Kepala Kuda- Bahagian 1

50 0 0
                                    

            Kiren bersandar di kerusinya. Nafasnya dihela panjang. Terlalu panjang, seperti sudah lama ditahan nafas itu. Tapi hakikatnya, yang cuba dilepaskannya itu rasa berat yang sudahpun menggunung. Berat yang perlu ditanggungya sebagai ketua pasukan.

Di tangannya, tersemat kemas pemancar hologram. Yang dibiarkannya sahaja terletak di atas peha. Matanya tak mampu lagi untuk membaca ayat-ayat laporan yang tertulis di situ. Kerana itulah mata Kiten hanya terpaku kosong memandang jendela. Melihat ruang angkasa dengan hamparan permaidani hitam yang dihiasi batu permata.

"Teet" Penggera di pintunya berbunya. Tanpa menunggu, suara seorang lelaki bergema di situ. "Tuan, Korporal Rahman. Boleh saya masuk?"

Kiren tak menjawab. Tapi tangannya mula meraba-raba butang yang ada di bawah meja. Pada mulanya disangkakan butang itu sudah hilang, lesap. Barangkali balasan untuknya yang gagal sebagai kapten. Membiarkan anak kapalnya mati sia-sia sahaja. Biarlah dia terkurung di dalam biliknya. Menghadap realiti tragedi yang baru terjadi.

Mujurlah, apa yang dirasa itu hanyalah prasangka. Butang yang dicari akhirnya dijumpai, memberi ruang buat Korporal Rahman untuk masuk menghadap. Kiren tak menoleh, hanya mendengar sahaja bunyi tapak kaki Korporal Rahman yang perlahan. Lebih perlahan dari biasa. Mungkin orang kanannya itu masih ragu-ragu, ataupun sedang menyusun ayat yang sesuai. Kerana bunyi tapak kaki Korporal Rahman biasanya berderap kuat. Tegas dan tangkas, itulah sifat orang kanannya.

"Tuan, kami menunggu arahan baru tuan," tutur Korporal Rahman. Ha, itupun dia, tegas. Terus ke tujuan, tanpa perlu berlapik.

Pada mulanya Kiren tak menjawab. Dia hanya memandang kosong pada hamparan angkasa di depannya. Yang dipenuhi dengan kerlipan bintang. Tapi pada masa yang sama matanya tertumpu pada kumpulan debu dan asap yang terletak tak berapa jauh dari mereka. Kiren meraba lagi butang yang ada di mejanya, membesarkan imej yang terpampang di jendela. Kini kumpulan debu dan asap yang jauh itu kelihatan betul-betul berada di depan. Bentuknya yang seperti kepala kuda, berlatarbelakangkan hamparan berwarna merah, megah melewati mereka. Menambahkan lagi rasa berat di hatinya.

"Tuan", panggil Rahman sekali lagi, kali ini sambil berdehem. Kiren akhirnya menoleh, lalu meletakkan pemancar hologram tadi kembali di atas meja. Tapi matanya terkejut melihat sut angkasa yang sudahpun membaluti tubuh orang kanannya itu.

"Apa awak nak buat ni Rahman?"

Rahman, walaupun tegas pada orang bawah, tetap kecut di hadapan ketuanya itu. Hampir-hampir mulutnya terkatup diserang soalan sebegitu, tapi melihatkan apa yang dah terjadi, dia tak punya pilihan lain selain memberanikan diri.

"Kalau boleh tuan, kami anak kapal semua sepakat untuk kembali ke Stesen Barnard. Kami nak...."

Kiren mengangkat tangan. "Arahan dari MYSA dah keluar Rahman. Kita kena pulang," tuturnya, sambil menunjuk ke arah pemancar hologram.

"Tapi tuan, tak akanlah kita nak biarkan sahaja mayat mereka di situ?" soal Rahman, tanpa menyedari yang intonasinya sedikit tinggi. Kiren tersenyum. Boleh tahan juga orang kanannya ini.

Kiren bersandar. Rasa berat yang tadi menebal di hatinya sedikit surut. Lama Kiren memandang Rahman, cuba untuk membaca apa yang sedang ada di dalam fikirannya orang kanannya itu. Tapi kekentalan yang ditunjukkan pada raut wajah Rahman menyembunyikan sebarang niat tersirat.

"Apa cadangan awak? Kita masih tak tahu lagi apa yang sebenarnya berlaku," tutur Kiren, lembut.

Rahman, yang masih tegak berdiri di hadapan ketuanya, meletakkan tangannya di belakang. Kakinya sedikit menggeletar (tak disedari Kiren), tapi mulutnya lancar menyampaikan rancangan yang telah dia dan anak-anak kapal usahakan tadi.

"Kita pergi dengan Kenari tuan, kita lengkapkan Kenari dengan senjata dan juga sedikit perisai perliundungan. Saya baru tanya dengan Chin tadi. Dia kata dia boleh buat. Kita hantar Kenari dulu, untuk scout, tengok keadaan. Kalau selamat, baru kita turun beramai-ramai ambil kawan-kawan kita untuk pulang bersama."

