Lisa Pulang Lewat

69 6 0
                                    

Lisa memandang jam di dinding pejabatnya. Sudah pukul 8.35 malam. Jarinya rancak menaip-naip di papan keyboard komputer. Keadaan di pejabatnya sudah sunyi sepi, adalah dua-tiga orang rakan sekerjanya yang tidak pulang lagi. Lisa tahu jika dia tidak menyiapkan kerjanya itu malam ini tentu hari esoknya kerja yang lain pula akan bertambah. Lagipun esok sudah dateline. Bunyi kereta lalu-lalang di bawah pejabatnya membuatkan Lisa gelisah memikirkan perjalanan pulangnya. Bas terakhir di situ adalah pukul 10 malam. Jika dia terlambat pasti pejabatnya itu menjadi tempat tidurnya malam ini. Rakan-rakan sekerjanya yang beberapa orang tadi sudah mula beransur pulang. Maka tinggallah Lisa seorang diri.

"Tap!" Butang enter ditekan dengan puas. Kerja Lisa sudah selesai dan sudah siap di simpan di ruang fail dokumen. Tanpa berlengah dia pantas mencapai beg, dan terus beredar dari situ. Sempat juga dia mengerling jam di dinding. 15 Minit lagi sebelum bas terakhir, bisik hati Lisa. Keadaan jalan raya sudah mulai lengang malam itu, hanya dia seorang sahaja yang menunggu bas untuk pulang malam itu. Tidak jauh daripadanya ada gerai menjual burger, jadi tidaklah dia berasa sunyi sangat walaupun dia sedar setiap orang yang singgah di gerai burger itu pasti akan menjeling-jeling ke arahnya terutama lelaki. Lisa buat bodoh.

Setelah menunggu dalam lebih kurang 15 minit bas akhirnya sampai dan berhenti betul-betul di hadapannya. Hati Lisa lega. Katil yang empuk sudah terbayang-bayang di dalam fikirannya ketika itu. Hanya ada tiga orang penumpang sahaja di dalam bas termasuk Lisa. Seorang perempuan dalam lingkungan umur awal 20'an dan juga seorang lelaki pertengahan umur. Lisa memilih untuk duduk di belakang pemandu bas, posisi yang selamat fikir dia. Untuk menuju ke rumahnya memakan masa dalam lebih kurang 20 minit. Lisa menikmati sahaja permandangan malam dari tingkap sebelahnya. Jalan kelihatan basah akibat gerimis. Sebenarnya dari tadi Lisa perasan penumpang lelaki yang duduk selang 3 baris di tepinya kerap memerhatikan dia. Hal ini Lisa ketahui apabila dia melihat di cermin pandang belakang bas tersebut. Dari situ dia dapat melihat mata lelaki itu tertumpu pada dirinya.

Lisa bukanlah hendak berprasangka namun langkah berhati-hati dan berjaga-jaga harus dia ambil. Dan Lisa bukanlah hendak menilai orang dari rupa dan luaran, tetapi wajah tidak terurus dan selekeh lelaki tersebut kerap menganggu fikirannya. Muka lelaki itu kelihatan serius disebalik topi yang dipakainya. Terdapat juga sebuah beg yang diletakkan di riba lelaki itu. Bagai ada suatu benda yang penting di dalam beg tersebut yang membuatkan lelaki itu memegangnya dengan erat. Lisa takut namun dia malas hendak melayan sangat perasaannya. Dia terus menghayati permandangan malam.

Penumpang perempuan yang berada bersamanya di dalam bas sudah lama turun di hentian berdekatan stesen minyak tadi. Kini hanya mereka bertiga di dalam bas iaitu pemandu bas, Lisa dan juga lelaki misteri yang berada di belakangnya itu. Fikirannya ketika itu ligat berfikir perkara-perkara yang negatif. Mungkin keadaannya ketika itu di mana dia sahaja seorang perempuan dan bersendirian di antara dua lelaki. Papan tanda Jalan Norton sudah dilepasi, Lisa lega. Rumahnya sudah hampir.

