LAR | 08

92 9 0
                                    

"SAYANG rehat dulu ya. Abang pergi cari durian yang sayang nakkan. Doakan abang jumpalah tempat nak dapatkan durian hari macam ni." Raykal menaikkan selimut sehingga menutupi perut bulat isterinya. Sempat dia tunduk, mencium dahi dan anak-anak di dalam kandungan ibu mereka.

Raisha hanya tersenyum memerhati tingkah suami yang begitu prihatin terhadapnya.

Pada ketika ini, hanya ada mereka suami isteri sahaja di rumah. Izz Haider mengikut keluarga pak long dan neneknya ke tanah perkuburan bagi melawat arwah datuk yang tidak pernah ditemui. Datuk Izz Haider meninggal semasa anak itu masih lagi belum lahir.

"Jangan balik lewat sangat tau, abang. Sha tak nak tinggal seorang-seorang lama-lama," pesannya. Memang dia begitu khawatirkan keadaan diri yang bakal melahirkan. Bimbang andai kontraksi berlaku semasa ketiadaan lelaki itu.

Teringatkan pengalaman melahirkan Izz Haider, merasa seram sejuk. Sakit yang tidak terperi itu akan berulang lagi. Kali ini, entah bagaimana pula dengan dua kali kelahiran serentak.

Namun, entah mengapa tekaknya begitu mahukan durian. Tertelan liur berkali-kali mengingati buah berduri yang baginya cukup lazat. Itu yang dipinta juga suami menurut kehendaknya untuk mendapatkan durian.

"Ya, sayang. Abang cuba balik awal. Sayang ingat pesan abang selalu. Takmo lasak-lasak. Duduk diam-diam. Nak exercise berjalan ke, apa ke... tunggu abang balik nanti. Sekarang sayang tidur je. Pejam mata. Rehatkan diri. Rehatkan minda. Okey?" Raykal berpesan perkara yang sama lagi pada hari yang sama.

Seharusnya dia mengikut keluarga mereka ke tanah perkuburan, tetapi mengenangkan keadaan isteri yang begitu sarat, dipadamkan sahaja keinginan di hati. Nanti lepas isterinya bersalin, boleh je pergi melawat kubur arwah abah tu...

"Okey, abang. Sha dengar cakap abang." Raisha capai tangan suaminya lalu dikucup sayang.

"Good girl!" Ubun-ubun si isteri, Raykal usap lembut.

Baru sahaja dia berura-ura untuk meninggalkan isterinya, suara halus wanita itu kedengaran lagi di halwa telinga.

"Abang..."

"Ya, sayang?" Raykal kembali berpaling.

"Peluk Sha dulu, boleh?" Raisha menegakkan tubuhnya separa di atas katil.

Raykal terdiam sekejap sebelum dia ukir senyum. Menjatuhkan kepala sekali bersama kerdipan mata yang juga sekali. Tanda bersetuju dengan permintaan isteri tersayang.

"Mestilah boleh. Takkanlah tak boleh. Come..." Raykal menapak semula mendekati isterinya lalu punggung dilabuhkan di birai katil. Tangan didepa luas di hadapan wanita itu.

Raisha tidak menunggu lama untuk masuk ke dalam pelukan suami. Wajah melekap di dada tegap itu. Nafas dihela dalam. Menghidu aroma tubuh suami yang begitu dia suka.

"Sha sayang abang tau..." ucapnya dalam pada pelukan masih bersatu erat.

Raykal mengangguk. Melabuhkan bibir di ubun-ubun isteri.

"Abang pun sayangkan Raisha Hanani abang." Ungkapan sayang itu dibalas tenang. Dia tahu pastinya si isteri kerisauan tentang masa kelahiran kembar mereka.

Sudah beberapa hari dia lihat emosi isterinya tidak menentu. Terkadang wanita itu termenung panjang. Lena si dia juga agak terganggu. Tidak begitu teratur.

"Abang sayang babies juga, kan?" Raisha bertanya dengan suara yang berganti lirih.

Raykal tersenyum sebelum dia meletakkan tangan kirinya yang tidak memeluk tubuh isteri ke atas perut wanita itu. Perut bulat yang menempatkan anak-anak mereka dielus penuh kasih.

