Sinaran Bahagian 2

95 3 0
                                    

            Kadang-kala bila kita kita cuba untuk mengingat sesuatu, terutama bila ditanya, cukup payah untuk kita memanggil semula memori itu. Ia bagaikan tersimpan kemas, segan untuk menunjukkan diri, bila tuannya memerlukan. Tapi bila kita tidak meminta, bila kita mengharapkan yang kita boleh melupakan memori itu, terutamanya bagi memori yang memeritkan, atau menakutkan, ia dengan mudahnya memunculkan dirinya. Tanpa segan silu, seperti memang tujuannya wujud untuk menyaksikan kesengsaraan tuannya.

Itulah yang berlaku padaku ketika ini. Usai sahaja melipat sejadah, aku hanya boleh bersandar di kerusi sofa. Bergelap, tanpa sebarang cahaya. Seluruh tingkap rumahku sudahpun ditutup dengan papan kayu. Memastikan tiada sebarang cahaya pun yang boleh menembus masuk ke ruangku ini. Sementara aku duduk, berdoa, segala apa saja doa yang aku tahu. Doa makan pun terlepas dari mulutku. Mengharapkan perlindungan dari yang Maha Kuasa. Ketika itulah, memori seminggu yang lepas, mencurah-curah keluar dari kotak simpanan mindaku, menjuihkan dirinya, menambahkan lagi ketakutan pada diriku.

Rahman terus membawa aku ke bilik forensik di tingkat bawah, selesai sahaja taklimat. Aku dibawa menuruni koridor yang gelap, dengan lampu yang sudahpun berkelip-kelip, dengan berpuluh soalan masih lagi tergantung belum dijawab.

Ketibaan kami disambut oleh seorang lelaki yang memakai baju kot putih. Ada stetoskop disangkut di lehernya, membuatkan aku tertanya-tanya apa gunanya stetoskop pada doktor bedah mayat. Sambil berjabat tangan, aku perasan tag nama di badannya, Dr Rajesh, Neurosurgeon, Hospital Bukit Tunku.

"Nama saya Rajesh, Rajesh Vaidya. Dari Hospital Bukit Tunku," tuturnya, menyambut tanganku dengan senyuman.

"Doktor, stetoskop awak," tegurku.

"Owh, maaf. Thank you, professor Lim. Saya tak perasan pulak," balas Rajesh kembali, yang mula mengangkat stetoskop itu dan menyimpannya dalam baju kotnya.

"Doktor Rajesh baru sampai pagi tadi. Kami panggil dia direct terus dari Hospital Bukit Tunku. Mungkin sebab tu dia terlupa pasal stetoskop kat leher dia," jelas Rahman pula.

"Saya tengah buat round bila mereka datang. Tak sempat saya nak bersiap apa-apa. Saya terus diiring ke sini," balas Rajesh kembali.

Aku menoleh memandang Rahman. Aku tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku di depan mataku. "Awak perlukan ahli astrofizik dan juga pakar bedah saraf. Kes apa yang tengah berlaku ni?" soalku pada Rahman.

"Macam yang aku cakap tadi, yang misteri pada kes ni ialah kenapa ia berlaku serentak. Dan kenapa mereka mati selepas tu," balas Rahman kembali,

"Mereka dah mati?" soalku. Rahman mengangguk. "Kesemuanya mati setengah jam selepas amuk bermula," jelas Rahman lagi.

"Punca kematian?" soalku kembali.

"Sama," balas Rahman.

"Huh?" soalku, kurang faham dengan jawapan balas Rahman.

"Maksud inspektor Rahman tu, mereka bertiga ada punca kematian yang sama," tutur Rajesh pula, menjelaskan.

"Macam mana boleh jadi macam tu?"

"Itu yang kami harapkan professor boleh beritahu," balas Rajesh kembali.

"Panggil sahaja saya Lim. Kalau kita nak bekerja bersama, sebaik-baiknya awak panggil saja saya Lim. Dan macam yang saya cakap kat Rahman tadi, saya tak tahu apa yang saya boleh bantu," balasku kembali.

"Mungkin saya boleh tunjuk dulu pada awak Lim. Baru awak faham kenapa kami perlukan seorang ahli astrofizik di sini?" tutur Rajesh kembali, sambil memandang wajahku. Baru aku perasan, mata lelaki itu berwarna biru. Jarang sekali dapat melihat lelaki Malaysia bermata biru.

Koleksi CerpenWhere stories live. Discover now