11

1.2K 3 1
                                    

TELEFON bimbitnya Zaiha simpan semula ke dalam beg tangan dan dia kembali memandu. Konsentrasi pada jalan raya memang tidak ada kerana fikirannya sibuk mengatur agenda seterusnya demi membina semula hidupnya yang baru sahaja dimusnahkan oleh orang yang tidak tahu menghargai erti sebuah persahabatan. Mula-mula dia harus singgah di bank dahulu untuk mendepositkan dua keping cek yang diterimanya sebelum Amelia, sahabat yang menganiayanya tadi membatalkan cek itu. Selepas itu dia perlu menghubungi Jobstreet untuk mencari kerja. Dia tidak kisah kerja apa yang bakal diberikan kepadanya asalkan dia ada kerja pada hujung bulan nanti dan ada gaji tetap yang masuk dalam akaun banknya bermula pada hujung bulan depan. Berlengah bermakna dia sendiri yang terpaksa menunggu. Zaiha tidak suka menganggur lama-lama.
Terselit juga soalan, kenapa asyik dia sahaja yang menjadi mangsa? Pemangsanya pula bukan orang lain tetapi kawan-kawannya juga, kawan-kawan yang diharapkan boleh memberikan sokongan moral kepadanya tetapi mereka menganiayanya pula.
Apakah mereka tidak rasa berdosa dengan perbuatan mereka mengisi pasir ke dalam periuk nasinya?
Apakah mereka tidak berasa bersalah melihat dia kecundang dalam hidup dan merekalah yang menjadi puncanya?
Tidakkah mereka takut pada balasan Allah?
Terasa sia-sia pengorbanan yang diberikannya kepada mereka selama ini. Dia tidak pernah mengemis pekerjaan daripada rakan-rakannya, tidak mahu dikata oleh pekerja lain bahawa dia memperoleh kerja tersebut kerana dia ada orang dalam. Namun, kawan-kawannya terus merayu agar dia menerima pekerjaan yang mereka tawarkan kepadanya. Dengan berat hati dia menerima tawaran mereka dan bila dia sudah mula selesa bekerja di syarikat mereka, tiba-tiba sahaja mereka berubah menjadi manusia pendendam terhadapnya.
Apa salah dia? Tidakkah mereka nampak jasa yang telah ditaburkannya untuk syarikat mereka? Dia bekerja keras supaya mereka bangga dengannya. Dia sanggup menghabiskan masanya di pejabat demi membalas semula kebaikan mereka terhadapnya. Apa yang mereka lakukan terhadapnya? Beri hadiah? Beri pujian? Penghormatan?
Tidak!
Mereka buang dia dari syarikat mereka dan mereka humban dia dari hidup mereka.
Kenapa?
Kenapa?!
Itu saja yang Zaiha hendak tahu.
Mata Zaiha mula berkaca-kaca menyukarkan pemanduan. Dia terpaksa berhenti di tepi jalan tetapi tidak mematikan enjin kereta. Zaiha menekup muka dengan dua tangannya. Di situ dia menangis semahu-mahunya melayani hati yang sangat berduka. Diurutnya dadanya yang tiba-tiba sahaja sakit. Terasa macam hendak pecah. Macam hendak meletup. Terkilan sangat-sangat dia dengan Amelia. Terkilan sangat. Seingatnya dia tidak pernah menyakiti hati sesiapa pun, apatah lagi hati kawan-kawannya, justeru dia tidak faham mengapa mereka seringkali menyakiti hatinya. Membuangnya. Menyusahkan hidupnya. Seorang demi seorang menghambatnya keluar dari hidup mereka.
Kenapa?
Apa salah dia?
Apa salah dia... Zaiha teresak-esak semakin kuat.
Telefon bimbitnya berbunyi. Segera alat telekomunikasi itu dikeluarkan dari beg tangannya untuk melihat siapa yang menelefon. Khai!
Esakannya langsung berhenti.
“Helo...” kata Zaiha berselang sedu-sedan yang sengaja dibiarkan bersisa demi memancing belas kasihan Khai.
“Zaiha, are you okay?” Khai mula risau apabila mendengar suara Zaiha. Jelas di pendengarannya gadis itu sedang menangis.
