Part 10

1K 16 0
                                    

Deringan telefon kali ketiga yang membingitkan telinga membuatkan Aryana mengalah jua. Resipi kek red velvet tang sedang ditaip untuk dijadikan entry terbaharu ke dalam blognya disimpan sebagai draf terlebih dahulu. Dengan malas, Aryana menjawab panggilan telefon tersebut. "Assalamualaikum. Ya, mama."

"Waalaikumussalam. Yana pergi mana? Lambat sangat jawab telefon."

Aryana jauhkan sedikit telefon bimbit dari telinganya. Bingit mendengar bebelan Datin Rokiah Kamsan di hujung talian.

"Ni..... Baby ni. Basuhkan berak dia tadi." bohong Aryana. "Mama nak apa telefon Yana ni?"

Aryana melepaskan keluhan halus. Sebenarnya dia mahu mengelak daripada Datin Rokiah Kamsan buat sementara waktu. Terasa seriau mendapat panggilan daripada ibu mertuanya itu. Buatnya Datin Rokiah Kamsan mengerah tenaga dia lagi untuk menjadi 'bibik sementara' macam dia tiga hari lepas, tak ke naya? Cukuplah sekali itu sahaja dia sukarela konon-konon mahu mengambil hati mentua dengan menawarkan diri membantu mengemas rumah sementara Surti pulang dari kampung. Taubat dah! Tak nak jadi sukarelawan. Tolong kemas sikit-sikit boleh. Tapi, kalau nak tolong kemas satu rumah.... memang taklah!

"Haih.... mengeluh semacam aja? Takut mama suruh tolong kemaskan rumah mama lagi ke?" sindir Datin Rokiah Kamsan.

Aryana menelan air liur apabila Datin Rokiah Kamsan serkap jarang. "Eh.... mana ada. Kenapa mama? Nak mintak tolong Yana kemaskan rumah mama lagi ke? Boleh aja mama. Cakap aja bila. Nanti Yana datang."

Payah! Aryana terpaksa menipu lagi.

"Tak payah. Mama pinjam bibik Auntie Rubiah kamu dua hari ni untuk tolong kemaskan rumah mama," beritahu Datin Rokiah Kamsan.

Aryana urut dada tanda lega mendengar kata-kata ibu mentuanya itu.

"Ni, mama telefon ni sebab mama ada satu cadangan nak bagi dekat Yana."

Dahi Aryana berkerut halus.

"Cadangan apa, mama? Nak pergi bercuti sama-sama lagi ek? Nak, nak! Kita nak pergi ke mana?" tanya Aryana dengan ceria apabila merasakan ada cadangan menarik yang bakal dikatakan oleh ibu mertuanya. Mungkin percutian ke Istanbul kerana sejak dua menjak ini ibu mentuanya itu asyik sangat berkata mahu ke Istanbul.

Datin Rokiah Kamsan mencebik.

"Bukan bercuti. Mama nak bagi cadangan supaya Yana join kelas aerobik," katanya laju, tidak mahu menantunya itu terus berangan-angan tentang destinasi percutian.

Takkan setiap kali cadangan yang keluar daripada mulut dia semata-mata cadangan nak pergi bercuti sahaja. Anak dan menantu sukalah dapat tumpang pergi bercuti bersama dah semuanya percuma. Owh..... banyak cantik!

Aryana mengeluh lemah. "Tak kuasalah Yana mama. Kalau setakat nak bagi berpeluh, dekat rumah ni macam-macam kerja yang boleh buat Yana berpeluh, ma....."

Dia menolak cadangan tak bernas ibu mertuanya itu. Tugas suri rumahnya bermula seawal pagi selepas selesai solat subuh. Sediakan sarapan, pergi pasar, masak makan tengah hari, lepas tu kena jadi driver untuk hantar dan ambil Adib dari sekolah, kemas rumah, jaga Adalia.

Pendek kata, dari bangun tidur waktu pagi.... sampai nak tidur balik pada malam hari baru kerja-kerjanya selesai. Rasanya, memang bukan keperluan untuk dia pergi ke kelas aerobik kalau dengan melakukan tugasan rumah pun boleh bagi lemak-lemak degil dalam badan ni pecah.

