Bab 18 : Kekacauan

77 3 2
                                    


SITI meronta-meronta. Tangan yang memegangnya terlalu kuat untuk dilawan. Siti kemudiannya menggigit tangan itu. Serta-merta si empunya tangan menariknya. Siti kembali tenang dan segera meneliti siapakah yang menceroboh biliknya.

Namun orang itu membelakangi dirinya. Seorang lelaki.

"Siapa kau?!"

Orang itu lantas berlari keluar dan menutup pintu. Siti pantas bangkit dan mengejar. Sampai sahaja ke pintu, Siti terus merentap daun pintu dan membukanya. Dia melihat ke kiri dan ke kanan.

Tidak ada siapa!

Tiba-tiba naik meremang bulu roma Siti. Cepat-cepat Siti merapatkan daun pintu.

Siti berjalan longlai ke arah katil yang tidak teratur keadaannya. Dia menghempaskan tubuhnya ke atas katil. Nafasnya termengah-mengah. Kemudian matanya mula berkaca-kaca.

Keadaan itu persis jarinya tersayat pisau ketika membantu ibunya di dapur dahulu. Juga seperti jarinya tersepit jendela di dalam bilik asrama sekolahnya. Mula-mula terkena itu, seolah-olah tidak merasa sakit sedikit pun, hanya terasa kebas-kebas sahaja. Walaupun darah sudah mengalir - seperti jarinya tersayat itu. Namun sepertinya tidak merasa apa-apa. Namun kemudiannya, lama-kelamaan terasa sakit itu datang perlahan-lahan, hadir bersama rasa panik, sedih dan berdebar-debar.

Begitulah... kejadian itu persis seperti itu. Ketika Siti menerjah ke pintu tadi, dia merasa seperti ingin tahu bercampur berani. Namun setelah orang yang menjadi dalang itu tiba-tiba menghilang dan tidak sempat diketahui siapa, Siti tiba-tiba merasa hilang arah - merasa seperti diperdaya atau dipermainkan.

Terasa seperti ditinggalkan...

Wajah Siti berkerut-kerut. Dia tidak pernah diperlakukan begitu kasar oleh seorang lelaki. Diperlakukan dengan begitu aib. Seperti berkeras mahu menceroboh ruang mulia dirinya. Ruang yang cuba dipertahankan sejak sekian lama.

Dari mata yang berkaca-kaca, Siti mula menangis. Kemudian tubuhnya bergerak mencari sudut ruang. Tubuhnya bergerak seperti ulat bulu ke arah sudut katil. Kemudian apabila mencapai batas di kepala katil, tubuhnya berhenti bergerak mengesot-ngesot itu. 

Kemudian tubuhnya mengerekot - seperti udang. Kedua tangannya ditekupkan ke kepala. Siti semakin kuat menangis. Sekali-sekala kedengaran hidungnya menghembus hingus yang cair dan tidak berwarna. Kedua matanya sudah sembab digenangi air mata.

Tiba-tiba...

"Aaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa!"

"Aaaaaaaaaaarrrrrrrrrrrrrgggggggggghhhhhhhhhh!"

"Aaaaaaaaaaaaaaaaaarrrrrrrrrrrrggggggggggggghhhhhhhh!"

Suara jeritan perempuan memecah keheningan malam.

Daun pintu bilik Siti segera diterjah oleh beberapa orang. Semuanya mengelilingi Siti yang masih tersengguk-sengguk menangis.


--------||||-----|||------------------------------------------------------------|||-----||||---------


Siti berkeras mahu mengadukan kejadian itu kepada ayah dan ibunya. Dia yakin benar bahawa orang yang datang menceroboh biliknya malam itu adalah pakciknya sendiri!

Manakan tidak, siapa lagi jikalau bukan Pak Lang. Suaranya jelas suara Pak Lang!

Keesokkan harinya, ayah dan ibu Siti datang. Terjadi sedikit kekocohan dan hampir menjadi pergaduhan antara ayah Siti dan Pak Lang yang bermula dari pertanyaan-pertanyaan dari keluarga Siti kepada keluarga Pak Lang yang kemudiannya berlarutan menjadi tuduh-menuduh.

Sampaikan ada yang menuduh Pak Lang gila seks! Mahu memperkosa anak saudaranya sendiri!

Akhirnya pihak polis sampai dan membawa Pak Lang pergi. Sebelum masuk ke dalam kereta polis, Pak Lang memandang ke arah Siti dengan renungan sayu.

Siti tidak tahu bagaimana mahu membalas renungan bapa saudaranya itu. Perasaan marah, sedih, terkejut, bersalah dan terpinga-pinga dengan apa yang berlaku. Dia tidak menyangka ayahnya pergi sejauh itu - melaporkan kejadian itu ke pihak berkuasa.

Mak Lang terduduk lemah. Saudara-mara termasuk ibu Siti dan jiran-jiran membantu menenangkan Mak Lang. Mak Lang menangis, dia tidak percaya suaminya melakukan hal keji seperti itu. Dia yakin ini semua salah faham. Mak Lang merayu-rayu kepada Siti. Siti hanya duduk di satu sudut tidak berkutik. Siti merasa sangat keliru dengan apa yang berlaku. Sementara ayahnya masih merungut-rungut di laman rumah sambil ditenangkan beberapa lagi saudara-mara dan diperhatikan oleh jiran-jiran terdekat yang mula datang untuk ambil tahu dek kerana kehadiran kereta polis yang agak menggemparkan itu.

Akhirnya Siti tidak dapat menahan dirinya dengan apa yang berlaku. Dia meluru ke arah Mak Lang dan memeluknya.

"Mak Lang...maafkan Siti, Mak Lang...maafkan Siti, Mak Lang..."

Mak Lang tidak marah kepada Siti. Dia tetap yakin ada sesuatu di sebalik kejadian malam tadi. Tangannya mengusap-ngusap kepala anak saudaranya itu. 

Cuma apa yang menyedihkan hatinya, sang suami tersayang dibawa pergi oleh polis itulah benar-benar meruntun hatinya. Seolah-olah suaminya seorang penjenayah. Biarpun tidak digari, namun diiringi masuk ke kereta polis itu sudah cukup melemahkan semangatnya.

Walaupun ayah Siti membuat keputusan untuk balik ke Kuala Lumpur bersama-sama Siti hari itu juga namun ibu Siti memujuknya supaya bermalam di rumah Pak Lang bagi menyelesaikan kekusutan itu segera. Jika mereka segera pulang ke kota, keadaan huru-hara seperti itu tergantung - hanya mentunaskan rasa dendam dan buruk sangka di antara satu sama lain.

Berkat pujukan seorang isteri tercinta dengan dibantu yang lainnya, akhirnya ayah Siti mengalah. 

Mereka mesti menyelesaikan kekusutan itu segera. Mak Lang pasti ada gangguan yang mengacau keharmonian kaum kerabatnya. Gangguan yang mengacau anak saudaranya malam tadi. 

Gangguan yang bukan datangnya dari manusia...





You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Apr 22, 2022 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Vampire of Grahi IIWhere stories live. Discover now