11 Pelanggan pertama

499 62 11
                                    

"692 karton... Data bulan ni..." bisik Salahuddin sendirian di atas sofa ruang tamu rumah Aqil. Skrin telefon yang menghubungkan data daripada komputer riba Khaifa menyiarkan segala maklumat perniagaan 'rakan' baharunya.

Ibu jari menggelungsur perlahan-lahan. Dua tiga hari juga Salahuddin menghabiskan masa mengahadap skrin komputer buat menyelesaikan kesalahan dalam sistem. Rasanya seperti sedang membuat kerja sekolah subjek perakaunan. Tatkala jumlah akhir kunci kira-kira sama, boleh dikatakan segala pengiraannya tepat belaka. Untung dan rugi bisnes Khaifa ini telah dibaca Salahuddin.

"Salah, aku dah siap ni. Jom." Aqil berlalu berdekatan sahabatnya. Ekor mata sekadar mahu mengintai apa yang sedang menjadi fokus Salahuddin sejak tadi. Diam tidak berkutik, bahkan hidangan air sirap limau ais tidak berusik.

"Kau tengah tengok apa tu?" soal Aqil.

Punat kuasa telefon pintar pantas ditekan ibu jari. Salahuddin melangutkan wajah. "Takde apa lah. Cuma tengok latihan perakaunan."

Remaja lelaki itu bingkas berdiri namun ditahan bahunya oleh tolakan tangan Aqil. Lalu dia terduduk kembali ke atas sofa dalam keadaan terpinga-pinga.

"Habiskan air tu. Penat aku bancuh." Aqil memencilkan mata tidak puas hati.

"Kau ke yang bancuh? Ini keajaiban dunia yang ke-lapan. Mana pernah Aqil bancuh air seumur hidup," sakat Salahuddin.

Lagilah si Aqil geram. Dia berasak untuk duduk di sebelah Salahuddin di atas sofa.

"Aqil, kau tak minum manis kan... Kenapa bancuhkan aku air manis?" Muncung rakannya dilihat Salahuddin. Perlahan-lahan mata jatuh pada gelas air berisi cecair merah jernih di meja kopi. Setahu Salahuddin, minuman bergula bukanlah pilihan Aqil semenjak sekolah rendah. Ada kadar pengambilan gula harian yang harus dipatuhi orang seperti Aqil agar tubuhnya mampu sihat sentiasa.

"Aku je tak minum manis. Kau minum je kan," kata Aqil.

"Tak boleh macam tu. Kalau kau tak minum manis, biar aku tak minum manis juga. Kita kan kawan."

Semanis persahabatan yang terjalin. Air tanpa gula pun akan dirasai kemanisannya. Salahuddin menyimpulkan senyuman. Tangannya sudah mencapai gelas air. Bibir dirapatkan ke permukaan, air bancuhan Aqil mula diteguk.

"Sofa punya luas, nak juga berhimpit dekat situ," tegur satu suara seorang wanita. Nadanya agak tajam.

Kedua-dua mereka menoleh ke belakang. Kelihatan bonda Aqil sedang memandang. Di tangan wanita itu terdapat kunci kereta yang bakal membawa mereka ke pasaraya buat membeli segala kelengkapan jualan burger.

" Aqil ni, acik. Geli saya duduk dekat-dekat," ujar Salahuddin. Berkerut-kerut cuba menjauhi sahabatnya.

"Mak, maaf susahkan. Kena bawa Aqil petang ni ke pasaraya," Aqil mendapatkan bondanya.

"Cepatlah! Nanti lambat-lambat jammed pula. Sekarang ni waktu orang balik kerja. Lepas ni jangan minta tolong mak dah. Nak berniaga tu pandai-pandailah hidup. Menyusahkan je." Terkumat-kamit bebelan wanita lingkungan pertengahan 40-an berkenaan ke dalam atmosfera.

Nada percakapannya tidak digemari Salahuddin. Membingitkan telinga umpama radio rosak. Namun, tidak pula bagi Aqil. Sahabatnya bingkas berdiri dan mengikuti langkah wanita berkenaan tanpa sebarang bidasan. Dituruti sahaja dengan sekelumit senyuman.

Lagilah Salahuddin meluat.

Buat apa nak dilayan orang tua seperti itu?

Kalaulah ibunya yang membebel sedemikian, sudah lama ditengking dan dihempas pintu bilik. Yang ada di rumah, yang asyik menyebut nama Iskandar Dzulkarnain itu pun cukup memeningkan kepala Salahuddin.

Aku bukan Nain✓  (new story + OG) Where stories live. Discover now