasa dirinya mengecil di hadapan mereka. Namun, perasaan itu segera ditangkisnya dan digantikannya dengan kemarahan yang membuak-buak setelah melihat cara Amelia memandang tepat ke wajahnya seolah-olah Amelia jijik melihatnya. Zaiha mendengus sebelum berpusing untuk kembali ke mejanya.
“Zaiha!” panggil Khai lagi dengan suara yang masih tegas tetapi tidak sekasar tadi.
Terpaksa Zaiha menghentikan langkahnya dan berpusing semula untuk menghadap Khai dan Amelia. Semasa itu sempat Zaiha mengharapkan sesuatu yang mustahil akan berlaku. Dia membayangkan Khai meluru ke arahnya dan memeluknya di hadapan semua yang ada di situ, meminta maaf kerana mengherdiknya tadi. Begitu sahaja caranya untuk mengajar Amelia dan Kak Tinah agar mereka berdua tidak berlaku kurang ajar terhadapnya lagi.
“Awak ikut saya ke pejabat. Kak Tinah pun sama,” kata Khai seraya menggenggam tangan Amelia dan melangkah berpegangan tangan dengan isterinya itu masuk ke pejabat berdinding kaca.
Kak Tinah menyusul di belakang mereka sambil tersenyum sinis tetapi Zaiha melangkah dengan perlahan, tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Matanya terus tertancap pada tangan Khai dan tangan Amelia yang melekat menjadi satu. Tangan Khai menggenggam erat tangan isterinya itu dan Zaiha terasa seolah-olah Khai sedang memberitahunya sesuatu.
“Apa yang berlaku sebentar tadi?” tanya Khai sewaktu mereka berempat sudah berada di dalam pejabatnya.
Zaiha tunduk menekur lantai. Dia tidak akan menjawab soalan Khai itu. Biar Kak Tinah menjerat dirinya sendiri semasa membela diri.
“Hah, Zaiha?”
Soalan Khai membuatkan kepala Zaiha terangkat spontan. Matanya dipanahkan tepat ke arah Khai, terkilan kerana nampaknya Khai percaya dia yang memulakan pertengkaran tadi.
“Awak nak pergi mana tadi?” tanya Khai lagi.
Zaiha kembali tunduk. Terasa dirinya begitu hina sekali semasa itu diperlakukan begitu oleh Khai.
“Klinik?” Khai bersuara lagi. “Hah, Zaiha? Awak nak ke mana tadi? Klinik?” ulang Khai bila melihat Zaiha terus mendiamkan diri.
Perlahan-lahan Zaiha menggeleng. Kepalanya masih tunduk, terlalu marah untuk menatap wajah Khai. Suara Khai yang tegas dan tidak lagi mesra sangat menyakitkan hatinya. Dalam kepalanya dia membayangkan Amelia dan Kak Tinah sedang berbalas senyuman, gembira kerana Khai memarahi dan memalukannya di hadapan mereka. Air muka Zaiha semakin keras. Dia berjanji Amelia dan Kak Tinah tidak akan mengetawakannya buat selama-lamanya. Dia akan pastikan mereka menangis selepas ini. Tengoklah jika mereka tidak percaya.  
“Dengar sini baik-baik.” Khai menyambung bicara.
Zaiha sekadar mengangkat matanya memandang Khai, hendak memastikan kepada siapa kata-kata bernada amaran itu Khai tujukan. Kepada dia seorangkah atau kepada mereka semua? Tetapi semasa dia memadang ke arah Khai itu, Khai sedang merenung Amelia dan Amelia pula merenung Khai, seolah-olah mereka sedang berbalas kata-kata tanpa suara. Cemburu semakin menyengat hati Zaiha.
“Syarikat ni ada peraturan. Saya dan Puan Amelia yang buat peraturan tu, dan awak wajib patuh pada peraturan tu selagi awak masih bekerja untuk kami,” sambung Khai lagi seraya merenung Zaiha yang sudah tunduk kembali. “Selepas ni jika awak perlu keluar ke mana-mana, awak wajib beritahu Kak Tinah ataupun Puan Amelia terlebih dahulu. Jika mereka berdua tak ada, awak maklumkan kepada Omar sebab dia lebih senior daripada awak di syarikat ini. Saya harap awak faham, Zaiha. Selepas ni saya tak mahu lihat lagi pertengkaran macam tadi berulang lagi.”
“Faham, Encik Khai,” kata Kak Tinah, walaupun bukan nama dia yang Khai sebut tadi.
“Zaiha? Faham tak, Zaiha?”
Seperti tadi Zaiha tidak menjawab dengan kata-kata, sekadar menganggukkan kepalanya sahaja.
“Baiklah. Pergi buat kerja,” kata Khai kepada Kak Tinah. “Zaiha, awak tunggu sekejap. Saya nak bercakap dengan awak sekejap.”
Serta-merta Amelia menuding jari ke arah dadanya sendiri, bertanya tanpa lisan sama ada Khai membenarkannya berada di situ untuk mendengar apa yang hendak Khai perkatakan kepada Zaiha. Spontan Khai mengangguk. Dia memang mahu Amelia berada di situ supaya isterinya tidak tersalah sangka lagi. Jauh di sudut hatinya Khai masih yakin Zaiha tidak pernah menyimpan perasaan terhadapnya. Apa yang Amelia rasa itu hanya mainan perasaan isterinya sahaja, namun demi ketenangan hati Amelia, dia harus melakukan sesuatu.
