LAR | 02

145 12 0
                                    

PANDANGAN suami isteri itu bertaut tatkala mereka melihat betapa suramnya wajah si bujang yang sudah masuk di bahagian penumpang belakang.

"Izz... kenapa ni? Anak ibu monyok aje ni? Izz okey, tak?" Raisha bertindak memulakan perbualan. Tubuhnya dipaksa menyenget sedikit demi melihat wajah anak itu.

Raykal pula sambil mendengar, dia kembali mula memandu. Sekali-sekala, anak matanya melirik ke cermin pandang belakang.

"Ibu... ayah... Izz lapar. Izz nak makan. Kawan-kawan Izz semua tadi makan dekat kelas. Kenapa Izz tak boleh makan? Izz tak nak puasa. Nanti Izz mati, macam mana?"

Raisha terlepas ketawa mendengar luahan anak bujangnya, manakala Raykal tahan senyum di pinggir bibir. 

"Kenapa ibu ketawa? Izz cakap betul. Orang tak makan, boleh mati... kan ayah, kan?"

Hilang senyuman Raykal tadi, diganti memek wajah yang tergambar serius. Dia berdeham halus sebelum bersuara bagi menjawab pertanyaan anaknya.

"Yalah, ibu ni... ketawakan anak ayah pula. Kesian anak ayah, kan? Tak dapat makan. Orang tak makan, matilah nanti." Sambil memandu, Raykal melayan si anak.

Raisha jegilkan matanya ke arah suami. Menampar manja lengan lelaki itu. Pandai pula dia nak kenakan kita...

"Ibu tak sayang Izz erk? Tu yang ibu tak nak bagi Izz makan, kan?" Izz Haider masih tidak habis dengan muncungnya. Dia berpeluk tubuh demi menunjukkan dia benar-benar merajuk.

"Eish, ada pula cakap gitu? Izz anak ibu, kan... mestilah ibu sayang anak ibu. Ibu pun tak nak anak ibu mati dulu sebelum ibu. Nanti ibu sedih..."

"Macam tu, ibu bagilah Izz makan. Izz nak makan banyak-banyak. Izz nak besar cepat-cepat. Nanti Izz boleh jaga ayah dengan ibu. Izz bagi ibu dengan ayah makan banyak-banyak... hari-hari. Tak adalah kita kena puasa. Puasa penat!"

Raisha dan Raykal berpandangan sesama mereka lagi. Masing-masing berbalas senyum.

"Izz Haider, dengar cakap ayah ni ya. Ingat sampai bila-bila..." Raykal pula bersuara sambil melirik pandang ke arah wajah polos itu sesekali.

"Puasa ni wajib untuk kita orang Islam. Izz orang Islam. Ayah orang Islam. Ibu pun orang Islam. Orang Islam percayakan Allah. Allah, tuhan kita. Izz selalu ikut ayah solat, kan? Haaa... solat tu sebagai tanda hubungan kita dengan Allah. Izz tengah bercakap dengan Allah masa solat tu."

Izz Haider tekun mendengar bicara ayahnya. Kerutan dan muncung yang tadinya terpamer pada wajah perlahan-lahan memudar.

Dia kenal Allah. Ayah pernah bercerita tentang Allah kepadanya. Allah yang menciptakan dia, ayah dan ibu. Allah cipta dunia dan seisinya. Allah juga yang beri segalanya kepada manusia. Air, udara, tanah, matahari, bulan, siang, malam dan banyak lagi.

"Allah perintahkan orang Islam berpuasa untuk mendidik hati dan jiwa kita. Izz puasa, bukan setakat untuk menahan lapar dan dahaga. Puasa ni lebih lagi daripada tu. Izz kena banyak bersabar. Tak boleh marah-marah. Tak boleh merungut. Tak boleh buat perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa."

"Apa perkara yang boleh membatalkan puasa, ayah?" Mulut riuh Izz Haider sudah mula bertanya kepada ayahnya.

"Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan kita, macam korek telinga dengan benda halus sampai ke dalam... muntah dengan sengaja pun boleh batal puasa tau." Sabar Raykal menerangkan satu demi satu kepada si anak.

"Ohh..." Terangguk-anguk kepala Izz Haider mendengar jawapan ayahnya.

