6

5.7K 12 0
                                    

RINGAN sahaja jari-jemarinya hendak membalas mesej Ziyad tetapi dipaksa diri untuk melawan perasaannya itu. Seksa yang dirasainya saat itu, hanya Allah sahaja yang tahu. Aku isteri orang! Aku isteri orang! Berkali-kali dia mengingatkan diri. Dan dia menyuruh hatinya faham mengapa dia terpaksa menolak rontaan kerinduan terhadap Ziyad itu keluar dari jiwanya. Dia meminta hatinya sedar siapa Ziyad pada dirinya. Jika Ziyad sekadar kawan biasa sahaja, dia tidak risau. Dia tidak perlu menentang perasaannya dengan sehebat itu kerana tidak ada perasaan yang perlu ditentang. Tetapi Ziyad sangat istimewa buatnya. Ziyad cinta teragungnya. Sekiranya dia melayan perasaan yang merayu-rayu minta dibelai itu, dia takut ikatan yang telah lama terputus akan bercantum semula. Dia juga yang akan berdosa nanti; berdosa kepada diri sendiri, kepada suaminya, kepada Allah dan juga kepada Ziyad kerana memberikan harapan yang tidak mungkin menjadi realiti. Harapan yang akan menyebabkan bekas kekasihnya itu mensia-siakan hidup demi menunggu cinta yang tidak mungkin berlabuh.
Oh, sedihnya.
Abang... serunya dalam hati yang tiba-tiba sahaja berasa pilu. Rasa kasihan menular terhadap Ziyad dan terhadap dirinya sendiri. Kasihan kerana cinta mereka tidak kesampaian. Hanya boleh dipandang sahaja tetapi tidak boleh disentuh dan dipegang. Abang... seru hatinya lagi dengan sayu.
Aku isteri orang, tegas suara yang bergaung dalam kepalanya dengan tiba-tiba. Aku isteri orang! Jerit suara itu sekali lagi.
Bagai tersedar dari khayalan, riak pada wajahnya terus berubah. Sementelahan bunyi pintu pagar dibuka dan dikatup, menyedarkan dia dengan sepenuhnya tentang siapa dirinya. Segera dia berlari turun ke tingkat bawah.
"Tak apa, Mak Cik Kiah. Pergi tidur balik," ujarnya dengan lembut kepada pembantu rumah yang tergesa-gesa melangkah ke hadapan untuk membukakan pintu buat Khai. Pembantu rumah itu segera patuh dengan kehendak majikannya. Dia pula meneruskan langkah menuju ke pintu utama rumah agam itu, lalu membukakan pintu itu untuk menyambut kepulangan suaminya. Lelaki yang berhak terhadapnya.
"Amel? Tak tidur lagi?" Khai terkejut melihat Amelia. Dia terus tercegat dengan tangan terhulur ke hadapan, bersedia untuk mencucuhkan anak kunci ke dalam lubang induk mangga pada pintu kayu itu.
"Belum lagi. Saya tunggu abang balik," jawab Amelia dengan ceria. Suaranya kedengaran biasa di telinganya. Dia berharap di telinga Khai juga serupa. Sekiranya Khai sedar bahawa keceriaannya itu hanya sekadar tirai untuk menabiri perasaannya yang sebenar, sudah tentu Khai terkilan.
Sejujurnya, dia benar-benar berasa berdosa ketika itu kerana sejak beberapa jam yang lalu dia bukan sahaja leka memikirkan tentang Ziyad, malah dia begitu berani membuat keputusan untuk tidak memberitahu Khai bahawa dia telah berhubung semula dengan bekas kekasihnya itu, sedangkan dia dan Khai sudah berjanji bahawa tidak akan ada rahsia antara mereka. Mereka sudah berjanji di awal perkahwinan mereka dahulu. Dia tahu keputusannya itu salah. Perbuatannya itu hanya akan berakhir dengan derita. Tetapi memberitahu Khai mungkin akan menyebabkan dia terpaksa memutuskan semula hubungannya dengan Ziyad, sedangkan dia baharu sahaja bertemu semula dengan Ziyad. Dia tidak sanggup kehilangan Ziyad lagi. Tidak sanggup!
Perasaan yang bermain dalam fikirannya itu menyebabkan dia berasa seolah-olah dia sedang bermain kayu tiga. Sedang mengadakan hubungan sulit dengan Ziyad. Padahalnya tidak! Selagi dia bergelar isteri Khai, selagi itu dia akan menjaga kesucian ikatan perkahwinan mereka. Itulah janjinya kepada dirinya sendiri dan juga kepada Khai. Cuma, bila perasaan mula menerawang ke daerah rindu, hati mula menjadi pilu dan segala-galanya menjadi terlalu sukar untuk dikawal.
Dia merenung melepasi Khai, ke arah kereta Zaiha yang mengundur perlahan-lahan dari hadapan pintu pagar banglo itu. Walaupun berasa hati dengan tingkah laku Zaiha, namun dia berterima kasih kerana Zaiha sudi menunggu sehingga Khai selamat masuk ke dalam rumah sebelum berlalu.
"Abang dah makan?" tanyanya seraya menegakkan badan selepas mencium tangan suaminya.
"Dah." Khai melangkah masuk ke dalam rumah dengan perasaan keliru. Tingkah laku Amelia yang sangat berbeza malam itu, amat membingungkannya, sekali gus membuatkan akalnya buntu. "Kenapa awak tak tidur lagi ni?" soal Khai. Itu sahaja yang mampu difikirkannya.
"Tak ngantuk lagi. Abang mesti ngantuk."
"Penat aje."
"Jom saya urut badan abang." Amelia memaut lengan suaminya, mengiringi Khai naik ke tingkat atas.