“Khai, you dah ada isteri. You jaga je isteri you tu baik-baik. Jangan bagi dia curiga lagi. As for me...” Zaiha ketawa buat-buat, “you tak payah risau. Apa nak jadi pun jadilah.”
“Apa maksud you?” tanya Khai, semakin cemas.
“I memang takde siapa kat dunia ni, so kalau I mati pun bukannya ada orang kisah.” Zaiha mula menyuntik rasa bersalah dalam hati Khai sambil membayangkan perasaan emak dan ayahnya jika mereka mendengar kata-katanya tadi.
“Jangan buat benda bodoh, Zaiha!”
Sekali lagi Zaiha ketawa. “Ada apa you call I ni?”
“Zaiha, you dengar cakap I. Jangan buat kerja bodoh, please. Jangan rugikan diri sendiri.”
“Kenapa you kisah, Khai?” tanya Zaiha, berharap sangat-sangat dia untuk mendengar ‘sebab I cintakan you’ sebagai jawapan daripada Khai.
“Dulu you tolong I, sekarang biar I tolong you pulak.”
“Tolong apa lagi, Khai? Kan you dah campak I ke jalan tadi!” Suara Zaiha mula keras dikuasai emosi, berang dengan jawapan Khai. Lain yang dia mahukan, lain pula yang Khai cakap. Khai nak tolong dia macam mana? Dengan Amelia pun Khai takut. Macam mana Khai hendak menolong dia?
“Zaiha...”
“Tak payahlah you nak ambik berat fasal I, Khai. Tak payah! Cuma satu je I nak mintak you buatkan untuk I.”
“Apa dia?”
“Kalau polis cari you esok, maknanya I dah takde kat dunia ni. So I nak minta tolong you kebumikan I. Itu je permintaan terakhir I. I takkan cash cek yang you bagi tadi so you boleh guna duit tu untuk urusan pengebumian I,” kata Zaiha, menyusun kata-katanya dengan penuh emosi diiringi esakan meruntun jiwa yang mampu membuatkan setiap pakar sakit jiwa di dunia ini dilanda panik, apatah lagi Khai.
“Ehhh... Zaiha... kenapa cakap macam tu... berdosa you bunuh diri, Zaiha...” nasihat Khai. Sudah tidak senang duduk dia di dalam pejabatnya.
“Hidup pun tak guna, Khai. Semua orang benci kat I. Semua buang I. Lebih baik I mati je dari hidup macam ni. Sudahlah kerja pun takde. Apa pun takde.” Zaiha terus memainkan perasaan Khai.
“I ada kerja untuk you!” lontar Khai sepantas mungkin sebelum Zaiha melakukan sesuatu yang bakal merugikan gadis tu. “I call ni sebab I ada kerja untuk you.”
Zaiha terdiam. Berfikir. Khai bergaduh dengan Amel agaknya tadi. Selepas dia meninggalkan pejabat itu tadi, Khai dan Amel bergaduh, lalu Khai tarik balik keputusan yang Amel buat. Sekarang Khai menelefonnya untuk menyuruhnya kembali ke pejabat dan meneruskan kerjanya di sana. Masalahnya, Amelia dan Kak Tinah pun ada di sana. Zaiha rasa dia perlu meletakkan syarat jika Khai mahu dia kembali ke syarikat itu. Zaiha mahu Khai memecat Amel dan Kak Tinah terlebih dahulu. Selepas itu barulah Zaiha kembali ke syarikat Khai.
“Zaiha! Helo?” panggil Khai bila Zaiha terlalu lama mendiamkan diri.
“Ya, Khai. Ada ni. I ada sini,” jawab Zaiha. “Amel okey ke I kerja balik kat sana?” tanyanya untuk mengorek cerita.
“Oh, you salah sangka. I ada kerja untuk you tapi bukan kat company kami. Kawan I nak pakai kerani. So, I suggest dia ambik you. Kalau you free, dalam pukul 5.30 nanti dia nak jumpa you.”
