Bab 3: Dinihari Di Preah Vihear

400 5 0
                                    


Mulut Seri terkumat-kamit membaca mantera. Matanya terpejam rapat. Kedua telapak tangannya ditangkupkan ke dada. Selendang yang melilit dadanya bergerak-gerak ditiup angin. Begitu juga kebaya hitamnya nampak bergerak-gerak sedikit diterpa angin dinihari yang dingin.

Walaupun begitu dia tetap bersimpuh tenang di hadapan gerbang istana Raja Mangku Suria. Istana agam yang diperbuat dari batu-bata besar itu benar-benar menimbulkan rasa seram bercampur kagum apabila diselubungi kabus tebal.

Mata Seri tiba-tiba terbuka. Dia merenung ke arah halaman istana.

"Wahai Mangku Suria! Aku datang mengadap kepadamu. Menjelmalah!"

Nyaring suara Seri memecah keheningan dinihari. Gema terakhir berlalu pergi, suasana sunyi kembali. Kecuali deru angin dan bunyi serangga di hutan, seluruh kawasan istana ditakluki sepi.

Seri menarik nafas berat. Matanya terpejam kembali dan mulutnya terkumat-kamit.

"Wahai Mangku Suria! Anak Raja Legur, aku tahu asal-usulmu. Menjelmalah!"

Gema suara Seri beralun-alun dibawa angin. Namun tiada apa yang kelihatan atau berubah. Cahaya rembulan menerangi lapangan istana. Seri semakin geram. Masakan tidak, sudah begitu lama dia bersimpuh memuja semangat di gerbang purba itu, namun apa yang dihajatinya tidak juga muncul-muncul. Dia sudah bawakan pulut kuning, ayam panggang, babi panggang dan air tuak kegemaran Mangku Suria.

"Hei Mangku Suria! Anak Raja Legur, aku tahu asal-usulmu, tanda lahirmu pada belikat sebelah kiri, kaulah yang membunuh Raja Paiman, bapa saudaramu sendiri dan kau salai kepalanya tujuh hari tujuh malam untuk kau jadikan penanggal bagi menjagamu dari musuh-musuhmu!" pekik Seri penuh kemarahan.

Suara pekikan bergema beralun-alun memukul-mukul tembok dan dinding istana agam itu. Serentak dengan itu terdengar suara perempuan mengilai bersahut-sahutan jauh di sebelah kanan. Seri tersengih sambil matanya melilau ke sana sini. "Mana dia si iblis pekak ini?"

"Sial!" pekik Seri.

Tiba-tiba suara kuda meringkik keras menerpa ke telinga Seri. Dari sebelah kiri datanglah seekor kuda diiringi dengan beberapa ekor kuda lagi yang dinaiki hulubalang lengkap dengan tombak dan senjata-senjata lain. Seri memandang ke arah kuda paling hampir kepadanya.

Seorang lelaki berkulit gelap dengan mahkota kecopong diperbuat dari emas sedang memandang ke arahnya; riak wajahnya bagaikan mahu menahan ketawa. Ditangannya ada sebilah keris pendek.

"Hahahaha!"

"Hahahaha!"

"Hahahaha!"

Seri hanya mampu memandang lelaki itu dengan perasaan geram. "Kau tahu berapa lama aku memujamu supaya datang ke sini, Mangku Suria?"

Mangku Suria, lelaki berkulit gelap itu menggeleng-gelengkan kepala dengan bibirnya dijuihkan. "Hahaha, aku tidak sangka langsuir garang seperti kamu ini begitu lekas hilang sabar. Aku hanya lewat sebentar sahaja."

Seri menyengetkan kepalanya sedikit. "Lewat sebentar? Dasar iblis pekak! Tiga kali aku menyeru kamu, mengerti?!"

Mangku Suria berubah muka. Namun bibirnya masih menyimpan senyum. "Hei langsuir, kamu sedang berhadapan dengan siapa? Hamba rakyatku sendiri merangkak dan menyembah tiga kali sebelum dibenarkan bersimpuh di hadapanku. Jaga bahasamu!" Mangku Suria mendepangkan hulu keris pendek yang dipegangnya ke arah Seri.

