Bab 6: Gadis Pujaan

369 8 0
                                    


Suasana sangat hening dan sunyi. Sufian masih terpejam matanya dalam keadaan seolah-olah terawang-awang. Minda bawah sedarnya ligat memutarkan kenangan demi kenangan. Namun anggota tubuh Sufian kekal tidak bergerak dan jiwanya hanyut dalam alam yang tidak pasti.

Dari sekian banyak memori yang terpancar itu, terbitlah wajah seorang gadis cantik bertubuh tinggi lampai sedang tersenyum ke arah Sufian. Rambutnya hitam pekat dan beralun-alun. Pandangan matanya redup tapi menggoda. Pipinya ada lesung pipit yang mampu menyihir setiap lelaki. Bibirnya ranum dan bila ia terbuka, menampakkan sebarisan giginya yang tersusun cantik putih bersinar-sinar.

"Apa Pian buat kat sini?"

Sufian terpinga-pinga apabila mendengar pertanyaan gadis cantik itu. "Pian nak datang ke majlis harijadi Iti lah ni," ujar Sufian perlahan.

Siti memandang Sufian dari atas ke bawah, dari bawah ke atas. Mulutnya semacam dimuncung-muncungkan seolah-olah mahu menahan ketawa. Kemudian sebelah tangannya menekup mulutnya.

...dan gadis pujaannya itu ketawa.

"Pian...pian... kenapa pakai selipar crocs je. Lawak la Pian ni. Malulah Iti dengan kawan-kawan Iti," kata Siti menghabiskan sisa ketawa.

"Tak boleh ke pakai selipar ni?" tanya Pian.

Siti menoleh ke belakang, kemudian memandang Pian. "Semua orang pakai kasut. Lelaki semua pakai sut. Pian tengoklah mereka semua ni," beritahu Siti sambil tersengih-sengih.

Sufian semakin keliru. Bukankah Siti yang menghantar pesanan di telefon pintar supaya semua yang hadir pakai santai-santai sahaja seperti memakai selipar dan t-shirt?

"Tapi Siti kan yang minta semua orang pakai santai?" tanya Pian tidak berpuashati.

Tiba-tiba seorang pemuda tampan muncul di sebelah Siti. "Kenapa Siti? Majlis nak mula ni? Siapa mamat ni?Kenapa pakai macam ni?" pemuda itu memandang Sufian dengan sinis.

"Orang kampung aku, dia tengah culture shock, aku taknak layan tapi dia nak masuk jugak," balas Siti selamba. Pemuda itu mengerutkan dahinya seakan mengejek Sufian. "Sudahlah Siti, mari masuk, kawan-kawan tunggu awak. Bro... pakai macam ni tak boleh masuk, sorry ya. Balik rumah dulu tukar baju, pakai kasut."

Pemuda itu menarik tangan Siti. Gadis pujaan Sufian menghilang bersama pemuda tampan.

Betapa sedihnya Sufian. Dia baru sampai dari kampung naik bas ekspres. Sesat-sesat dia di Kuala Lumpur cari hotel mewah tu. Hampir seratus ringgit habis macam tu saja bagi pada pemandu grabcar.

Akhirnya ini layanan Siti padanya. Memang hajatnya nak singgah ke rumah bapa Siti yakni bapa saudaranya selepas menghadiri majlis harijadi sepupunya itu tetapi Sufian terus pulang ke kampung malam itu juga. Pedih hatinya dibuat begitu.

Di dalam bas, Sufian tidak habis-habis memikirkan mengapa Siti bersikap begitu kejam padanya sejak Siti masuk sekolah asrama terkemuka dan mulai dari saat itu dia dan Siti terpisah. Memang kalau ikut logik, Siti telah bertemu kawan baru, suasana baru. Suasana yang benar-benar layak baginya sebagai gadis anak orang kaya. Kawan-kawan barunya itu semua anak orang kaya macam Siti.

Dalam perjalanan pulang itu, Sufian menangis teresak-esak di dalam bas.

Siti adalah seorang gadis yang sempurna. Dia cantik, dia bijak. Sufian akui itu. Untuk itu, dia berharap untuk menjadi cintanya.

