LAR | 01

306 10 0
                                    

"ABANG!"

Jeritan yang didengari dari arah bilik membuatkan Iman Raykal kelam-kabut lari mendapatkan isterinya.

Pada saat dia tiba di bilik tidurnya dan isteri, dia melihat tubuh yang tadinya berbaring penuh dengan mata terpejam sudah terduduk bersama kaki yang melunjur di atas katil.

Seraut wajah milik si isteri terlihat lencun dengan air mata. Segera dia merapat dan melabuhkan duduk di birai katil.

"Hanani... kenapa ni?" Penuh kelembutan Raykal bertanya, dia mencapai tangan si isteri lalu ditarik ke arahnya. Tubuh itu hendak dibawa ke dalam pelukan, namun wanita itu mengeraskan diri.

Tidak disangka dadanya menerima tumbukan tangan halus itu. Segera anak mata mencari dan menikam sepasang mata yang kemerahan dalam tangisan itu.

"Abang pergi mana? Kata nak teman Sha tidur. Sampai hati abang tinggalkan Sha seorang-seorang." Semakin lebat air mata Raisha Hanani. Tangan yang tadinya digunakan menumbuk manja dada suami dibawa mengesat air mata yang asyik meluruh di wajah.

"Eish, Hanani... abang bukan tak nak teman Hanani, abang buat kerja sikit dekat dapur tu. Bersepah dah lepas Hanani buat tart nenas tu. Hanani bukannya nak kemas balik." Sabar Raykal menerangkan kepada isterinya. Sangat memahami tingkah si isteri sejak berbadan dua ini.

Manja. Asyik nak berkepit. Lepas tu, kalau nakkan sesuatu.... tak boleh tak. Kena juga bagi apa yang dia nak. Kalau tak, merajuk. Muncung sedepa. Kalau mood isterinya betul-betul tak elok, dia kena halau tidur luar. Tapi, selalunya tak sampai satu jam... wanita itu sudah keluar mencari dirinya. Tak boleh tidur kalau tak dipeluk dari belakang.

"Tu... nanti-nanti boleh buat. Sha bukannya nak tidur tak bangun-bangun. Tidur sekejap aje. Nak abang teman. Abang sengaja, kan? Tak nak layan Sha? Jemu dah dengan karenah isteri abang yang mengada-ngada ni?"

"Hanani... hei, apa cakap macam ni? Abang tak pernah cakap pun abang jemu dengan isteri abang ni. Abang faham yang sayang cuma nak bermanja dengan abang. Anak-anak ayah dekat dalam ni..." Raykal labuhkan jemari kasarnya di atas perut yang membulat besar.

Sudah masuk 8 bulan usia kandungan isterinya. Kembar kata doktor dan mereka pun memang melihat ada dua janin yang membesar dalam rahim isteri semasa pemeriksaan  tempoh hari.

"Mesti nak bermanja dengan ayah juga, kan?" Perut yang dilapisi sehelai kain baju isteri diusap lembut.

Wajah Raisha masih mencuka. Kedua belah tangannya dibawa berpeluk tubuh. Pandangan dialihkan. Tidak berpusat pada wajah sang suami.

Raykal ketawa halus. Mencuit manja puncak hidung isteri, tetapi laju ditepis oleh si ibu mengandung.

"Hanani abang ni merajuk ya?" usiknya.

Bibir mungil itu mencemek. Sepatah perkataan pun tidak dikeluarkan untuk membalas persoalan seorang suami.

"Nak abang pujuklah ni, kan?" Rambut panjang yang menutupi separuh wajah isteri diselak ke belakang telinga wanita itu.

"Okey, okey. Abang minta maaf ya, sayang. Abang tinggalkan Hanani tidur seorang-seorang tadi. Abang ingatkan Hanani okey tidur sendiri. Abang berkemas kejap aje dekat dapur tu. Ni, abang dah habis kemas... abang teman Hanani ya. Nak sambung tidur ke?" Pipi mulus yang agak berisi itu diusap sayang.

Raisha sedaya upaya simpan senyum daripada terlihat. Hati terbuai dengan pujukan lembut dan kesabaran Iman Raykal melayannya.

