YANG KETIGA

29 7 0
                                    

AKU-9 TAHUN YANG LALU-

Hari ini aku terasa sungguh berbeza. Aku tidak pasti apakah peristiwa malam tadi mimpi atau realiti. Aku bangun pagi dengan keadaan aku berbaring di atas katil aku, bukan di taman galaksi itu. Aku kaget. Malam tadi, aku tak ingat sama ada aku sudah buka mata atau terus tertidur ketika Raja menyuruh aku pejam mata untuk pulang.

'Haih, mimpi kot. Mustahil realiti'

Getus hatiku. Sedang aku leka merayau ke sana ke sini di kawasan koridor sekolah, satu angin menyapaku. Angin yang lembut. Serta-merta aku melihat langit.

"Ya Tuhan! Apakah kau ingin menyampaikan sesuatu kepadaku?"

Aku melihat langit begitu lama tanpa mempedulikan reaksi pelajar lain yang hairan melihat aku.

"Tuhan, adakah benar Kau kirimkan Raja kepadaku untuk menjadi sahabat? Seandainya benar, aku berterima kasih kepada engkau! Akhirnya aku dapat seorang kawan sejati!"

Aku tersenyum melihat langit. Sekali lagi, pelajar disekelilingku hairan melihatku. Mungkin mereka sangkakan aku stres kerana banyak tugasan hendak dilaksanakan.

"Oi Sofia, dah kenapa kau tersengeh-sengeh ni?"

Ain menerpa aku sambil menyiku lenganku. Haih, tajam sungguh siku budak ini.

"Adoi~~ Tak ada apalah. Langit itu cantik hari ini, takkanlah aku nak senyum pun tak boleh?"

"Bukan apa, aku ingat kau jatuh cinta.."

Aku hanya mampu ketawa dengan celoteh Ain ini. Apa sajalah budak ini. Nasib baik kawan.

"Tahun depan dah UPKK. Tak sangka kita pelajar kedua yang merasmikannya."

"Hei, abang aku rasmikan PSRA dulu tahu tak tahun ini."

Aku pandang Ain sambil tersenyum melihat karenahnya. Garang seperti singa sekalipun, dia tetap cantik. Aku dan Ain ibarat langit dan Bumi. Rupa dia membuatkan orang lain tidak jemu melihatnya walaupun Ain ini garang. Kadang-kadang, aku terasa disisihkan sebab kecantikkan Ain membuatkan aku terasa rendah diri. Tapi, keikhlasan dia untuk berkawan dengan aku membuatkan aku sedar yang dia ini bukan apa yang mereka sangkakan.

"Jumpa di sekolah agama nanti~"

Aku cuba melawak dengan minah ini.

"Jangan merepeklah kau!"

-----------------------------------------------------------

Aku baring di katil sekali lagi setelah penat duduk. Hari ini sibuk sekali. Maklumlah, sudah hampir hujung tahun. Nampak gayanya aku kena berusaha lebih untuk dapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun. Abang aku pula semakin sibuk dengan latihan UPSR dan PSRA. Aku tidak mahu ganggu dia, lagipun dia ini perasan lebih. Macam mana dia ada peminat pun aku tidak tahu. Aku rasa bersyukur sekejap sebab tahun hadapan, aku tidak akan menjadi orang suruhan dia lagi.

"Ya Tuhan, tadi di sekolah agama, aku belajar tiga perang ini. Badar, Uhud dan Khandak. Aku juga baca sedikit tentang sahabat-sahabat Nabi SAW. Kuat juga umat Islam dahulu. Walaupun mereka ditimpa kekalahan, mereka bangkit semula dalam perang berikutnya."

Aku berceloteh setelah puas memikirkan abang aku.

"Mereka yang mati ketika perang ini dipanggil mati syahid... Mereka yang mati berperang ini diangkat ke syurga serta-merta. Betapa untungnya mereka menjadi ahli syurga Engkau wahai Tuhan"

Aku berbicara lagi. Entah mengapa, aku terasa sayu. Aku cemburu dengan mereka yang diangkat ke syurga. Aku cemburu dengan mereka yang berjaya ke syurga.

"Ya Allah, adakah aku ini layak untuk ke syurga Kau? Adakah aku mampu menjadi ahli syurga? Apakah patut aku mati syahid untuk masuk syurga? Tapi.....tapi aku-"

Aku tidak dapat meneruskan kata-kata aku. Aku melihat diri aku, disebalik wajah comel yang mereka sering puji, tersimpan satu rahsia hitam.