“Zaiha.” Khai tunduk semasa dia merangka ayat. “Saya rasa awak dah tersalah faham dengan tindakan saya mencari awak minggu lalu. Saya sekadar nak bertanya tentang isteri saya saja sebab saya tahu awak berkawan rapat dengan dia. Tak pernah... saya ulang, tak pernah terlintas di fikiran saya nak pikat awak. Saya harap selepas ini awak tak tersalah faham lagi.”
Zaiha terus mendiamkan diri. Terus tunduk. Hanya bebola matanya sahaja bergerak selincah putaran akalnya, memikirkan cara untuk melepaskan diri dari situasi yang amat memalukan itu. Api kemarahan yang membakar hatinya kala itu diredakan agar dia dapat berfikir dengan lurus. Kata-kata Khai dimainkan semula dalam kepalanya, cuba mencari lubang untuk dia menepis segala tuduhan yang dilemparkan. Semakin dia mencerna nada suara dan bicara yang Khai tuturkan, semakin dia percaya Khai juga sebenarnya menyimpan perasaan terhadapnya cuma Khai terpaksa mengeluarkan kata-kata itu sekadar untuk menyedapkan hati Amelia sahaja. Sekarang, dia perlu bijak memainkan peranannya agar Amelia tidak dapat menghidu kepura-puraan Khai tadi. Segera mukanya diangkat dan reaksi pada mukanya menunjukkan bahawa dia benar-benar terkejut mendengar kata-kata Khai tadi.
“Encik Khai, saya rasa Encik Khai dan Puan Amelia yang tersalah faham. Saya tak pernah simpan perasaan pada encik. Saya memang tahu niat encik cari saya hari tu sebab encik risaukan Puan Amelia sebab tu saya luangkan masa saya untuk membantu. Saya minta maaflah jika... errr... cara saya tu nampak macam saya menaruh hati pada encik pula. Demi Allah niat hati saya hanya nak bantu encik dan puan aje,” kata Zaiha, memandang ke arah Khai dan Amelia silih berganti.
“Betul ke cakap kau ni, Zaiha?” tanya Amelia dengan nada tidak percaya. Diratahnya wajah Zaiha untuk mencari kepastian, namun yang dia nampak hanyalah reaksi yang sangat meyakinkan.
“Demi Allah, Amel. Kau kawan aku. Sahabat baik aku. Takkanlah aku nak buat khianat kat kau pulak lepas kau tolong aku macam-macam,” jawab Zaiha.
“Kalau macam tu nampaknya kita bertiga yang salah sangka,” kata Khai sambil mengetuk-ngetuk meja dengan dua jari telunjuknya semasa dia bangun. Hatinya lega. Dia berharap hati Amelia juga sudah hilang prasangka. “Awak boleh balik ke meja awak semula, Zaiha.”
Zaiha mengangguk dan berpusing untuk berlalu, tidak sabar hendak kembali ke mejanya agar dia dapat menenangkan diri dan merangka strategi yang seterusnya. Dia tidak akan membiarkan Amelia dan Kak Tinah terlepas begitu sahaja selepas memalukannya tadi. Mereka perlu diajar agar mereka tahu siapa Zaiha yang sebenarnya. Namun, bicara Khai seterusnya yang ditujukan kepada Amelia, sangat mengelirukan Zaiha. Mengapa Khai mencadangkan agar meja Amelia dialihkan ke dalam pejabatnya? Apa alasan Khai? Takkanlah dia perlu mengambil langkah yang sebegitu drastik demi memenangi semula kepercayaan Amelia? Susahlah Zaiha hendak berbicara dengan Khai nanti jika Amelia turut berada di dalam pejabat itu. 
“Nanti dulu, Zaiha,” seru Amelia sambil mendapatkan Zaiha. “Aku minta maaf.” Amelia menghulurkan tangannya kepada Zaiha. “Aku berburuk sangka pada kau.”
“Oh!” Zaiha tersenyum untuk menutup reaksi wajahnya yang sebenar. “Aku pun sama, Amel. Aku minta maaf sebab tambahkan masalah kau sedangkan kau tengah runsingkan kesihatan bapak kau.” Zaiha memeluk Amelia. Sedikit pun dia tidak memandang ke arah Khai lantaran dia masih tidak pasti dengan permainan lelaki itu. Untuk memperoleh kepastian itu, dia mesti menjauhkan Amelia dari Khai terlebih dahulu.
“Bapak aku dah okey, alhamdulillah.”
Pucuk yang dicita ulam pula yang mendatang, Zaiha tersenyum dalam hati, tidak sangka begitu cepat sekali Tuhan memakbulkan kehendaknya. “Ya ke? Tadi aku telefon mak kau. Dia kata keadaan bapak kau masih tak berubah. Baik kau telefon mak kau balik, Amel tanya dia betul-betul.”

Peluklah Aku SayangWhere stories live. Discover now