Bab 2

2.8K 28 0
                                    

Selesai makan, Ilham mendapatkan Aryana di ruang tamu rumah. Dari ruang makan tadi, dia asyik mendengar Aryana mengomel sendiri. Ilham melihat Aryana sedang sibuk menanda buku latih tubi Matematik Adib. Kelihatan begitu banyak tanda merah pada buku latih tubi Adib itu.

"Ngeee.... Adib ni!" ngomel Aryana setiap kali mata pen merah menenyeh geram pada jawapan yang salah.

"Kenapa ni?" Ilham bertanya walaupun dia sudah sedia maklum kenapa Aryana membebel tak henti-henti.

"Ini, hah. Abang tengok ni. Geram tau Yana tengok jawapan-jawapan yang salah ni," balas Aryana. Buku latih tubi Adib yang sudah dipangkah sebesar-besar alam pada muka surat enam itu diangkat tinggi.

Ilham tayang sengih. Nak di'cuci' Adib.... Adib dah lama dibuai mimpi. "Abang nak hantar Adib pergi kelas tuisyen, Yana tak bagi."

Sememangnya sudah banyak kali dia memberi cadangan agar Adib dihantar ke kelas tuisyen Matematik memandangkan Adib sangat lemah dalam mata pelajaran yang satu itu.

"Nak pergi kelas tuisyen buat apa? Yana, kan ada. Abang macam tak tahu isteri abang ni kalau part kira-kira memang terror. Yana boleh ajar Adib. Cuma Adib ni malas. Di'ketuk' baru nak buat latihan. Di'ketuk' baru nak belajar," bebel Aryana lagi.

Ilham mengeluh perlahan. Nak tak nak telinga dialah yang perlu mengganti telinga Adib menadah bebelan mummynya yang belum lagi ada tanda mahu berhenti.

Dia mencapai alat kawalan jauh Astro. Rangkaian ESPN ditekan. Mata tertancap pada siaran tertunda perlawanan bola sepak Liga Premier pada layar kaca LCD.

"Ni, abangla ni.... ajar Adib tengok bola. Sampai belajar pun ke 'laut dalam' perginya," sambung Aryana lagi, meletakkan kesalahan pada bahu Ilham.

Memang salah Ilham pun. Kalau bukan Ilham yang mengajar Adib bola sepak sejak dari kecil, tak adanya anak terunanya itu gila dengan bola sepak sampai lupa nak belajar.

Ilham tersentak dengan sindiran Aryana itu.

"Salah abang pulak?" tempelak Ilham, sedikit geram.

Inilah sebabnya dia malas duduk di rumah malam-malam. Setiap malam ada sahaja yang Aryana bebelkan.

"Yelah. Salah abanglah. Abang patut didik anak abang tu macam mana nak jadi pengarah urusan macam abang. Bukan di'okey'kan aja kalau budak itu nak main bola, tengok bola..." marah Aryana berlarutan sampai ke episod makan-bola-minum-bola-tidur-bola macam iklan Coca Cola sempena Piala Dunia dahulu. Kalau dia dah tahap bengang macam ni, apa sahaja isu yang boleh dibangkitkan, akan dia ungkit.

"Yana, Adib tu kecil lagi. Bagilah dia peluang merasa hidup macam budak-budak lain. Bukannya dia main bola sampai tak belajar langsung. Mata pelajaran lain okey,kan? Cuma Matematik aja yang dia lemah. Abang dulu Matematik lagi lemah tau. Lagi teruk kena 'bambu' dengan mama. Tapi, Yana tengok sekarang ni. Abang jadi jugak pengarah urusan," balas Ilham.

Aryana mencebik.

"Yelah, company bapak sendiri bolehlah...." sindir Aryana, pedas.

Ilham buat muka. "Eh.... jangan pandang rendah pada abang ye. Position tu abang dapat atas kelayakan abang jugak tau. Nak abang tunjuk degree master abang semua pada Yana ke? Cakap tak tengok orang. Ni alumni University of Canterbury, okay. First class degree."

'Sedas' Ilham bagi kat Aryana.

Mulut Aryana terkumat-kamit mengajuk kata-kata Ilham yang panjang lebat itu.

"Tak puas hatilah tu." Sarkastik Ilham berkata apabila Aryana diam tidak membalas.

"Abang rasa kita memang patut gajikan cikgu Matematik untuk Adib ke?" Aryana membalas dengan soalan.

"Yana la decide," sahur Ilham, tak kuasa nak buat keputusan. Dia malas nak buat keputusan kalau keputusannya nanti mendapat tentangan daripada Aryana.

"Nantilah Yana fikirkan. Kalau betul-betul Adib tak mahu mummy dia ni yang ajar, Yana akan cari private tutor untuk dia. Biar private tutor tu menghadapi Adib buat latihan Matematik sampai dia pandai," ujar Aryana.

"Tak payahlah sampai nak kena cari private tutor. Hantar aja ke kelas tuisyen macam budak-budak lain," bidas Ilham yang kurang bersetuju dengan idea Aryana itu.

Melampau sangat pulak kalau sampai nak upah private tutor. Adib tu bukannya tak pandai, cuma malas aja. Kalau hari-hari buat latih tubi Matematik, pasti kacang aja.

"Tak boleh, abang. Kalau pergi tuisyen dengan budak-budak lain, nanti bukannya dia belajar. Main lagi adalah. Biar dia belajar dekat rumah. Yana boleh tengokkan jugak macam mana cikgu tu ajar. Lagipun bukan abang tak mampu nak bayar private tutor.... kan?" balas Aryana.

Ilham mengeluh perlahan.

"Yes, ma'am. Apa-apa ajalah," sahutnya, malas.

Ilham bingkas bangun. Kunci kereta di dalam bakul rotan di atas rak konsul di tepi pintu diambil.

"Abang nak pergi mana tu?" tegur Aryana.

"Mamak," Balas Ilham dengan bersahaja.

Eloklah sekiranya dia melarikan diri. Lagi dilayan Aryana, nanti berjela-jela bebelan isterinya itu. Harun, Nadim dan Shuib dihubungi untuk memenuhkan kourum di kedai mamak tempat mereka selalu lepak setiap kali menjelang hujung minggu.

Yes Maam Onde as histórias ganham vida. Descobre agora