"Tapi, kenapa ibu boleh makan? Ibu tak puasa ya?" Izz Haider masih tidak puas bertanya.

Raisha tersengih saat dipandang suami tatkala si anak mengajukan persoalan itu.

"Ibu istimewa. Orang perempuan ada masa yang Allah bagi kelonggaran untuk tak berpuasa. Ibu kan bawa adik babies dalam perut ni. Kalau adik-adik Izz lapar macam mana? Kesian adik-adik baby... kesian ibu. Sebab tu ibu tak puasa untuk jaga adik-adik Izz dan kesihatan ibu."

"Puasa ni juga, Izz... untuk kita merasa kesusahan yang ditanggung saudara-mara kita yang ditindas... yang tak dapat makan, minum macam kita."

"Saudara-mara? Tapi... Izz selalu tengok keluarga pak long dapat makan. Aisy suka beli jajan." Pelipis Izz Haider berkerut tidak mengerti.

"Bukan keluarga pak long je, sayang... Saudara-mara kita tu maksudnya semua orang Islam. Izz kenal Nabi Muhammad SAW, kan? Ayah dah ajar pasal Nabi Muhammad hari tu..."

"Kenal!" Izz Haider mengangguk yakin.

"Siapa Nabi Muhammad SAW?" Sengaja Raykal ingin menguji ingatan anak lelakinya.

"Kekasih Allah. Nabi Muhammad, rasul terakhir yang Allah turunkan untuk bagi cahaya dekat semua orang! Nabi Muhammad hebat! Ajar kita macam-macam pasal hidup..."

"Bagus! Pandai anak ayah!"

Izz Haider tersengih-sengih suka apabila dipuji si ayah.

"Semua umat Nabi Muhammad adalah saudara-mara kita... saudara-mara Izz. Izz kena buat baik dengan mereka. Untuk Izz faham perasaan saudara-mara Izz, Allah suruh Izz puasa supaya Izz tahu macam mana kesusahan mereka yang tak dapat makan dan minum. Bila Izz faham perasaan mereka semua, mesti Izz akan buat baik dengan mereka. Allah sayang orang yang menjaga hubungan sesama manusia tau. Lagipun, kalau Izz nak jadi hebat macam Nabi Muhammad SAW... Izz kenalah puasa. Nabi Muhammad puasa penuh tau!"

"Ohh... sebab tu, Izz kena puasa. Izz ingatkan ibu dengan ayah sengaja tak nak bagi Izz makan. Ibu... Izz minta maaf sebab Izz cakap ibu tak sayang, Izz. Izz janji tak cakap macam tu lagi!" Izz Haider mengangkat tangannya tanda ikrar.

Raisha tersenyum dan mengangguk.

"Ya, ibu maafkan. Bagus anak ibu. Boleh dengar dan faham cakap ayah," pujinya.

"Tapi, untuk anak seusia Izz... Allah tak wajibkan lagi untuk Izz berpuasa penuh. Izz cuma belajar je dulu. Nanti Izz dah besar sikit, baru Izz puasa penuh. Ni... ayah nak belikan burger untuk ibu. Izz nak juga ke?" Raykal bersuara lagi semasa mereka sudah tiba di bahagian pandu lalu restoran francais ternama yang disebutkan isteri sedari tadi.

Laju Izz Haider menggeleng.

"Izz nak puasa. Izz nak buat baik dengan saudara-mara Izz. Kalau Izz baik... mesti ramai sayang, kan? Ayah pernah cakap, bila Allah sayang... kita dapat masuk Syurga. Izz nak masuk Syurga. Izz nak jumpa bidadari cantik macam ibu! Izz nak jadi lelaki yang hebat! Izz nak jaga ibu dengan ayah. Izz nak jadi macam Nabi Muhammad!"

Pasangan itu ketawa bersama. Terhibur dengan gelagat si anak yang baru sahaja hendak membesar. Dalam hati, terselit perasaan bangga dengan kata-kata Izz Haider yang dirasakan begitu matang.

Semoga anak bujang mereka benar-benar membesar menjadi lelaki hebat yang disayangi Allah dan Nabi-Nya.

Lebaran Aidilfitri Rayisha | E-BOOKWhere stories live. Discover now