LAR | 09

112 8 0
                                    

IMAN Raykal melangkah ke arah katil. Dapat dia melihat susuk tubuh isterinya yang sedang lena. Tersenyum halus dia di hujung bibir tatkala melihat wajah tenang si isteri. Hilang resahnya meninggalkan wanita itu sedikit lama.

Sudahlah telefon bimbitnya lupa dibawa bersama. Nasib sahaja tidak terjadi apa-apa kepada isteri dan anak-anak dalam kandungan.

Tidak perlu izin, dia melabuhkan duduk di birai katil. Tubuh menghadap isteri yang tidak berkutik daripada lena. Jemari kasarnya naik mengelus lembut wajah bersih itu. Rambut yang berselerakan dan menganggunya menatap wajah wanita itu diselitkan ke celah telinga si empunya tubuh.

Redup pandangan yang menikam wajah tenang itu. Seredup cintanya buat si dia yang bergelar isteri. Ibu kepada anak-anaknya itu amat dicintai sepenuh jiwa dan raga. Biarpun badai pernah datang melanda, namun dia pasti itu hanya ujian untuk mengutuhkan lagi ikatan antara mereka. Supaya dia tahu menghargai dan mensyukuri nikmat dikurniakan bidadari terindah dalam hidupnya.

Beberapa minit menatap wajah yang dicintai, Iman Raykal bersuara akhirnya bagi mengejutkan wanita itu. Jari-jemarinya masih tidak lepas mengelus pipi cerah pucat itu.

"Abang..."

Berbunga rasa hati tatkala panggilan manja itu meniti di bibir si dia bersama satu senyuman manis. Tangan halus itu mencapai tangannya yang bertingkah nakal lalu digenggam erat. Lengannya dibawa mendekat ke tubuh itu untuk dipeluk. Memang dengan dia-dia sekali jatuh di samping si isteri dan dipeluk wanita itu.

"Abang dah balik? Sha rindu..." ungkap Raisha manja seraya mengeratkan lagi pelukan.

Raykal menggeleng perlahan sebelum tersenyum lagi. "Haish... manjanya isteri abang ni. Tadi mimpi apa ni?" usiknya.

Raisha tersengih dengan mata yang masih sukar dibuka. "Mimpi encik abang Sha ni jadi putera raja dan Sha snow white yang tertidur."

"Serius?" Raykal seolah-olah tidak percaya dengan cerita isterinya.

"Seriuslah... ermm... lepas tu putera raja tu kena cium snow white untuk kejutkan snow white. Sebab snow white hanya boleh dikejutkan dengan satu ciuman cinta sejati..." Raisha bercerita lagi bersama mata yang terpejam. Lengan si dia masih dirangkul erat. Nafas disedut dalam mengambil bau tubuh suami. Dia tersenyum sendiri. Suka dengan apa yang dirasai dan dinikmati.

"Ohh... key..." Raykal tersengih canggung. Wajah si isteri yang menyorok di lengannya cuba diintai.

"Tapi, Sha tak dapat true love kiss tu! Abang tak romantik! Bukan nak kejut Sha dengan cara macam tu! Semua nak kena tunggu Sha minta, baru bagi. Itu pun kena merajuk dulu, baru dapat! Huh!" Raisha mengangkat wajah ke arah suami. Membuka mata dan merenung tajam wajah maskulin itu. Bibir terjuih-juih hendak meluahkan perasaan tidak puas hatinya.

Raykal ketawa besar mendengar rungutan isterinya. Bukan main wanita itu mengenakannya.

"Abang bukan tak nak buatlah, sayang. Abang tak buat macam tu sebab... yalah... mana ada snow white perut bulat macam ni..." Perut bulat isterinya dicucuk halus bersama senyuman nakal yang tersungging di bibir.

"Ish, abang!" Raisha menjerit geram. Lengan kekar itu ditampar-tampar manja. Sempat pula lelaki itu hendak menyakatnya! Berani erk kacau emosi ibu mengandung yang terlebih sensitif ni?

Raykal menahan tangan isterinya yang masih memukul sambil ketawa galak. Sudah lama rasanya dia tidak menyakat wanita itu. Sejak mengandung, sensitif amat. Ni, kalau merajuk nanti... habislah dia!

"Dah, dah... sayang. Abang gurau aje. Takmo marah-marah erk? Perut bulat ni yang abang sayang. Yang abang duk peluk, usap tiap-tiap malam. Jangan risau, perut bulat pun... isteri abang masih seksi di mata abang, key?" Ayat memujuknya dikeluarkan pula. Bimbang melarat pula muncung isterinya nanti.

Lebaran Aidilfitri Rayisha | E-BOOKWhere stories live. Discover now