Sinaran Bahagian 1

127 3 0
                                    

 Aku tak tahu sejak bila malapetaka ini bermula. Ia mungkin sudah bermula beratus ribu tahun dahulu lagi, ataupun baru sahaja dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Tapi kalau mengikut corong pandangku, malapetaka ini bermula minggu lepas, ketika aku sedang mendongak ke langit.

Dah menjadi kebiasaan bagiku untuk mendongak ke langit usai sahaja solat subuh. Ia satu tabiat yang aku amalkan sejak aku mencecah dewasa. Dewasa bagiku adalah ketika aku baru mula mendapat kerja.

Aku seorang anak kampung yang tak punya apa-apa, dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan. Baju sekolahku pun kadang-kadang bertampal. Mak bapak aku membanting tulang untuk menghantar aku ke menara gading. Bapak aku terutamanya, membanting sampai patah tulangnya. Kemalangan, hilang fungsi kakinya.

Tapi dengan usaha mereka aku berjaya ke menara gading. Dan tak sampai sebulan aku menunggu, aku ditawarkan kerja di MYSA.

"Syukur, Alhamdulillah"

Tersenyum sinis aku mendengar perkataan syukur dalam kotak mindaku sendiri. Sebagai seorang saintis, aku ada satu hipotesis. Yang kadar kesyukuran seseorang itu berkadar sonsang dengan status kemewahannya. Sekurang-kurangnya itulah pemerhatian yang aku nampak pada diriku sendiri.

Mana taknya, di awal kerja, aku berjanji pada diriku untuk ke surau setiap hari. Dan itulah yang aku lakukan pada hari pertama di MYSA. Aku ke surau bila sahaja tiba waktu rehat. Sebaik sahaja aku tiba, jemaah sedang khusyuk mendengar kuliyah dari Ustaz Fadzil. Aku tak ingat sangat tajuknya, apatah lagi isinya. Yang aku ingat, hanyalah satu pesanan yang dituturkan Ustaz Fadzil, sebaik sahaja aku bersila di sejadah. Seolah-olah pesanan itu memang ditujukan khas buatku.

"Ini benda yang saya amalkan setiap pagi. Sebaik sahaja saya sembahyang subuh, saya akan keluar rumah, mendongak ke langit. Bukan mendongak sebab kita bongkak, tapi mendongak sebab kita nak melihat keindahan ciptaan-Nya. Melihat bukti kekuasaan-Nya. Dan ketika itulah saya akan ucapkan, Alhamdulillah. Kerana Allah membenarkan saya untuk hidup satu hari lagi, untuk melihat keindahan alam ciptaannya."

Dan pesanan itulah yang tersimpan kemas dalam hatiku. Entah kenapa yang itu sahaja melekat. Aku tak lagi ke surau ketika waktu rehat. Apatah lagi mendengar kuliyah bila berkesempatan. Tapi aku tak pernah terlepas dari melakukan pesanan Ustaz Fadzil.

Setiap hari selepas sahaja aku selesai solat dua rakaat, aku terus keluar dari rumah, berjalan melepasi laman rumahku, melepasi Tesla Roadster yang aku perolehi selepas 10 tahun aku bekerja. Pintu pagar besi bersalut emas di depan rumahku akan terbuka luas secara automatik, bagaikan sudahpun menghafal rutin tuannya. Dan di luar rumah aku akan berhenti, menghirup udara kota yang tak adalah segar mana. Sambil mata aku memandang pada langit yang sudahpun sedikit membiru. Jika aku teringat, (semakin hari, semakin terlupa) aku akan menuturkan perkataan yang dipesan Ustaz Fadzil padaku.

"Syukur, Alhamdulillah"

Tapi tidak hari ini. Hari ini aku hanya duduk di tikar sejadah. Berlindung di dalam rumah. Aku masih lagi mengucapkan "Syukur, Alhamdulillah", dan banyak lagi doa yang lain, yang teringat dalam kepala. Betullah hipotesis aku, bila mana kemewahan aku semakin menghilang, ucapan syukur itu semakin bertambah.

Tapi aku tak berani lansung keluar dari rumah. Aku tak berani untuk memandang ke langit. Kerana aku tahu apa yang menanti untukku dari atas langit. Malapetaka, bukan sahaja untukku. Tapi untuk seluruh umat manusia. Dan segalanya bermula, seminggu yang lepas.

***

Hari itu, aku masih lagi boleh mendongak ke langik. Dengan mulut aku yang tersenyum lebar seperti orang yang sedang bercinta. Mana taknya, aku baru sahaja dinaikkan pangkat, ke ketua penyelidik MYSA. Pada pagi itu, tak ada perkataan syukur yang terlepas dari mulutku. Hanya mulutku yang tersengih tak henti-henti bagaikan kerang busuk.

Koleksi CerpenWhere stories live. Discover now