"Aku....tak solat ni.....layak ke masuk syurga?"

Ya, itu rahsia hitam aku. Sepanjang hidup aku, yang mengajar aku tentang solat ini adalah guru-guru di sekolah agamaku. Ibu bapaku, kami sekeluarga jarang melakukan ibadah ini. Hampir tidak pernah pun ada. Kami hidup penuh gaya barat. Aku dibesarkan dengan kemewahan tetapi aku tidak suka menunjuk kemewahan aku. Aku tidak mahu dikatakan budak paling berlagak di sekolah. Malahan, sikap menunjuk itu adalah satu perbuatan yang aku tidak gemar untuk melakukannya.

Aku terfikir kenapa aku tidak solat walhal aku tahu bagaimana hendak solat. Bahkan ayahku juga menghadiahkan aku set telekung yang diimport dari Indonesia. Walaupun cantik, tapi telekung itu sesuai untuk kanak-kanak. Mungkin aku akan diketawakan oleh orang dewasa sekiranya mereka melihat aku memakai telekung itu. Bukan itu sahaja, beg telekung itu boleh digunakan sebagai sejadah. Coraknya sungguh unik. Mungkin harga set telekung ini mahal meskipun mata wang Indonesia adalah murah seperti mata wang Thailand.

Aku termenung sekali lagi sambil merenungkan nasib aku. Kalau lah Raja ada di sini-

"Kau memanggil aku kah Sofia?"

Aku terduduk ketika terdengar suara itu.

"Raja?"

"Ya, ada apa sofia?"

"Aku..... Aku tidak tahu sama ada aku layak ke syurga atau tak. Aku ini jahil, bukan baik macam orang lain, macam Ain..."

"Sofia, syurga bukan lah tempat untuk orang yang baik sahaja. Syurga adalah tempat dimana kita sentiasa mengingati Yang Maha Esa dan takut akan azab api NerakaNya. Syurga itu susah untuk digapai malah orang yang baik pun bisa ke Neraka. Kamu itu baik Sofia. Satu hari nanti, pasti kamu akan dapat apa yang kamu inginkan."

Raja berkata dengan begitu tenang. Dia berjumpa dengan Tuhan kah hari ini?

"Kalau begitu, orang jahat pun boleh masuk syurga ke?"

"Hehehe. Syurga tak pandang baik atau jahat. Syurga adalah tempat di mana semua umat yang mengikuti perintah Yang Maha Esa dan meninggalkan laranganNya. Sekiranya kita membelakangiNya dan mempersekutukanNya, maka Neraka lah tempat bagi mereka yang berbuat demikian."

Terkebil-kebil aku melihat Raja berceramah. Mungkin aku salah faham tentang kemasukkan Syurga. Mungkin aku patut selami diri ini kedalam dunia pendidikan lebih lagi.

"Raja, kenapa kau mahukan persahabatan kita ini rahsia?"

Aku melihat Raja terdiam. Mungkin sedang memikirkan jawapan apa yang sesuai untuk menjawab persoalan aku. Mungkin aku patut beritahu Raja supaya dia bercukur. Mungkin dia bertambah kacak tatkala jambangnya itu tiada. Mungkin lah...

"Sofia, aku diutuskan ke sini supaya aku dapat berkawan dengan kau. Malah, aku dipanggil oleh kau. Aku tidak mahu dikenali oleh sesiapa. Mahukah kau melihat aku dikejar oleh wanita di luar sana kerana ketampananku?"

Oh Tuhan, aku tarik balik kata-kataku tadi.

"haa haa ha. Tak mengapa kalau kau tidak mahu menceritakan hal yang sebenar. Cuma aku berterima kasih kerana sudi berkawan denganku."

Aku senyum melihat dia. Tidak pasti dia sedar atau tidak, senyuman aku ini ikhlas. Raja memandang aku dan senyum kembali padaku.

************************************

Musykil bukan kenapa aku tidak jatuh cinta padanya? Mungkin kerana dia lagi tua, mungkin juga kerana jambangnya itu. Semua itu tak kekal lama. Satu hari nanti, aku akan sedar juga yang aku ini masih sunyi. Apa yang aku lihat ini semuanya palsu.

'Teman aku wahai Tuhanku'

-YANG KETIGA-

Yang Maha Esa Where stories live. Discover now