Bas diberhentikan di tepi jalan, Lisa bangun dan pantas turun dari bas. Tiada sebab untuk dia melengahkan masa lagi. Apa yang dia mahu ketika itu ialah mandi, rehat dan tidur secukupnya. Tetapi ada suatu perkara yang membuatkan Lisa tidak senang hati. Lelaki misteri tadi turut turun di situ juga! Lisa mempercepatkan langkahnya. Dalam hati Lisa dia berdoa supaya tiada apa-apa yang buruk terjadi, dia terus mengambil langkah berjaga-jaga. Lisa berjalan di kaki lima yang membawanya ke sebuah kedai runcit 24 jam. Sengaja dia mengambil laluan itu kerana keadaan jalan di situ tidaklah sunyi sangat berbanding jalan belakang yang biasa di laluinya. Tidak mengapalah lambat sedikit asalkan keselamatan dirinya terjamin.

Lisa risau apabila mendengar bunyi tapak kaki di belakangnya, daripada ekor matanya dia tahu bahawa lelaki itu sedang mengekorinya.

"Cik. Boleh tumpang tanya alamat ni tak?"

Lisa memperlahankan langkahnya dan memandang ke belakang dengan muka yang agak berkerut. Dia cuba memberanikan diri untuk didekati lelaki tadi. Kebetulan mereka berdua berhenti di hadapan kedai runcit 24 jam jadi pada hemat Lisa jika ada apa-apa yang terjadi mudah baginya untuk meminta bantuan. Lelaki itu menunjukkan sekeping kertas kecil yang bertulis alamat kepada Lisa. Lisa tersentak membaca satu persatu tulisan tangan di kertas tersebut.

Ini alamat rumah Lisa! Jantung semakin berdebar laju, perlahan-lahan dia memandang wajah lelaki bertopi yang serba selekeh di hadapannya itu. Siapakah lelaki ini sebenarnya? Hendak apa dia tahu rumahnya? Bisik hati curiga Lisa.Lisa tahu situasi sudah menjadi terlalu bahaya ketika itu. Daripada terus menjunam ke lembah bahaya baik dia memikirkan sesuatu. Otaknya pantas berfikir demi mengelak hal-hal buruk yang mungkin akan terjadi.

"Err, alamat ni dekat simpang depan sana tu. Jauh lagi" Lisa menjawab terketar-ketar sambil cuba mengawal emosi takutnya.

"Oh, terima kasih Cik." Lelaki itu menjawab ringkas sambil meminta diri untuk beredar.

Lega dan tenang hati Lisa apabila melihat lelaki itu beredar pergi perlahan-lahan jauh hilang daripada pandangannya. Lisa terus meneruskan perjalanannya pulang ke rumah. Pada masa yang sama dia memerhati juga keadaan sekelilingnya bagi memastikan tiada lagi lelaki itu dari pandangan matanya. Dalam fikirannya sentiasa tertanya-tanya siapakah lelaki bertopi itu tadi, lagaknya kelihatan sungguh misteri.

Lisa sudah sampai di pintu rumahnya, dia meletakkan kasut di rak dan mengunci semula pintu hadapan. Dia pergi ke dapur dahulu untuk menghidupkan lampu. Rakan-rakan serumahnya sudah dua hari bercuti untuk pulang ke kampung. Jadi buat masa ini Lisa hanya tinggal seorang diri. Lisa membuka pintu biliknya, katil empuk sudah terbayang-bayang di fikirannya. Dia mencapai suis lampu. "Tap!". Lisa terus menjerit kuat. Lelaki tadi sedang berdiri di penjuru biliknya. Tangannya memegang tukul besi.

"Lain kali jangan tipu lagi ya.." Kata lelaki itu sambil tersenyum.

................................................

Seorang lelaki tua memegang surat khabar lalu menggelengkan kepala. Pada muka hadapan akhbar tertulis "Seorang pembunuh bersiri berjaya meloloskan diri daripada penjara malam tadi"

P/s: watak cerita ni telah diubah suai dari watak cerita asal


Credits to: https://www.facebook.com/penselstudio/ or http://mycreepypastacollection.blogspot.com

CREEPYPASTA(MALAY VER.)Where stories live. Discover now