Bab 3

2K 20 1
                                    

Suasana di kedai mamak masih meriah walaupun jam di pergelangan tangan sudah menunjukkan pukul dua belas setengah malam.

Dari jauh Ilham lihat Harun, Shuib dan Nadim melambai-lambai ke arahnya. Segera dia menuju ke arah mereka bertiga.

Setiap hujung minggu, Ilham akan menghabiskan masanya lepak sambil minum teh tarik dengan teman-temannya di kedai mamak. Lagaknya persis orang bujang yang selamba lepak di kedai mamak sambil menonton bola sepak pada layar projektor sehingga pukul dua, tiga pagi. Tekanan serta bebanan kerja di pejabat memerlukan dia ruang untuk bergembira di samping teman-teman. Mujur hobinya yang ini tidak mendapat tentangan daripada Aryana. Aryana tahu, jika dia pergi ngeteh di kedai mamak, pasti dia pergi bersama Harun, Nadim dan Shuib. Takkan ada orang lain.

"Berkain pelekat bagai ni nak terus subuh dekat masjid ke Am?" tegur Nadim dengan selamba sebaik sahaja Ilham mengambil tempat di sebelah Harun.

"Aku lari dari Yana tadi. Tak sempat dah nak tukar-tukar seluar," jawab Ilham, bersahaja.

Serentak dengan itu 'ahli kourum meja bulat' ketawa berdekah-dekah.

"Yana....Yana. Mujurlah kau kahwin jugak dengan Yana, kan? Kalau tak, sah aku yang menderita macam kau sekarang ni," tutur Nadim dengan ketawa yang masih bersisa.

Ilham turut ketawa apabila mendengar kata-kata Nadim itu. Menderitalah sangat, kan?

Nadim adalah sepupu paling rapat dengan Ilham. Anak kepada Mak Lang Rubiah Kamsan.

Nadim pernah memberitahu Ilham yang mamanya sangat berkenankan Aryana sejak pertama kali berjumpa dengan Aryana sewaktu majlis pertunangan Ilham dan arwah Melina.

Tinggi tak tinggi saham Aryana waktu itu sampai Puan Seri Rubiah Kamsan pun berkenankan Aryana sampai mahu mengangkat Aryana sebagai calon isteri Nadim Nazri. Mujur ketika itu Nadim bersama Sonia Rai, gadis bermata hazel berhidung mancung keturunan separa British separa Hindi. Kalau tidak, gigit jarilah dia.

"Yana tu, mulut aja yang kuat membebel. Hati dia baik, Dim. Aku ni kira lelaki paling bertuah tau dapat Yana sebagai isteri. Bahagia sentiasa." Ilham ikhlas memuji Aryana di hadapan semua. Dia tidak kekok memuji Aryana.

Dah memang betul pun. Kalau tidak bahagia, masakan boleh dapat dua orang anak. Untuk anak ketiga....dalam perancangan. Tunggu sampai Adalia mencecah usia lima tahun, baru boleh proceed dengan rancangan menambah anak ketiga. Itu perjanjian yang dah dibuat dengan Aryana selepas melahirkan Adalia.

"Bahagia dalam derita, ye bos?" sampuk Harun.

Makin galak ketawa 'ahli kourum' di tengah-tengah kedai mamak ini.

Ilham tersenyum sumbing sambil menggeleng perlahan. Nak mengiakan pun tidak, nak menidakkan pun tidak.

"Abang Harun, respect sikit boleh tak? Bos kita ni." Shuib selaku orang kepercayaan Ilham mencelah. Tangan menepuk-nepuk bahu Ilham yang kebetulan duduk di sebelahnya.

"Kaki kipas!" selar Harun sambil buat muka.

Semenjak dia berhenti menjadi pemandu Ilham dan kembali berkhidmat dengan Datuk Maarof, dia jarang dapat bertukar cerita dengan Ilham pada waktu pejabat. Sekarang ini, apa-apa hal Ilham akan bercerita dengan Shuib, office boy yang blur-blur selalu itu terlebih dahulu. Kemudian barulah Shuib akan update pada dia berita terkini dan sensasi yang melanda Ilham. Walaupun Shuib ni baru setahun dia bekerja dengan Ilham tapi, Shuib yang blur dan lurus ini sudah pun menjadi orang kepercayaan Ilham. Blur-blur si Shuib ni pun, kalau tak bodek bos.... dialah juara!

Shuib tersengih-sengih apabila mendengar sindiran Harun itu.

"Kipas tak main.... Abang Harun. Pakai aircond terus," ujar Shuib sambil ketawa mengekek.

