Latah Bahagian 1

287 4 0
                                    


"PANG!"

Aku terkejut. Terjatuh beberapa butir nasi dari sudu yang kini dihalakan ke mulutku.

"Bunyi apa tu?" tuturku seorang. Tapi Hanis bagaikan tak mendengar. Aku menoleh memandangnya yang jelita dalam baju persandingan. Duduk di sebelahku dengan senyuman yang manis. Sambil tangannya kini memegang sudu yang berisi nasi di depan.

Di depanku kelihatan beberapa orang pesilat sedang memperagakan kehebatan mereka. Sambil diiringi bunyi kompang yang bertalu-talu.

"Bang, bukaklah mulut. Macam mana Hanis nak suap kalau abang tak buka mulut?"

"PANG!"

Bunyi itu datang lagi. Terkejut aku. Sehingga aku terbangun dari tempat dudukku. Jatuh sudu yang dipegang Hanis ke lantai. Membawa bersamanya nasi yang berderai.

"Eh abang. Kenapa ni?"

Suara manja Hanis tak aku hiraukan. Aku lebih berminat untuk mencari dari mana datangnya bunyi itu. Bunyi yang kedengaran bergema seperti datang dari ketukan batu dan konkrit. Ketika mata aku melilau, aku terpana pada pesilat di depan. Aku kenal salah seorang dari mereka.

Khairul, teman lelaki si Hanis. "Sejak bila si Khairul ni pandai bersilat?" fikirku di dalam hati.

Bagaikan boleh mendengar persoalan hatiku Khairul bersura, "Selamat pengantin baru bro. Jaga Hanis baik-baik eh."

Aku terkejut. Menoleh kembali pada Hanis. Gadis jelita kacukan Jerman yang digilai ramai di kolej. Senyuman yang cukup indah terpapar di wajah gadis itu. Senyuman yang tak pernah dilihatnya selama ini.

"PANG!"

Barulah aku sedar dari mana datangnya bunyi itu. Ia datang dari luar sana. Dari alam nyata. Menerjah telingaku, memecah masuk ke sempadan mimpi.

Aku terus membuka mata, bila bunyi itu menerjah sekali lagi. Menarik aku dari alam mimpi. Aku terus bangun dengan perasaan yang kecewa. Dari kecewa ia bertukar kepada marah. Marah kerana mimpi indahku terganggu.

Aku duduk di bibir katil, sambil tanganku menyelak langsir tingkap, mataku kini tertumpu pada tapak pembinaan di sebelah. Melihat mesin piling yang sedang membenamkan konkrit ke dalam tanah. Dan bila besi dan konkrit bertemu, bunyi yang mengejutkanku dari tidur tadi, menerjah kembali ke telingaku.

"PANG!" Aku mengeluh.

"Weh Rizal. Kata nak pergi kebun pagi ni?" tutur satu suara dari depan pintu bilik. Tanpa menoleh pun aku tahu yang di depan pintu itu Hafiz. Lelaki kurus keding yang kasarnya bak orang Melaka, walaupun asalnya dari Kedah.

"Weh, cibai! Kau dengar tak aku cakap ni?! laung Hafiz lagi. Tapi aku tak membalas kata-kata Hafiz. Hanya mengeluh memerhatikan mesin piling itu yang sedang melakukan kerjanya.

"Kau ni dah kenapa? Mengeluh macam orang tua!"

"Piling tu. Pagi-pagi buta dah buat kerja," balasku kembali.

"Pagi buta kepala hotak kau. Dah pukul 9! Subuh pun kau dah terlepas!" laung Hafiz lagi.

"Kau tahu tak, aku tengah sedap tadi mimpi kahwin dengan Hanis. Bukan main manis lagi dia senyum pandang aku. Siap suap aku makan kau tahu."

"Hanis?! Eh kau dah gila ke? Orang tu jeling kau pun tak nak, kau tahu. Ada pulak, dia nak kahwin dengan kau. Kau ni, nak mimpi pun biarlah logik," balas Hafiz kembali. Kini kakinya sudahpun berdiri di depanku.

"PANG!"

"Kau dengar tu? Macam mana aku nak tidur? Gugur jantung aku."

"Entahlah. Aku bila dah banyak kali dengar, aku dah tak ambil kisah sangat. Dah jadi macam biasa," balas Hafiz kembali. Kali ini rendah nada suaranya.

Koleksi CerpenWhere stories live. Discover now