Seperti ditendang sesuatu, Seri tercampak ke belakang. Tubuhnya mendarat agak jauh dari gerbang tadi dan terseret sedikit. Susah payah Seri berguling-guling kesakitan sebelum dia mampu duduk melunjurkan kakinya. Kain batik Pahangnya terselak sedikit, menampak buah betisnya yang merah keputih-putihan. Bunyi derap kaki kuda kedengaran menuju ke arah Seri yang duduk termengah-mengah.

"Aku Suria Berman! Raja seluruh Cempakapura, Sakai Bukit dan Sakai Laut! Raja Kemboja dan Sri Dharmaraja! Pemilik sejuta tentera! Pemilik seribu kuda dan gajah perang! Mengerti kamu?!

Seri tertunduk diam seribu bahasa. Dia mengibas-ngibas perlahan kebaya hitamnya yang dipalit tanah dan daun-daun kering. Kemudian perlahan-lahan dia duduk bersimpuh dengan kedua telapak tangannya ditangkupkan ke dada sebelah kanan. Namun dia masih tidak berani menentang bola mata Mangku Suria. Seri tahu apabila Mangku Suria sedang marah, matanya akan bertukar menjadi merah dan keluar api sementara nafasnya keluar asap nipis yang amat busuk. Ternyata hidungnya tidak menipu. Dia pasti itu.

"Mangku Suria, maafkan aku. Aku tidak dapat mengawal diriku. Aku ada masalah yang ingin diajukan kepadamu," ujar Seri yang masih dalam keadaan bersimpuh tadi.

Mangku Suria kembali tenang. Ego kejantanannya surut apabila mendengar kata-kata Seri yang lemah gemalai, sementara matanya tidak lepas dari melihat buah betis Seri yang gebu. Bijak benar Seri hanya membiarkan sahaja kainnya terselak begitu ketika duduk bersimpuh di hadapan Mangku Suria. "Apa hajatmu?"

Barulah Seri berani mengangkat wajahnya, seraya memandang ke arah Mangku Suria. "Aku sudah berjaya memukau kekasih kepada musuhku dan kini dia aku simpan di satu tempat. Rancangan aku adalah untuk memancing si musuh supaya datang kepada kekasihnya dan dapatlah aku berbuat sesukahati kepadanya sebelum aku bunuh dia."

Mangku Suria berpeluk tubuh sambil dahinya berkerut-kerut. "Mengapa kamu tidak terbang saja kepadanya dan hinggap lalu menggigit lehernya sampai wajahnya pucat kekeringan darah? Macam tidak biasa pula kamu bekerja selama ini," Mangku Suria ketawa terkekeh-kekeh.

Seri menunjukkan wajah kebosanan dengan nafasnya dilepaskan penuh geram. "Masalahnya...tubuh musuhku itu dikelilingi oleh pendinding beracun yang aku sendiri tidak nampak.  Dia ada amalan tertentu yang ilmu aku tidak mampu mengatasinya."

Suara cengkerik bersahut-sahutan. Suasana dinihari begitu indah diterpa sinar-sinar rembulan yang bermain-main dicelah-celah kabus. Ada katak melompat-lompat di lantai hutan menuju ke arah belukar.

"Aku sudah faham...ya kalau beginilah, seribu susuk pun tidak akan mampu melawan pendinding itu. Tetapi jangan bimbang, aku ada ilmu lain yang jika kamu boleh gunakan dengan akal yang pintar, boleh menyelesaikan masalah mu itu," ujar Mangku Suria setelah lama berbincang dengan Seri.

"Apa dia?" tanya Seri tidak sabar.

"Begini, aku akan beri kamu ilmu rasukan yang luarbiasa, di mana kamu boleh menumpang di dalam tubuh orang yang kamu rasuk. Seperti biasa, rendam tubuhmu di dalam kolam diraja yang dipenuhi limau purut dan limau kasturi dan bahan-bahan masam yang lain. Empat belas hari. Biarkan tubuhmu mengecut sepenuhnya dan kamu selam kepalamu sekali. Kali ini, semangatmu mesti keluar dari tengkorak Dang Sastri sepenuhnya. Elakkan menjadi penanggal, kamu mesti menjadi semangat," terang Mangku Suria.

Mata Seri bersinar-sinar. Fikirannya menerawang. Dia merasakan dia tahu apa yang ingin dikatakan oleh Mangku Suria seterusnya.

Vampire of Grahi IIWhere stories live. Discover now