"Pian...tak panas ke kerja sini?"

Sufian menoleh. Seorang gadis tinggi lampai berambut panjang ikal berkilat-kilat sedang berdiri. Memakai kasut tumit tinggi, yang dipadankan dengan off shoulder maxi dress. Oh...dia memang gadis yang menggoda.

"Iti dari mana?" Pian meletakkan sepanduk iklan pizza ke jalan. Hari itu Sufian diminta oleh supervisornya bertugas sebagai maskot bagi membuat promosi di tepi jalanraya berhadapan dengan restoran.

Siti hanya memandang Sufian atas bawah tanpa menyahut pertanyaan Sufian. Sambil tersengih, Siti hanya berlalu pergi.

Alam yang memenjarakan Sufian hanya wujud di fikiran Sufian. Dia masih merasakan terawang-awang dalam keadaan bersila begitu. Namun minda bawah sedarnya masih aktif. Sufian ibarat berada dalam keadaan koma.

Siti sebelum sakit memang seorang gadis yang happy-go-lucky dan 'hipster'. Dia suka shopping dan berfesyen.  Tipikal gadis bandar dalam drama petang-petang tu. Itulah Siti. Gadis 'hot' di kolej. Hidupnya mengalahkan selebriti. Dengan kurniaan rupa paras yang menarik, bila Siti buat channel vlog-nya, tidak hairanlah dapat berjuta like. Ya, dia memang seorang selebriti.

Tiba-tiba minda bawah sedar Sufian teringat saat-saat sepupunya terjatuh ketika memanjat bukit di kampung. Masa riang ria kanak-kanak di sekolah rendah. Ketika itu Siti memakai gaun hijau lembut. Siti berguling-guling ke bawah selepas tergelincir. Sufian bergegas turun ke bawah dan memegang kedua bahu Siti. Siti hanya menangis kesakitan.

"Siti...jangan nangis,nanti Pian sapu ubat...,"suara Sufian bergetar. Sufian memang takut kalau Siti menangis. Takut dimarahi ibunya, kalau tak pun ibu Siti akan berleter macam-macam.

Siti menangis teresak-esak."Nak balik...nak balik..."

Sufian mengambil daun-daun kayu dan meramas-ramasnya. Kemudian dia mencampurkan dengan air liurnya. Dia menyapu ramasan daun tadi ke betis Siti yang tercalar luka. Siti melihat saja apa yang dilakukan oleh Sufian. Ketika Sufian menyentuh bahagian yang luka,mulut Siti terbuka sedikit menahan kesakitan.

"Sakitla!"Siti menjerit. "Sikit je Siti,ni ubat tau,"kata Sufian.

Sufian menyapu 'ubat' itu dengan lembut. Siti hanya memandang Sufian yang tunduk melaksanakan kerjanya. Tanpa disedari Sufian, sepupu perempuannya itu memandang dengan asyik gerak geri Sufian.

Tiba-tiba, Siti memeluk leher Sufian. Sufian terkial-kial mahu menyeimbangkan tubuhnya dek kerana Siti merangkul kuat lehernya. "Jangan Siti!Jangan!Pian nak jatuh ni!"

Siti tersenyum nakal dengan tidak memperdulikan rayuan Sufian. Akibatnya dia semakin memberat ke belakang. Siti akhirnya melepaskan lehernya. Sufian terlentang ke tanah.

"Hahahaha!!!"Siti memekup mulutnya melihat keadaan Sufian yang terkial-kial mahu bangun.

Sufian masih ingat kejadian itu. Masih ingat. Bagaimana pelukan Siti bagaikan satu perasaan yang aneh. Perasaan aneh itu makin kuat apabila dia semakin dewasa dan memutarkan kenangan itu setiap kali. Perasaan aneh yang menjalar seluruh tubuhnya.

Siti adalah seorang gadis yang sempurna. Dia cantik, dia bijak. Sufian akui itu. Demi itu, dia berharap untuk menjadi cintanya.





Vampire of Grahi IIWhere stories live. Discover now