"Tu... nak senyum dah dia. Sukalah tu, kan abang pujuk dia? Eii, isteri abang ni... sejak mengandung ni makin menjadi-jadi ya manjanya. Ni anak-anak ke mak dia orang yang manja sangat?"

Raisha lantas tersenyum apabila diusik begitu. Jatuh tangan yang tadinya bersilang di dada. Dia memusatkan pandangan kepada suami. Lelaki itu ukir senyum menawan di pandangan seorang isteri.

"Janji tak tinggalkan Sha tidur seorang-seorang lagi?" Raisha masih tidak puas bermanja dengan lelaki itu.

"Ya, sayang..."

"Janji tak jemu layan Sha nak bermanja dengan abang?"

"Bermanja aje... mengada abang tak layan." Suara dan riak wajah Raykal bernada nakal menyakat si isteri.

"Abang!" Raisha tampar manja lengan kekar di sisinya itu.

Raykal ketawa senang. Suka dapat mengusik ibu mengandung kesayangannya.

Akhirnya, Raisha juga ikut tersenyum. Hilang segala adegan drama air matanya tadi. Hati bahagia dilayan penuh kasih oleh lelaki kesayangan.

"Izz tak balik sekolah lagi, abang?" Teringat dia akan anak bujangnya yang sudah bersekolah rendah.

"Sejam lagi, Hanani. Nak ambil dia tak hari ni? Ke Hanani tak larat? Nak sambung tidur?" Raykal bertanya prihatin. Sambil berbicara dengan isteri, dia merendahkan tubuh dan menghadapkan wajah dengan perut bulat wanita itu. Sekali-sekala, bibirnya melekap di situ. Kedua belah tangan pula mengusap sisi perut itu.

Raisha tersenyum tenang melihat gelagat sang suami. Terbayar juga dambaan hatinya tatkala pengalaman mengandung kali ini, ditemani dengan kehadiran seorang suami di sisi. Dahulu, dia hanya sendiri. Sekali-sekala, si kembar menemani. Tetapi, kali ini... dia benar-benar bersyukur dengan adanya Iman Raykal di sisi.

"Kita ambil dialah. Lagipun, Sha nak singgah beli burger mekdi. Sha teringinlah. Boleh, kan... encik abang sayang?" Raisha kerdip-kerdip mata pada masa lelaki itu mengangkat wajah ke arahnya.

"Pandai ya nak pancing hati abang ikutkan kehendak dia. Yalah, sayang... nanti kita beli. Kalau Izz tak larat nak sambung puasa sampai petang pun, kita beli untuk dia sekali." Raykal beralah dengan kehendak isteri.

Raisha Hanani tidak berpuasa hari-hari. Hanya sesekali jikalau mampu sahaja. Dia akur memberi kelonggaran isterinya tidak berpuasa tatkala wanita itu tidak larat. Kandungan yang berat dan berisi dua bentuk janin yang sudah besar, dia mengerti sahaja jikalau si isteri meminta qada' puasa di kemudian hari.

Si anak pula baru belajar berpuasa. Juga diberi kelonggaran jika anak itu hendak berbuka lebih awal daripada sepatutnya. Perlahan-lahan, Izz Haider belajar berpuasa. Insya-Allah, kelak anak itu mampu puasa penuh tanpa culas.

"Yeay! Thank you, abang. Sayang abang!" Raisha tidak perlu minta izin untuk terus mendakap tubuh itu. Melabuhkan ciuman penuh cinta dan bahagia pada pipi kanan sang suami.

Paksa dalam rela, Raykal tadah sahaja tubuhnya buat wanita itu. Asalkan tidak berlebihan sudah.

Tetapi, dalam diam, dia berjaga-jaga juga jikalau kenakalan isteri sudah beraksi pada masa begini. Isterinya itu bukan boleh percaya sangat.

Pernah dia terpaksa menahan gelora nafsu yang pernah diusik wanita itu pada masa dia sedang berpuasa pada hari pertama ramadhan. Berkali-kali mengucap dalam hati, Allahuma Inni Saim.

Natijahnya, seharian itu dia harus melihat si isteri tarik muncung sedepa. Nasib malam hari boleh pujuk. Kehamilan isterinya bukan boleh buat main. Lain maciam...

Lebaran Aidilfitri Rayisha | E-BOOKWhere stories live. Discover now