Kiren kini meletakkan kedua-kedua belah sikunya di atas meja. Dia tak lagi bersandar. Matanya merenung Rahman seperti laser yang tajam. Tapi ruang fikirannya menerawang memikirkan rancangan anak-anak kapalnya. Rancangan yang dibawa Rahman itu penuh dengan kelemahan. Kenari adalah satu-satunya dron yang mereka ada. Meletakkannya sebagai peninjau solo menghadapi penyerang yang mereka sendiri tak tahu apa merupakan rancangan yang kurang bijak. Lebih-lebih lagi dalam ruang terbuka stesen Bernard.

Tapi...

Apa yang Rahman lupa sampaikan adalah Kenari merupakan dron yang kecil. Yang mampu menggelosor mengikut ruang-ruang pengudaraan dan ventilasi yang ada di sekitar stesen Bernard. Barangkali rancangan ini boleh digunakan, jika diselia dengan betul. Kiren akhirnya mengangguk, dan menawarkan senyuman pada orang kanannya. Rasa berat yang tadinya menggunung kini hilang, digantikan dengan rasa ringan kelegaan.

"Ok. Ada betulnya kata awak Rahman. Saya benarkan misi ini untuk berlaku. Cuma...."

Rahman yang tadinya mula tersenyum dan melonggarkan badannya terus berdiri tegap kembali.

"Cuma saya nak ikut, saya nak selia misi ini," tutur Kiren.

"Tapi tuan....bahaya. Kapten tak dibenarkan mengikut misi di lapangan," tutur Rahman.

"Awak rasa saya nak biarkan sahaja mayat anak-anak buah saya di situ? Saya pun ada tanggungjawab ke atas mereka," tutur Kiren kembali, mengundang senyuman yang lebar dari Rahman.

"Terima kasih tuan, terima kasih," tutur Rahman, sambil menghulurkan tangannya, berjabat. Ia disambut ramah dari Kiren.

"Dah pergi bersiap. Kita berlepas setengah jam lagi," arah Kiren. Rahman berdiri tegak sambil menyampaikan tabiknya lalu berlalu keluar dengan derap tapak kakinya yang kuat. Kiren kembali berpusing memandang kepala kuda yang megah tersergam di depan mereka. Hamparan merah yang ada di belakang kepala itu seperti aura amarah. Seperti ia berang dengan manusia yang sudahpun mencerobohi tempatnya. Kuda itu seolah-olah sedang memandangnya tajam sambil berkata, "Apa lagi yang kau nak cabar aku, wahai manusia?"

Kiren mengeluh, lalu bangun dan menutup pemancar hologram. "Aku hanya nak bawak balik semua anak buah aku dengan selamat," tuturnya sendirian.

***

Rahman menghampiri bilik am dengan hati yang tenang. Hatinya tadi yang bak terikat kini terurai menerima kebenaran dari Kapten Kiren. Dengan langkah yang pantas, dia memasuki bilik am, menemui rakan-rakannya yang masing-masing masih lagi berdiri sejak dia meninggalkan mereka 10 minit yang lepas.

"Macam mana?" soal Chin, yang berdiri paling depan di antara mereka semua. Rambutnya kusut, matanya sedikit berkaca, dan bibirnya kering. Entah bila kali terakhir bibir itu menyentuh air.

"Kapten cakap ok. Dia setuju dengan cadangan kita. Cuma, syaratnya, dia nak ikut," tutur Rahman, tak mampu menyembunyikan senyuman di wajahnya.

"Ha, kan aku dah kata. Kapten sebenarnya ambil kisah pasal kita semua," tutur Hafiz di belakang.

"Ah, yelah kau. Kaki bodek. Sejak bila kapten tu ambil kisah pasal kita. Duduk makan dengan kita pun tak pernah," tutur lagi seorang.

"Dia ada tempat dia sendiri kan, buat apa dia nak mencemar duli lepak dengan kita," tutur yang dari tadi bersandar di dinding.

"Eh dah, dah. Tak payah nak bergaduh lagi. Yang penting kapten dah setuju. Kita semua kena bersiap cepat. Kita akan bertolak lagi 25 minit," arah Rahman.

Masing-masing mengangguk, dan mula beredar ke posisi masing-masing. Chin menghampiri Rahman.

"Macam mana dengan Jamal?" soalnya.

Rahman meraba-raba jambangnya yang tipis. Ketika di angkasa, semua petugas MYSA tak dibenarkan berjambang lebat. Satu-satunya kesusahan yang dialaminya sepanjang bekerja di sini. Tapi tak sesusah dengan apa yang baru sahaja mereka alami.

"Aku lupa pulak nak tanya dengan kapten tadi. Kita tak boleh tinggalkan dia macam tu je. Sekurang-kurangnya kita kena tanya dia dulu," tutur Rahman kembali.

Chin mendepangkan tangan kirinya, seolah-olah ingin berkata "Be my guest."

Rahman yang tersenyum menggelengkan kepala, lalu melangkah menuju ke bilik medik.

Koleksi CerpenWhere stories live. Discover now