Khai semakin hairan. Bukanlah bermakna Amelia tidak pernah memaut lengannya dan naik ke tingkat atas bersama-samanya sebelum itu. Selalu! Malah, sudah menjadi kelaziman isterinya itu mengiringinya naik ke bilik tidur mereka. Isterinya itu seorang yang sangat manja. Jarang mahu berlekang darinya. Tangannya akan dipaut dan kadang-kadang pinggangnya turut sama dipeluk dengan erat. Sambil menginjak anak tangga, isterinya sering membuka cerita yang membuatkan dia ketawa. Suami mana yang tidak bahagia? Jujur dia katakan, dia sangat berbangga bercampur terharu mendapat isteri seperti Amelia. Isteri yang memberikan seratus peratus tumpuan kepada dirinya sahaja. Isteri yang hanya mahu membahagiakan suaminya. Cuma sejak bapa isterinya jatuh sakit, perangai isterinya berubah 360 darjah. Tetapi malam itu, isterinya kelihatan seperti sudah kembali ke perangai asalnya. Wajahnya mesra semula. Suaranya juga ceria, tidak seperti pagi tadi atau hari-hari sebelumnya.
Mungkin hatinya sudah tenang sekarang, fikir Khai. Jika benar, bermakna isteri yang dicintainya sudah kembali ke pangkuannya. Amelia sudah kembali!
Khai berhenti di pertengahan anak tangga dengan mengejut, lalu berdiri menghadap Amelia yang terpempan dengan tindakannya itu.
"Abang? Kenapa?"
"Tak ada apa." Khai menyelitkan rambut ikal pada cuping telinga Amelia. Wajah bersih isterinya itu ditenung dalam-dalam. Benarlah awan kelabu yang menghurung perasaan Amelia selama ini sudah berarak pergi. Khai tersenyum nakal, lucu melihat reaksi Amelia yang merenungnya dengan mata bulat yang terkedip-kedip kehairanan. Sepasang mata itulah yang telah membuatkannya jatuh cinta kepada Amelia dahulu. "Abang nak mandi dulu."
"Tak nak urut ke? Kalau tak nak, tak apalah. Lagi bagus. Menyesallah jugak lepas offer tadi."
Khai tersengih mendengar jawapan bersahaja Amelia. Kedengarannya seperti Amelia berjenaka sahaja tetapi dia tahu, Amelia serius.
"Dah offer mana boleh tarik balik? Buruk siku namanya. Sementara abang mandi, awak tolong cari balik minyak urut yang kita beli hari tu. Yang berangin tu."
"Berurut dululah baru mandi," saran Amelia sambil memikirkan di mana dia menyimpan minyak angin yang Khai mahukan itu.
"Abang belum isyak lagi ni."
"Maghrib dah sudah?"
"Sudah. Kat pejabat tadi."
"Berurut dululah. Waktu isyak kan panjang. Lepas tu baru abang mandi dan solat."
"Tak baik lengah-lengahkan solat," tegur Khai. "Biar abang mandi dulu. Lepas berurut, abang mandilah lagi. Bukannya susah," putus Khai. Sebenarnya, dia ada niat lain di sebalik kesungguhannya mahu mandi berkali-kali malam itu. Sudah lama dia tidak mencumbui isterinya. Malam itu, dia terlalu rindu.
Khai kembali menginjak anak tangga. Amelia membontoti. Dia hendak pergi ke bilik di mana dia menyimpan barang-barang yang hanya sesekali sahaja digunakan itu. Kalau tidak silap, dia meminta Mak Cik Kiah meletakkan minyak urut itu di situ dahulu. Semasa berada di dalam bilik itu, Amelia sengaja mengabaikan almari di mana kotak hadiah berisi kenangan bersama Ziyad disimpan. Dia tidak mahu fokusnya terhadap Khai malam itu terganggu, bimbang suaminya akan dapat mengesan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengannya. Khai pandai mentafsir riak wajahnya. Walaupun dia yakin suaminya hanya serkap jarang sahaja, namun sering kali tekaan suaminya tepat mengenai sasaran. Sebab itulah dia takut. Dia tidak mahu melahirkan rasa ingin tahu dalam hati Khai apabila melihat perubahan pada wajahnya. Sudah tentu Khai akan bertanya kerana Khai seorang suami yang baik, yang sentiasa mengambil berat tentang dirinya. Sesi soal jawab itu tidak akan berakhir dengan aman kerana pasti sukar baginya untuk menjawab soalan cepumas yang dilontarkan oleh Khai. Riak wajahnya akan berubah, dia akan berdolak-dalik semasa menjawab dan bila dia bersuara, jawapan yang keluar dari mulutnya pasti tidak logik, sekali gus akan membangkitkan rasa curiga dan prasangka dalam hati Khai. Akhirnya, mereka akan bergaduh.
Tidak! Dia tidak mahu bertengkar dengan suaminya malam itu atau untuk selama-lamanya.
Dia mencari botol minyak angin itu di dalam almari lain. Mujur berjumpa. Tanpa memandang ke arah almari yang lagi satu itu, dia keluar dari bilik tersebut. Masuk ke dalam bilik tidur mereka, dia membentangkan kain lepas di atas katil agar minyak yang digunakan untuk mengurut, tidak meleleh terkena cadar. Kemudian, dia membentangkan sejadah untuk Khai di atas lantai pula. Sementara menunggu Khai selesai mandi, dia membawa pakaian yang Khai tanggalkan ke bilik membasuh yang terletak di tingkat bawah.

Peluklah Aku SayangWhere stories live. Discover now