"Kan.... bos?" sambungnya lagi lalu mengerling ke arah Ilham.

Ilham menjulingkan matanya ke atas. Kepalanya digeleng-geleng perlahan. Harun dan Shuib kalau dah dapat menggiat, mahu sampai ke subuh nanti tak habis-habis kerja menggiatnya itu.

"Dim, esok apa plan kau?" Ilham mengalihkan topik perbualan. Harun dan Shuib yang masih lagi ketawa dibiarkan sahaja.

Nadim yang baru nak menghirup teh tarik berhenti sebentar. Dia berfikir-fikir sejenak tentang aktiviti hari Sabtunya, esok. "Esok ek? Tak pergi mana kut. Aku ingat aku nak pergi gim aja."

"Kau ni seminggu dua tiga kali masuk gim tapi, badan tak jugak berketul-ketul aku tengok," perli Ilham.

Takkanlah angkat besi berat-berat seminggu dua tiga kali, badan masih lagi tak sasa bergaya macam Fahrin Ahmad. Dia yang sekadar berjoging dan mengayuh basikal senaman di dalam rumah setiap hujung minggu nampak lagi tough daripada Nadim.

Nadim ketawa.

"Aku pergi gim bukan angkat besi sangat pun. Aku suka pergi gim tu sebab sekarang ni, dekat tingkat atas dah ada kelas aerobik seminggu tiga kali. Cikgu aerobik dia 'Mantap' Am..." ujar Nadim, nakal. Keningnya 'menari-nari ronggeng' seolah-olah mahu menghasut Ilham untuk mengikutnya ke gim esok hari.

"Apa lagi, bos? Takkan setakat kayuh basikal 'bodoh' dekat rumah aja. Dekat sana bolehlah cuci mata sekali." Harun cucuk jarum.

"Haahlah bos. Takkan tak berani kut? Kata legenda kasanova...." cucuk Shuib pula.

Ilham rasa tercabar dengan sindiran-sindiran mereka itu. Bengang betul bila tengok Nadim, Harun dan Shuib saling mencalit ibu jari sesama mereka seakan-akan mereka adalah satu pakatan jahat bertanduk dua yang cuba merosakkan dia.

"Jomlah Am. Aku tahu kau pun dah lama teringin nak pergi gim balik, kan? Jomlah. Kalau kau ada, dapatlah kau tolong adjustkan cikgu aerobik tu untuk aku. Aku ni dah jenuh tau Am mengayat tapi, tak jugak jalan. Kau ingat kau aja ke nak beristeri? Aku pun nak jugak merasa ada isteri, Am...." hasut Nadim sekadar berniat mahu berseloroh.

Ilham berfikir. Akhirnya dia berdecit. "Tengoklah kalau aku rajin."

"Tak apa, Am. Kalau kau tak berani nak bagi tahu Yana, biar aku bagi tahu Yana. Lagipun Yana baik dengan aku. Dia percayakan aku. Mesti kau dapat green light punyalah," tutur Nadim dengan yakin. Semangatnya membuak-buak mahu Ilham turut serta esok.

Bab mengurat perempuan memang Ilham adalah legenda yang paling dikagumi. Biarlah Ilham tegaskan yang Ilham sudah bersara, dia minta tolong Ilham adjust untuk dia. Bukan untuk Ilham.

"Kalau kau sanggup dengar bebelan Yana.... silakan," balas Ilham.

"Okey. Esok pagi-pagi aku datang rumah kau. Aku pujuk Yana." Nadim mengenyitkan matanya.

"Harun dengan Shuib ni kau tak nak ajak sekali ke Dim?" tanya Ilham sambil memandang Harun dan Shuib yang sedang enak menjamah roti naan dan ayam tandoori.

Harun dengan Shuib ni kalau dapat keluar dengan Ilham, memang mereka akan 'bedal' bersungguh-sungguh. Maklumlah.... ada yang sudi bayarkan. Selama lepak di kedai mamak dengan Ilham dan Nadim, tak pernah rasanya sekali pun mereka berdua membayr harga makanan. Jika tidak Ilham, pasti Nadim yang akan membayarnya.

"Saya tak boleh bos. Nak dating dengan buah hati." Jawab Shuib dengan mulut penuh.

"Saya dah tua, bos. Tulang pun banyak yang dah reput. Tak boleh dah nak angkat besi-besi tu semua."

Kata-kata Harun yang tidak berperasaan itu membuatkan tiba giliran Ilham pula ketawa berdekah-dekah.

Nadim dan Shuib juga turut ketawa.

'Legenda queen control' Yang masih menguasai carta adalah Abang Harun!

Yes Maam Where stories live. Discover now