"Takkan ada perbandingan yang boleh dibuat dalam dunia ni untuk abang nyatakan perasaan abang pada sayang dan anak-anak. Sayang dan anak-anak istimewa dalam hati dan hidup abang. Abang sayangkan sayang dan anak-anak sampai alam di mana kita tidak merasai ketakutan, kegelisahan. Insya-Allah. Dengan izin Allah, sayang..." tutur Raykal sambil bahu isterinya diusap sayang.

Raisha tersenyum tenang. Mata dipejam rapat. Mendengar tutur kata daripada suara garau yang dicintai membuatkan hati terasa damai. Terhakis sedikit demi sedikit galau di hatinya.

"Dah, sayang tidur ya. Takmo banyak sangat fikir. Nanti sayang tertekan. Emosi sayang terganggu. Anak-anak pun nanti terganggu dalam kandungan sayang tu. Sayang tenangkan hati, tenangkan diri okey. Kejap lagi, abang balik bawa makanan yang sayang nakkan." Tubuh si isteri kembali direbahkan di atas katil.

Raisha hanya akur. Merenung lama wajah suami tercinta saat lelaki itu membetulkan selimut di atas tubuhnya.

Sebelum berlalu, sempat Iman Raykal merendahkan tubuh dan bercakap dengan anak-anaknya di dalam perut si isteri. Gerakan kecil terasa sesekali daripada anak-anak yang sedang aktif.

"Iqra Haqqani... Izzul Haq... jaga ibu elok-elok ya. Tunggu ayah balik bawakan makanan yang ibu dengan anak-anak ayah nak makan. Jangan buli ibu tau. Ibu tak larat dah tu. Sayang ibu je, okey? Ayah sayang anak-anak ayah. Ayah tunggu anak-anak ayah keluar jumpa dan tunjuk muka pada ayah."

Tanpa sedar, air mata Raisha mengalir pada masa lelaki itu melangkah keluar dari bilik setelah mencium perutnya sekali lagi.

....

SETELAH hampir tiga minit melayan perasaan dengan pemergian suami, Raisha mengesat air mata di wajahnya sebelum dia liarkan pandangan ke sekeliling dan anak mata jatuh ke sebuah telefon bimbit yang terletak di meja solek.

Laju dia bangkit daripada baringan tatkala menyedari sang suami tertinggal telefon bimbit. Siapa tahu telefon bimbit itu diperlukan suaminya nanti.

Tidak teragak-agak, dia melangkah keluar dari bilik dan pintu utama rumah. Pergerakannya yang laju hendak mengejar suami yang siapa tahu masih di luar menyebabkan dia terlupa akan tangga rendah di bahagian luar rumah.

Buk!

"Argh!" Erangan kesakitan meluncur keluar spontan dari bibir saat dia jatuh terduduk akibat hilang imbangan. Telefon bimbit sang suami nasib tidak terburai walaupun jatuh agak kuat. Hanya tercampak jauh ke hadapan.

Perit sakit yang ditanggung tatkala punggungnya terhentak kuat pada permukaan batu itu. Menitis lagi air mata seorang Raisha Hanani. Lebih-lebih lagi apabila diri menyedari kereta sang suami sudah tidak terlihat lagi.

Teringatkan dua janin dalam kandungan, perut diusap berkali-kali. Cuba menenangkan anak-anak dalam perut yang mungkin terkejut di dalam sana.

"Syhh... it's okay, anak-anak ibu. Tak ada apa-apa. Anak-anak ibu kuat. Ibu pun kuat. Kita kuat ya." Dia cuba memujuk anak-anaknya dalam pada diri masih cuba menahan sakit yang ditanggung.

Celah kelangkangnya cuba diintai. Tidak terlihat darah yang mengalir. Tiada juga air ketuban yang pecah.

Alhamdulillah...

Harapnya tiada apa-apa yang terjadi kepada anak-anak, doa dipanjatkan di dalam hati.

Lebaran Aidilfitri Rayisha | E-BOOKWhere stories live. Discover now