"Buat kerja rumah..... berapa banyak sangat lemak yang boleh dibakar?" selar Datin Rokiah Kamsan.

Aryana 'sentap' seminit. Laju dia melangkah ke cermin besar berbingkai kayu jati di ruang tamu rumah. Dia pandang atas bawah keadaan dirinya di hadapan cermin.

"Mama cakap macam Yana ni dah gemuk sangat pulak," gumam Aryana sambil membelek-belek kiri kanan pinggang untuk memastikan alignment masih lagi okey dan tak lari.

"Memanglah tak gemuk tapi, cuba bandingkan masa Yana anak dara," getus Datin Rokiah Kamsan, geram.

Aryana mengeluh lagi. "Pergi mana mama?"

"Adalah. Pergi satu tempat." Datin Rokiah Kamsan berahsia.

Aryana rasa macam dah malas nak layan bersembang dengan ibu mertuanya itu selepas satu per satu cadangan dikeluarkan.

"Kalau nak bawak Yana pergi salon, lepas tu mekapkan Yana macam opera Cina.... baik tak payah mama." bidas Aryana yang menolak awal-awal cadangan yang bakal diutarakan oleh ibu mentuanya itu.

Tadi suruh pergi kelas aerobik. Kali ni mesti nak suruh pergi makeover, letak mekap sekati kat muka. Getus hati Aryana sekilas meneka agenda Datin Rokiah Kamsan yang seterusnya itu.

Tiga tahun lepas, pernah dia termakan hasutan Datin Rokiah Kamsan untuk makeover. Mekap tebal dua inci, kononnya untuk menarik perhatian dan mendapat pujian suami.

Alih-alih bukan pujian yang dia dapat tapi, kena tarbiyah dua jam okey dengan 'Ustaz Ilham Irfan'. Mahu tak kena tarbiyah dengan Ilham? Bila balik, tengok isteri sendiri macam pelakon opera Cina. Tapi, mungkin salahnya pada Aryana juga masa itu. Siapa suruh cukup kening, kan? Macam tak tahu pula mengubah kejadian Allah itu hukumnya berdosa.

"Bukanlah..... mama nak Yana temankan mama pergi majlis minum petang kat rumah Puan Seri Mariam tu. Mama tak ada kawanlah nak pergi," kata Datin Rokiah Kamsan.

"Minum petang dengan kawan-kawan mama? Ngee....lagilah Yana tak mahu, mama." Aryana menggeleng laju walaupun dia tahu ibu mertuanya bukan nampak pun perbuatannya itu.

"Jomlah Yana. Mama janji kali ni tak lama. Lagipun majlis minum petang itu untuk sambut kepulangan anak Puan Seri Mariam dari oversea. Nanti Yana bolehlah kenal dengan anak Puan Seri Mariam tu." Datin Rokiah Kamsan seakan-akan merayu.

Aryana garu kepala. Dia paksa kepala untuk mengarang alasan secepat mungkin untuk menolak pelawaan ibu mertuanya itu.

"Pergi ye. Mama tahu menantu mama ni takkan kecewakan mama," pujuk Datin Rokiah Kamsan lembut sebelum Aryana sempat memberi alasan.

Aryana mengeluh apabila terpaksa mengalah lagi kali ini. "Yelah.... tapi, kalau abang bagi Yana pergi, tau. Kalau abang tak bagi, Yana tak pergi."

Aryana mengharapkan Ilham akan bantu dia untuk melepaskan diri daripada kena pergi ke perjumpaan Mak-Mak Datin itu.

"Tak apa. Yana jangan risau. Kalau Ilham tak bagi, Yana bagi tahu mama. Tahulah mama nak cakap macam mana dengan Ilham supaya dia bagi jugak Yana ikut mama. Okey, hujung minggu ni kita jumpa ye. Assalamualaikum." Balas Datin Rokiah Kamsan lalu terus mematikan talian.

"Hah!!!" Aryana pandang telefon yang tak bernyawa itu.

Yes Maam Where stories live. Discover now