Kisah Benar

112 1 0
                                    


Walaupun aku banyak kali menulis cerita hantu, tapi jujur cakap sebenarnya aku tak pernah pun nampak hantu. Tapi itu tak bermakna aku tak percaya pada kewujudannya. Yelah, aku sendiri pernah belajar di sekolah asrama, dan kalau bagi mereka yang dah biasa belajar di sini, asrama ni macam tempat membiaknya cerita-cerita hantu. Betul ataupun rekaan kita letak ke tepi dulu.

Yang penting, bila banyak sangat cerita-cerita hantu yang kedengaran di telinga kau, dah tentulah ia cukup untuk menanam kepercayaan dalam diri kau. Ditambah pula bila kau melihat sendiri bagaimana kesannya. Seperti mana bila kau nampak katil yang bengkok, kerana kononnya dikarate oleh kawan kau yang dirasuk. Ataupun bila ada senior yang kejutkan kau tengah-tengah malam buta sebab dia takut nak ke tandas seorang-seorang.

Pun begitu, walaupun aku tak pernah nampak hantu, tapi sebenarnya aku pernah 'dengar' hantu. Bukan, bukan pernah dengar cerita hantu. Tapi aku pernah dengar...ah, aku tak naklah bagi spoiler awal-awal. Biarlah aku cerita dulu dari mula.

Kisah ini berlaku ketika aku di tingkatan 3. Waktu yang indah bagi aku. PMR baru sahaja melabuhkan tirianya, dan ada beberapa bulan lagi sebelum cuti akhir tahun bermula. Jadi ketika itu, kami pelajar tingkatan 3 bebas. Sekurang-kurangnya bebas daripada belajarlah.

Pun begitu, cikgu dah pun merancang beberapa aktiviti santai untuk kami. Seperti menonton wayang, main permainan papan, aktiviti sukan, pertandingan, dan banyak lagi. Lain pula bagi aku dan beberapa orang kawan yang lain. Masa itu, kami sebenarnya sibuk dengan aktiviti yang lain.

Aktiviti apa? Berlatih sebagai persediaan untuk menempuh Nasyid peringkat kebangsaan (jangan gelak). Ya, aku memang budak nasyid dulu. Tapi bukan penyanyi. Aku pemain perkusi. Alat yang aku biasa letak di celah kelengkangku, aku dan mereka panggil sebagai yankee. Walaupun sebenarnya nama saintifiknya ialah darbuka.

Pada mulanya peringkat kebangsaan sepatutnya bermula seminggu sebelum cuti sekolah. Jadi kami, dan beberapa orang pelajar tingkatan 2 (yang dah tentu terpaksa mengorbankan peperiksaan akhir tahun mereka), berlatih siang dan malam untuk menghadapi pertandingan. Nak kata kami ni hebat, dah tentulah. Kalau tak, tak akanlah kami menang peringkat negeri. Masa tu kami pun ada vokalis yang power, yang bakal masuk Akademi Fantasia di masa hadapan. Tapi aku tak bolehlah dedahkan nama dia, nanti jadi kontroversi. Semuanya nampak baik-baik. Dan kami berlatih dengan cahaya harapan menyinari kami, membawa tanda-tanda kemenangan.

Tapi kedatangan ustazah petang tu, memudarkan sedikit cahaya tu. Ustazah merupakan penasihat kumpulan nasyid. Dan walaupun dia tak nampak macam ada pengalaman dalam bidang muzik, mahupun nasyid, dia seorang je yang sanggup untuk menjadi penasihat kami. Kalau tak ada penasihat, kumpulan nasyid tak boleh bergerak.

Ustazah datang, ke surau tempat kami berlatih. Sambil duduk di tangga, dia memanggil kami semua yang sedang sibuk berlatih. Yang vokal berlatih vokal. Yang perkusi, berlatih mengetuk untuk menguatkan stamina. Tapi bila sahaja ustazah memanggil, kami terus datang. Tak elok membiarkan ustazah di tangga seorang-seorang.

"Mereka terpaksa tangguhkan pertandingan tu. Bawak ke masa cuti sekolah," tutur ustazah. Pendek sahaja. Aku dan rakan-rakan yang lain saling memandang.

"Kenapa ustazah?" soal Majid, si vokalis utama.

"Ustazah pun tak tahu. Sekarang ni kamu semua kena beritahu mak bapak masing-masing. Sebab kamu semua kena duduk asrama dalam seminggu masa cuti sekolah nanti," balas ustazah kembali.

Kali ini kami tak bersuara. Hanya diam dan akur dengan pesanan ustazah.

"Kalau tak ada apa-apa lagi, ustazah pergi dulu eh. Belum masak lagi ni."

Koleksi CerpenOpowieści tętniące życiem. Odkryj je teraz