Hotel

57 0 0
                                    

"Abang...saya rasa saya tertinggal..."

Aku menoleh memandang isteriku. Terus terbit rasa takut di wajahnya.  Mungkin kerana pandangan mataku yang keras, mulutku yang menunjukkan gigi, dan tanganku yang pantas mencekak pinggang.

"Apa ni sayang...tinggal 10 minit lagi nak checkout.."

Isteriku melemparkan senyumannya yang manis. Mendengar nada suaraku yang masih rendah membuatkan dia merasakan yang api marahku masih boleh dipadamkan.

Jujurnya, api marahku ketika itu sudahpun marak menyala. Tapi, memandangkan yang ketika itu kami sedang berada di lobi hotel, aku terpaksa merendahkan nada suaraku.

"Tolong bang, ambilkan kejap. Baju kotor, tertinggal di atas meja."

Aku mengeluh keras. Ingin sahaja aku melancarkan butir-butir bebelan pada isteriku. Tapi aku juga sedar yang membebel tak akan membawa ke mana. Masa tetap terus berjalan. Kalau terlambat check-out, melayanglah duit dalam dompet.

"Hm, yelah. Tunggu sini kejap," tuturku, tanpa menoleh. Tak sempat aku melihat sengih isteriku yang nampak seperti kerang busuk. Aku meluru ke arah lif, lalu menekan butang ke tingkat 13.

Sebaik sahaja sampai ke tingkat aku, aku terus berlari-lari anak menuju ke bilikku. Bilik 1304. Sempat aku menjeling pada jam. 5 minit sudahpun berlalu. Hanya tinggal 5 minit sahaja lagi sebelum menjelang pukul 12. Ketika itu, aku mula mencari ayat untuk dinyatakan pada resepsi. Masih terngiang-ngiang lagi  pesanan perempuan di kaunter semalam.

"Encik, sini waktu checkout pukul 12 tepat eh."

"12 tepat? Kalau terlewat macam mana?" Aku yang sedang hanyut dalam keasyikan percutian berseloroh.

"Kalau terlewat ada extra charge, separuh hari."

"Ui! Kalau terlewat seminit pun tak boleh ke?"

Perempuan itu tak menjawab. Sebaliknya hanya menawarkan senyuman yang hambar. Bagiku, bentuk senyuman itu sudah cukup sebagai jawapan buatku.

Jadi, apabila aku sedang berdiri di depan bilikku, aku kaku sebentar. Kad bilik yang masih berada di tanganku bagaikan tergantung sebentar.

"Masih boleh pakai ke kad ni?" fikirku. Aku takut, bila jam sudahpun mencecah pukul 12. Kad aku akan dimatikan, dan bilik aku tak boleh dimasuki. Maka terbiarlah beg baju kotor yang isteri aku tinggalkan tadi. Di mana tersimpannya bukan sahaja baju isteriku, malah baju aku sendiri.

"Ah, fikir pun tak guna," tuturku sendirian. Bergema suaraku dalam ruang koridor yang sunyi. Sehingga mengundang tolehan pekerja hotel yang berada di hujung koridor.

"Nak ambil barang jap bang, isteri tertinggal tadi," tuturku, tanpa dipinta. Pekerja hotel itu yang merupakan seorang lelaki tua tak menjawab, sebaliknya hanya meneruskan kerjanya. Menolak troli yang penuh dengan tuala, selimut dan perkakasan buat tetamu, dari satu bilik ke bilik yang lain.

Aku hanya mengangkat bahu, lalu terus mengimbas kad aku pada pintu. Bunyi "ting" dan lampu yang menyala hijau memberikan kelegaan padaku. Pantas aku membuka pintu, walaupun menyedari yang jam sudahpun mencecah pukul 12. Aku terus masuk ke dalam bilik, tanpa membuka kasut.

Matlamatku ketika itu hanya satu. Mencapai beg baju kotor dan terus meluru ke lif. Aku tak terfikir lansung untuk meletakkan kad kunci ke dalam ruangnya, membekalkan tenaga, dan cahaya dalam bilik yang gelap itu. Walaupun gelap, mata aku masih mampu melihat. Aku memberi sedikit masa bagi bola mataku mencerap sisa cahaya yang ada dalam bilik itu. Tak lama. Dalam masa beberapa saat sahaja, beg plastik berwarna putih itu terlihat di depan mataku.

Tersenyum, aku terus menyambar beg plastik itu, dan berpaling kembali ke arah pintu bilik yang sudahpun bertutup. Ketika itulah, seluruh panca indera di tubuhku mula merasakan ada sesuatu yang tak kena.

Du har nått slutet av publicerade delar.

⏰ Senast uppdaterad: Oct 16, 2022 ⏰

Lägg till den här berättelsen i ditt bibliotek för att få aviseringar om nya delar!

Koleksi CerpenDär berättelser lever. Upptäck nu