LAR | 10

192 9 0
                                    

KEMBALI ke rumah sendiri, mereka menjalani rutin harian yang sama semula. Sang suami dengan kerja dan anak lelaki sulung mereka dengan sekolah. Raisha Hanani tinggal sendirian di rumah. Ini pun kejap lagi tengah hari, suaminya akan pulang makan tengah hari di rumah. Bimbangkan isteri kata si dia. Lagi pula, anak mereka akan diambil dan dihantar pulang ke rumah oleh lelaki itu.

Raisha yang sedang berdiri di hadapan dapur memasak tersenyum lebar tatkala melihat menu masakannya sudah hampir siap. Hanya tunggu matang sahaja.

Sementara menunggu masakannya itu, dia melabuhkan duduk di kerusi meja makan. Penuh berhati-hati setiap langkah dan tingkahnya. Sesekali wajahnya berkerut tatkala merasa begitu lelah seiring dengan sakit yang sekejap muncul dan hilang di bahagian kemaluannya.

Dalam hati, ada gusar yang bertandang. Bukan sekecil kuman perasaan itu, bahkan seberat lori yang jelas tidak mampu diangkat oleh manusia. Sudah beberapa hari dia perasan, pergerakan anak-anak dalam kandungannya kurang aktif. Hanya sesekali sahaja. Itu pun pergerakan yang sangat halus. Hampir tidak terasa.

Tetapi, mengenangkan dia mungkin terlalu bimbang dan kepenatan seperti kata suami, dia hanya membiarkan sahaja. Sekurang-kurangnya pergerakan itu masih terasa dari dalam sana. Untuk menyedapkan hati lagi, doa dan selawat kerap kali dilafazkan agar anak-anak dalam kandungan baik-baik sahaja.

Setelah jarum jam di dinding sudah berlalu lima minit sejak dia meninggalkan dapur, Raisha bangkit daripada duduk dengan susah-payahnya. Dia kembali mendekati periuk masakannya. Penutup periuk dibuka lalu bau harum yang keluar itu dihidu dalam. Dia tersenyum lagi. Pasti encik abang sayang bakal suka masakannya hari ini.

Mungkin kerana telepati yang kuat, Raisha mendengar suara garau dan cilik yang begitu dikenalinya memberi salam dari luar dapur. Senyuman yang tersungging tadi semakin merekah bersama kemanisan. Bahagia dengan kehadiran dua kesayangannya itu.

Segera dia menutup api dapur lalu langkah dibawa menghala ke ruang tamu pula. Rasa hati semakin berbunga dan tenang tatkala dua wajah itu sudah mampu ditatap. Tangan dihulur saat Izz Haider hendak bersalaman dengannya. Kucupan daripada bibir kecil itu terasa di belakang tapak tangan. 

"Izz naik mandi dan tukar baju dulu ya. Lepas tu, terus turun makan. Kita makan sama-sama." Sempat pesanan dititip buat anak itu tatkala Izz Haider laju melangkah ingin ke bilik.

"Okey, ibu!" Izz Haider melaung sebelum dia menghilang di sebalik pintu.

"Hai, sayang! Are you good?" Raykal bertanya khabar saat perhatian isteri mula tertumpu kepadanya. Tangan runcing yang terhulur ke arahnya itu disambut sebelum dia mencium dahi isterinya setelah si isteri mengucup belakang tapak tangannya.

Tidak ketinggalan, perut bulat itu juga menjadi habuan bibirnya.

"Sha okey, abang. Biasalah ada rasa sakit-sakit sekejap. Lepas tu, hilang." Raisha menjawab pertanyaan suami seraya mengukir senyum khas buat tatapan lelaki itu.

"Ermm..." Raykal menjatuhkan kepalanya sekali tanda maklum dengan informasi itu.

"Kalau dah sakit sangat dan sayang tak boleh tahan, bagitahu abang ya. Abang bawa sayang ke hospital terus," sambungnya. Memberi pesanan pula.

"Okey. Eh, abang nak makan? Sha hidangkan sekarang ya?" Lagak isteri mithali, Raisha menyoal sang suami.

"Boleh juga. Jom, abang tolong sayang. Sayang masak apa hari ni? Tak penat ke? Lepas ni, sayang terus rehat, okey. Takmo buat apa-apa lagi. Aktif sangat isteri abang ni, risau abang." Bertalu-talu ayat soalan dan ayat penyata yang diberikan Raykal kepada si isteri.

"Ish, abang ni... satu-satulah cakap. Sha pun pening nak hadam yang mana satu dulu. Tapi, untuk soalan pertama abang... Sha masak lemak cili api. Abang suka, kan? Sha tahu. Sha selalu nampak abang tambah bila Sha masak lemak cili api."

Lebaran Aidilfitri Rayisha | E-BOOKWhere stories live. Discover now