“Oh...” Zaiha kecewa, terutamanya apabila Khai menyebut syarikatnya itu sebagai company kami. Bukan company I tetapi company kami, company Khai dan Amelia. Zaiha terasa seperti hendak memarahi Khai kerana lelaki itu masih lagi menurut telunjuk isterinya tetapi dia sabarkan hati. Dia suruh hatinya berterima kasih kerana Khai sanggup mencarikan kerja untuknya, bermakna Khai memang menyimpan perasaan terhadapnya. Memang mencintainya.
Zaiha tersenyum. Hatinya berbunga. 
Tetapi... tidak mustahil Amelia yang menyuruh Khai mencarikan kerja untuk dia, bisik hati Zaiha yang berdebar laju lantaran harapan yang baru hendak tumbuh kembali hancur berderai menjadi debu. Amelia mungkin berasa bersalah kerana memecatnya tadi, kata hati Zaiha lagi. Atau... Amelia ingin memastikan dia tidak ada masa untuk mengganggu Khai lagi. Bila dia sibuk dengan kerjanya, sudah tentulah dia tidak ada masa hendak memikirkan tentang Khai. Tetapi... bila masa dia mengganggu Khai? Bentak hati Zaiha. Khai yang datang kepadanya dahulu. Khai yang mengajaknya keluar makan berdua semasa Amelia berada di kampung dahulu. Salah diakah Khai berubah hati? Bukan! Salah Amelia sendiri kerana lebih mengutamakan ayahnya daripada suaminya sendiri!
“Siapa yang suruh you carikan kerja untuk I ni?” tanya Zaiha.
“Takde siapa. Kebetulan kawan I call kata dia perlukan pekerja, tu yang I call you,” tipu Khai, padahal sejak pagi tadi dia menelefon merata meminta kawan-kawannya mengambil Zaiha bekerja dengan mereka. Mujur salah seorang daripada mereka sanggup menerima Zaiha demi membalas jasa baik Khai membantu membina syarikatnya dahulu.
“Oh... ingatkan Amel.”
“Tak. Kawan I ni Amel tak kenal.”
“Ohhh...” Otak Zaiha semakin berputar ligat. “So, pukul 5.30 nanti kat mana?” tanya Zaiha dan Khai memberikannya lokasi.
“I ada sekali nanti,” kata Khai.
“Amel?”
“I datang sorang. Amel ada meeting kat Bangsar.”
“Okey. See you later, Khai.” Zaiha bersuara manja. Kesedihannya sudah hilang. Khai memang sayang padanya. Apa perlunya dia bersedih lagi?
“Jangan fikir yang bukan-bukan lagi lepas ni!” pesan Khai dengan tegas.
“Okey.” Zaiha tersenyum lebar, puas hati kerana Khai begitu risaukan keselamatannya. Bila masa dia hendak bunuh diri? Dia cakap sahaja tadi. Acah aje. Dia pun tahu apa jadi pada roh orang yang membunuh diri. Terawang-awang antara langit dengan bumi. Tak sanggup dia menyeksa diri sendiri. 
“Kalau you sampai dulu, tunggu kami. Kawan I terpaksa ambik I dulu sebab Amel bawak kereta ke Bangsar,” kata Khai lagi.
“Okey.” Zaiha menjawab salam Khai sebelum panggilan itu Khai putuskan. Semakin berseri senyuman Zaiha. Dia mula membuat rancangan untuk dia dan Khai malam itu. Selesai berbincang dengan kawan Khai nanti, Zaiha akan meminta Khai menunggu sebentar, mahu berbicara dari hati ke hati dengan Khai. Ingin mendapatkan kepastian tentang perasaan Khai terhadapnya. Khai hanya perlu berkata I love you kepadanya. Tiga perkataan keramat itu sudah memadai bagi Zaiha dan dia tidak akan mengganggu kehidupan Khai dengan Amelia. Dia hanya akan membahagiakan Khai sahaja sehingga Khai bersedia meninggalkan Amelia untuk mengahwininya pula. Zaiha yakin suatu hari nanti Khai akan meninggalkan Amelia.
Zaiha membersihkan sisa-sisa air mata pada wajahnya, menyerikan semula wajah kusamnya sebelum memandu menuju ke bank. Lega hatinya kerana dia tidak perlu menganggur. Semuanya kerana Khai. Kerana cinta Khai.
“I love you too Khai,” bisik Zaiha.

Peluklah Aku SayangWhere stories live. Discover now