8 Kerja

924 118 45
                                    

Kekura tangan tua wanita bergelar ibu disalamnya dalam keadaan terburu-buru

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Kekura tangan tua wanita bergelar ibu disalamnya dalam keadaan terburu-buru. Kelibat sang ayah di kerusi meja makan langsung tidak mahu dipandang. Jelingan tidak puas hati ditalakan pada Raudhah apabila nama dipanggil.

"Adik, ibu tak beri lagi duit belanja makan." Berdirinya Raudhah memandang Salahuddin lembut. Tangannya masih dilap pada kain seusai membasuh kuali bekas gorengan nasi.

"Tak payah," jawab Salahuddin. Wajahnya ketat dan tidak berminat dengan huluran sekeping duit kertas berwarna merah. Remaja lelaki itu mendengus kegeraman tatkala Raudhah mengikuti langkahnya ke ruang tamu. Dia mempercepatkan pergerakan kasut disarung tergesa-gesa.

Salahuddin memalingkan muka. Tangannya ditangkap wanita setengah abad itu. Barangkali tertanya-tanya mengapa si bongsu mencuka di awal pagi Isnin. "Sayang, kenapa ni? Ibu ada buat salah ke?"

Dia dapat merasakan sejuk tangan ibunya yang baru sudah membasuh di singki. Jemari Raudhah dileraikan dari terus mengawal pergelangan tangan kanannya yang kosong tidak berlilitkan jam. Salahuddin mengesat bekas sentuhan Raudhah tadi pada sisi seluar, seakan-akan benci ibunya memegang sesuka hati.

"Adik... Kenapa ni? Beritahu ibu... Ibu ada buat salah pada adik?" Raudhah cuba memujuk hati anaknya.

"Ya. Memang pun ibu buat salah. Semua orang dalam rumah ni buat salah pada adik. Semua benci adik, semua sayang along. Kalau tak nak sayang adik, tak payah lahirkan dari dulu," hambur Salahuddin. Mata hitam mencerlung pada bundar mata sang ibu. Dalam iris tergambar kebencian menjulang pada Iskandar Dzulkarnain.

Kerana Iskandar Dzulkarnain, dia jadi begini. Tak diendahkan malah diberi penampar percuma. Pijar tangan Faizal masih berdenyut rasanya. Suasana ruang tamu rumah diselangi detik-detik sunyi.

"Salahuddin," bisik Raudhah.

"Ibu simpan duit ni." Wang dalam genggaman wanita itu ditolak ke tepi. Adabnya hilang entah ke mana. Dini pagi hari tidak dapat menyejukkan hati yang panas dengan dendam. "Adik boleh cari duit sendiri. Apa ingat along je boleh berdikari? Adik ni jauh lagi hebat daripada along."

Telapak tangan menepuk dada memaksudkan dirinya yang akan jadi jauh lagi hebat berbanding si mati itu.

Di saat orang lain rindu pada Iskandar yang telah mati, Salahuddin berdendam pada abang sendiri. Tidak kisahlah orangnya masih hidup atau pun tidak, sakit ini tidak terubat jua.

Kasut sekolahnya disarung ala kadar. Dengan tali tidak berikat, langkah dibawa laju ke halaman rumah setelah pintu dihempas. Sudah tidak peduli apa reaksi bondanya yang telah menjangkau setengah abad usia namun kena hadap anak kurang ajar seperti ini.

"Aku benci kau, along," getus hatinya. Air mata diseka pantas. "Benci..."

Dia terduduk disebuah pacuan dua rodanya. Air mata dikesat dengan bahu baju. Habis baju putih bertompok basah. Kemudian, barulah Salahuddin sambung mengikat tali kasut. Mata menekur lantai marmar kawasan parkir kereta.

Aku bukan Nain✓  (new story + OG) Where stories live. Discover now