Bab 11: Cik Siti Merah

399 15 0
                                    


Utara Negeri Perak, 1832

Seorang lelaki separuh umur kelihatan menarik tangan seorang wanita, berjalan agak pantas namun senyap-senyap di celah-celah denai hutan itu. Wanita itu pula sedang mendukung seorang kanak-kanak lelaki dengan sebelah tangannya. Di belakang wanita itu ada dua orang pemuda, yang baju mereka berlumuran darah. Masing-masing memegang parang.

"Kita bersembunyi di balik bukit sana!" ujar Raja Ali. Suasana hening subuh memerhatikan sahaja kelibat manusia-manusia itu berjalan pantas ke arah sebuah bukit kecil. 

Cik Midah bersandar di balik batu besar. Anaknya dilepaskan dari dukungannya dan dibiarkan duduk disampingnya. Wajahnya menyimpan seribu ketakutan. Masih terbayang-bayang di matanya yang masih berair, bagaimana Tuan Kecik ditikam dan dilibas bertalu-talu oleh orang-orang Phra Klang dengan pedang dan parang. Anak lelaki Tuan Kecik yang masih remaja dipenggal kepalanya. Manakala isteri Tuan Kecik terbunuh ketika cuba mempertahankan suaminya. Saki baki pengikut mereka ditangkap dan diikat lalu dibawa ke Patani.

Raja Ali muncul membawa air minuman yang ditampung dalam tempurung kelapa. Sementara anak isterinya serta dua orang pengikutnya minum, Raja Ali memikirkan peristiwa dasyat malam tadi. Tiba-tiba dia menekup mukanya. Ya... memang dia mengambil keputusan untuk berundur saja. Namun bukanlah sebab dirinya seorang pengecut. Tidak!

Tetapi sebab dia memikirkan wajah isteri dan anaknya yang tercinta. Dia melihat sendiri bagaimana isteri sahabatnya terkena libasan pedang dan parang. Darah menyimbah ke sana sini. Orang-orang Phra Klang seperti kerasukan membelasah kedua-dua pasangan itu sehingga keduanya menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan berpelukan.

Aku tak sanggup!

Aku tak sanggup anak isteriku mati di tangan Siam celaka!

Raja Ali mengertap giginya menahan marah. Matanya berair namun tidak tumpah. Dia memalingkan pandangannya ke arah anak isterinya yang sedang berehat. Jali dan Botak sedang merawat luka-luka di badan masing-masing. Dia sendiri luka-luka di lengan dan kakinya. Kedua pengikutnya menawarkan untuk merawat luka-luka itu namun dia menolak.

Sedang dia asyik memikirkan masalah yang dihadapinya tiba-tiba sekumpulan lelaki bertopengkan kain hitam menghampiri mereka dengan keris panjang. Sebahagian dari mereka memegang senjata api dari jenis Brown Bess yang diubahsuai.

"Jangan melawan! Ikut kami," arah salah seorang darinya.

Raja Ali segera mendapatkan anak isterinya. Dia memandang Jali dan Botak sambil mengisyaratkan supaya menurut sahaja kemahuan lelaki-lelaki bertelungkup kepala itu. Hanya dibahagian mata mereka sahaja dilubangkan supaya boleh melihat.

Sepanjang berjalan sambil diiringi kumpulan lelaki itu, Cik Midah tidak berhenti-henti menangis. Raja Ali tunduk sahaja. Dia yakin kumpulan lelaki ini adalah orang-orang upahan Phra Klang. Talibarut.

Dia sudah memikirkan masak-masak, jika itulah pilihan yang ada, dia akan merayu kepada Phra Klang supaya tidak mengapa-apakan anak isterinya. Biarlah dirinya sahaja dihukum kerana membantu raja Patani menentang Siam. Dua orang pengikutnya juga minta dilepaskan atau tidak dibunuh. Raja Ali terlalu berfikir di sepanjang perjalanan itu sehingga dia tidak sedar dia sudah sampai ke tempat yang dituju.

"Nik Dah... Nik Dah, apa yang Nik Dah buat di sini?"

Raja Ali membeliakkan matanya.  Dia seakan tersedar dari mimpi. Suara halus merdu itu memang dia dapat mengecamnya. Segera dia mendongakkan kepalanya.

Seorang wanita berkebaya merah sedang duduk di atas kerusi di anjung sebuah rumah papan yang besar. Raja Ali memerhatikan sekeliling. Terdapat beberapa pondok dibina di sekeliling rumah wanita berkebaya itu. Kemudian baru dia sedar, seluruh kawasan itu dipagar oleh batang-batang kayu besar yang disusun rapat-rapat sehingga menjadi tembok pertahanan yang kuat. Raja Ali kembali melontarkan pandangan ke arah wanita tadi.

Vampire of Grahi IIWhere stories live. Discover now