Teaser 10

464 18 0
                                    


#diamasihdisini
#pbakl2023

“Sejak bila dia ganggu Reen?”

Qaireen tunduk menekur jari sendiri. Kedua tapak tangannya saling bertaut.

“Jawab.”

“Err... sejak dia tahu status Reen.”

Dia tak berbohong. Ketika dia bekerja dia sana, Najwan tidak pernah mengganggunya. Sehinggalah status dia sebagai janda tersebar, ramai pekerja lelaki yang mula mendekatinya. Paling ketara Najwan. Lelaki itu semakin berani setelah bercerai beberapa bulan yang lepas.

“Kenapa tak pernah beritahu abang?”

“Ha?” Bingung Qaireen.

“Perkara ni serius. Nasib baik abang singgah ke sana. Kalau tak, sampai ke sudah Reen rahsiakan dari abang.”

Qaireen hanya menunduk. Tak pernah terfikir untuk dia mengadu kepada lelaki itu. Bagi Qaireen, selagi dia mampu selesaikan sendiri, dia takkan menyusahkan sesiapa terutamanya Elman.

“Atau memang Reen tak nak abang tahu apa yang berlaku dekat sana?”

Bergenang tubir mata Qaireen. Dadanya terasa sempit menahan sebak.

“Reen cuma tunaikan permintaan abang.”

Kereta berhenti di hadapan lampu isyarat merah. Spontan Elman menoleh ke sebelah.

“Abang pernah cakap lepas kita berpisah, urusan kita hanya berkaitan anak. Tentang apa yang berlaku terhadap Reen, abang tak nak ambil tahu.”

Kelu lidah Elman.

“Banyak perkara Reen nak mengadu kepada abang. Tapi Reen takut abang tak nak dengar. Sebab tu Reen pilih untuk berdiam diri.”

Air mata yang menitis di pipi diseka laju. Dia sudah cuba tidak menangis di hadapan Elman tapi mudah betul air matanya mengalir ke pipi.

Elman masih merenung wajah bekas isterinya. Qaireen masih menunduk sambil meramas jari sendiri. Sampai merah kulit tangan itu gara-gara terlalu tertekan.

Mahu saja dia menarik tangan Qaireen tetapi status ikatan mereka membataskan untuk mereka bersentuhan. Lampu isyarat bertukar hijau. Dia kembali memberi tumpuan di jalan raya.

“Abang tak nak Reen kerja sana.”

Qaireen mengangguk faham. Mustahil untuk dia kembali ke sana setelah apa yang berlaku tadi.

“Reen akan ikut cakap abang. Kalau abang tak suka Reen kerja sana, nanti Reen cari kerja lain. Tapi abang jangan ambil Emir. Reen tak boleh hidup tanpa Emir.”

Terpejam rapat kedua mata Elman. Tak suka betul dia mendengar suara sayu itu. Kuat dia menggenggam stereng kereta. Dia bukannya kejam untuk merampas Emir.

“Jangan menangis.”

Laju Qaireen menyeka kedua pipinya.

“Abang takkan rampas Emir dari Reen. Reen tak perlu takut.”

Qaireen menarik nafas lega. Tak dapat dia bayangkan jika betul Elman mengambil Emir dari hidupnya.

🥲

Dia Masih Di Sini...Where stories live. Discover now