Bab 5: Bangsasurah Sri Dharmaraja

436 8 0
                                    


Sufian duduk bersila dalam keadaan tenang. Kedua tangannya terletak di kedua lutut dengan kemas. Matanya terpejam rapat. Suasana di sekelilingnya amat gelap, tidak nampak apa-apa.

"Kekanda Adi..."

Mata Sufian masih terpejam rapat.

"Kekanda Adi..."

Perlahan-lahan kelopak mata Sufian terbuka sedikit. Dia memandang sekeliling. Riak mukanya seperti tidak selesa dengan suasana aneh itu. Gelap pekat. Sufian cuba menggerakkan kedua tangannya. Sungguh ganjil sekali, kedua telapak tangannya bagaikan terpatri pada kedua lututnya. Kini Sufian tahu seluruh badannya tidak dapat digerakkan.

"Kau sudah sedar? Baguslah..."

Mata Sufian melilau ke sana ke sini. Dia masih bingung dengan apa yang berlaku. Ingatannya masih tidak boleh mencari sebab musabab dirinya boleh berada di tempat gelap itu dengan badannya kaku tidak boleh digerakkan. "Siapa tu?"

Sufian bertanya di dalam gelap.

Tiba-tiba api jamung menyala di kiri dan kanan Sufian. Ada empat semuanya. Cahaya dari api menyinari ruang di sekeliling Sufian namun Sufian masih tidak boleh melihat apa-apa dinding atau objek lain. Dia tidak dapat memastikan sama ada dia berada di dalam satu bilik atau di lapangan luas. Kemudian dia memandang dirinya. rupa-rupanya dia bersila dalam keadaan seperti terapung-apung tidak jejak ke bumi. Dia terapung separas orang berdiri.

Ada bunyi derap kaki menuju ke arah Sufian yang sedang duduk bersila. Muncul secara tiba-tiba dari kegelapan dan seperti disimbah cahaya dari jamung, seorang wanita muda yang memakai kebaya hitam.

"Aku Seri, datang dari Grahi."

Sufian seperti diserang ketakutan. Badannya bergerak-gerak dengan hebat. Nampak benar Sufian begitu tertekan dengan situasi itu. "Apa yang kau mahu ha?!" Sufian membentak keras.

"Tidak habis-habis kau menyusahkan aku! Kau nak apa syaitan?"

Seri tersenyum. "Kekanda Adi...janganlah marah-marah begini. Bukankah kita kini berdua sahaja di sini? Tiada siapa yang dapat memisahkan kita lagi."

"Aku bukan Adi! Aku Sufian!" habis sahaja Sufian membentak begitu, mulutnya mula terkumat-kamit membaca ayat Kursi. Aneh, Seri dengan selamba mengajuk Sufian membaca ayat Kursi itu satu persatu dengan jelas dan kemas bacaannya. Sufian semakin panik dengan kejadian itu. Bacaannya semakin bergetar, dan akhirnya tunggang langgang, malah lebih aneh, Seri membetulkan pula bacaan Sufian!

Sufian tidak dapat menghabiskan bacaan ayat Kursi. Dia mula terketar-ketar antara panik, marah dan ketakutan. Seri tersenyum sahaja melihat keadaan Sufian. "Kau membaca sahaja di bibir, tapi hatimu ke lain, bukankah begitu? Kau ingin meminta pertolongan Tuhan, tapi kau masih takut kepada aku," Seri tiba-tiba ketawa.

Sufian hanya mampu memandang Seri dengan perasaan geram. Dia menjadi amat penat dengan kepayahan menggerakkan anggota badannya dan keyakinan dirinya yang runtuh dihenyak karisma Seri yang begitu mendera emosinya.

Seri berjalan mengelilingi Sufian sambil berpeluk tubuh. "Kau tahu... keadaan ini mengingatkan aku kepada Ku Berderai. Ketika itu dia masih memegang pangkat paling bawah dalam tiga tempat teratas kerajaan Legur," Seri memandang wajah Sufian dengan senyuman kecil yang dibuat-buat.

"Bangsasurah, itu gelaran yang dipegang ketika mula-mula dia memuja aku untuk mendapatkan pertolongan. Dia lelaki yang kurang sabar dan amat gelojoh.  Pangkat di atasnya, Chandrabhanu...dipegang oleh saudaranya juga. Bukan orang lain. Tapi dia bernafsu benar ingin memintas terus menjadi Sri Dharmasokaraja, pemerintah Legur dan seluruh tanah jajahannya, " jari jemari Seri membelai bahu Sufian.

"Untuk apa kau cerita benda yang membosankan ini wahai syaitan!" bentak Sufian.

Seri ketawa terbahak-bahak. "Sebab kau macam Ku Berderai yang bodoh itu!"

"Kau ada seribu senjata pun sia-sia sahaja kerana sifat kurang sabar dan gelojoh itu. Kesabaran itu akan mencerahkan akalmu. Akan membuatkan kau tenang dan menumpukan kerjamu sehingga berhasil," Seri tersenyum ke arah Sufian.

Sufian tertunduk membisu. Lama dia begitu. "Apa yang terjadi kepada... Ku Badai?"

"Ku Berderai," Seri membetulkan. "Dia gagal mengikut nasihatku dan akhirnya tersingkir dari perebutan kuasa malah hampir terbunuh," ujar Seri sambil berpeluk tubuh. Matanya merenung ke bawah.

"Nasihat? Kau syaitan jahanam boleh beri nasihat?" tempelak Sufian. Seri tersengih sambil menggeleng-gelengkan kepala. Dia merapat ke arah Sufian, memandang bola mata Sufian setepatnya.

"Jika kau membaca ayat-ayat tadi dengan penuh keyakinan kepada Tuhanmu dan dapat menghabiskannya, sudah tentu aku akan mati terbakar tadi. Pokoknya, kau seorang yang kurang sabar dan gelojoh, mengerti?"

Sufian seperti mahu membuka mulut, tetapi Seri dengan pantas mengacukan tangannya ke arah Sufian. Tidak semena-mena mulut Sufian seperti melekat bagaikan digam. Seri kemudiannya menepuk bahu Sufian dan pemuda itu terus terkulai bagaikan diserang kantuk yang berat.

Kemudian Seri berjalan membelah kegelapan, sebaik sahaja keempat-empat jamung tadi padam tiba-tiba. Dia berjalan dan berjalan kemudian lama kelamaan terbang menderas ke satu arah. Namun tubuh Seri kelihatan bergoyang-goyang hebat, melilau tidak tentu arah. Akhirnya dia terjatuh di atas sebuah jirat batu agam yang diselaputi lumut dan belukar. Di sebelah tepinya tertulis:

Beneath this stone lie the remains of Francis Light ESQ who first established this island as an British settlement. Died October 21st 1794

Rupa-rupanya kawasan itu adalah sebuah kawasan perkuburan lama sejak zaman kolonial British.

Seri tersedak. Mulutnya dipenuhi darah. Dia terbatuk dengan kuat. Darah merah keluar berhamburan di atas jirat batu. Nafasnya termengah-mengah. Darah merah membasahi jirat batu dan mengalir turun hingga menutupi tulisan tadi.

"Sial! Aku hampir-hampir terbunuh tadi. Jika tidak aku berlagak tenang tadi, sudah tentu aku tidak dapat membuang darah kotorku di atas lubang neraka si penjajah ini," ujar Seri termengah-mengah namun sempat tersengih.






Vampire of Grahi IIWhere stories live. Discover now