𝓚𝓮𝓴𝓪𝓼𝓲𝓱 𝓑𝓪𝔂𝓪𝓷𝓰𝓪𝓷 40

14K 1.3K 246
                                    


PUTERI Aisya.

Satu-satunya kakak aku sudah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah. Semuanya berjalan dengan lancar. Sekelip mata semuanya sudah berakhir.

Masa bagaikan berlalu dengan begitu pantas. Sedangkan aku masih terusan merenung kuburnya dengan renungan yang kosong. Orang ramai mulai beransur pergi meninggalkan tanah perkuburan ini termasuk ibu, Cik Bedah, Cik Bambam dan Cik Bie.

Baru semalam aku mendapat berita pemergian Kak Puteri daripada Cik Bedah. Sungguh aku tak menyangka secepat ini Kak Puteri akan meninggalkan kami dalam keadaan yang tragis. Dia kemalangan jalan raya. Kereta yang dipandu oleh Kak Puteri, hilang kawalan dan menyebabkan kereta berjenama Nissan Almera itu terlanggar penghadang jalan raya dan kereta itu terjunam masuk ke dalam gaung.

Aku tak dapat bayangkan detik-detik terakhir Kak Puteri sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya. Pasti amat sukar.

Air mata aku gugur lagi.

Puteri Aisya, satu-satunya kakak aku. Kakak yang sungguh penyayang. Dia yang selalu ada di sisiku ketika saat aku susah dan senang. Dia yang akan memujukku apabila aku dimarahi oleh ibu ketika aku masih kecil. Aku boleh katakan dia seorang wanita yang berhati mulia. Aku selalu iri hati dengan kemuliaan hatinya suatu ketika dahulu kerana ibu seringkali membandingkan aku dengan Kak Puteri.

"Kak Puteri... Dengar la dulu apa yang Hawa nak cakap ni! Sampai bila kakak nak bencikan Hawa? Hawa memang dah tiada apa-apa hubungan dengan Muhammad malahan... Tiada langsung rasa cinta Hawa buat Muhammad. Hawa isteri Adam sekarang. Hawa tak nak hubungan adik-beradik kita putus hanya kerana seorang lelaki. Tolonglah... Jatuhkan ego kakak itu. Hawa sayang kakak."

Itu ayat yang dituturkan oleh aku kepada Kak Puteri. Dua hari yang lalu,aku secara tak sengaja terserempak dengan Kak Puteri di pusat beli belah. Hanya senyuman kecil yang dihadiahkan oleh Kak Puteri saat itu sebelum dia berlalu meninggalkan aku.

Dan... Itu merupakan kali terakhir aku dapat berjumpa dengan Kak Puteri.

Aku masih ingat lagi senyuman yang tampak ikhlas daripada Kak Puteri.

Kemudian, aku menghalakan retina mata aku ke arah sebatang tubuh yang masih terkaku di hadapan kubur yang masih merah tanahnya itu. Aku berdiri dari tempat dudukku, dengan Ian yang berpaut di leherku. Aku berjalan menghampiri si dia.

Tuan Muhammad.

Aku meletakkan dahulu Ian ke bawah, kakinya mencecah tanah. Laju sahaja anak aku itu menerpa ke arah 'abinya'. Pada awalnya Muhammad sedikit terkejut kerana kemunculan Ian secara tiba tiba. Mungkin dia beranggapan tiada sesiapa lagi yang tinggal di tanah perkuburan. Pasti semua orang sudah pulang. Telahan Muhammad meleset sekali, saat dia melihat aku dan Ian bersilih ganti.

Masih lagi ada senyuman yang terukir di bibirnya. Senyuman penuh keperitan.

Aku tahu dia sangat bersedih atas pemergian Kak Puteri, yakni isterinya yang sah. Sejak daripada tadi, aku mengintai setiap gerak geri Muhammad. Dia nampak sungguh lemah. Seperti bukan dirinya. Dia bagaikan hilang separuh nyawanya. Terpancar jelas kesedihan maha dalam yang terpeta di wajahnya.

Aku tak pernah lagi melihat dirinya selemah ini. Di saat kali terakhir dia diberikan peluang untuk menatap wajah Kak Puteri, dia tidak lagi mampu menyembunyikan perasaan yang dipendam. Dia menghambur tangisannya. Tangisan pilu. Lama dia mengamati setiap lekuk wajah Kak Puteri . Aku tahu dia mahu merakam wajah Kak Puteri agar selalu segar di dalam ingatannya.

Aku tahu dia amat menyayangi Kak Puteri.

Hakikatnya, dia mencintai Kak Puteri.

Hati aku turut dipagut sayu. Di saat Muhammad mahu mencintai Kak Puteri seikhlas hatinya... Di saat Muhammad mahu mengecapi kebahagiaannya dengan Kak Puteri, Allah uji Muhammad dengan dugaan yang maha hebat.

"Aku bukan suami yang baik untuk dia." Bergetar suara dia nyatakan sambil dia meribakan anak aku. Bebola matanya masih melekat pada kubur Kak Puteri.

Aku tidak mahu mencelah. Mungkin apa yang aku rasai sekarang tidak sama seperti Muhammad rasai. Dia lebih merasai kehilangan isterinya. Dia bukan setakat kehilangan isterinya, tetapi dia kehilangan anaknya juga dalam kemalangan jalan raya itu. Dua nyawa melayang sekaligus, memberikan impak yang besar dalam hidup seorang Tuan Muhammad.

Anak dalam kandungan Kak Puteri baru sahaja berusia empat minggu. Masih awal kandungan Kak Puteri ketika itu. Sungguh, Muhammad tidak tahu akan berita kehamilan Kak Puteri sehinggalah pihak hospital yang maklumkan. Hampir rebah lelaki itu apabila mendapat tahu yang Kak Puteri sedang mengandungkan anaknya saat itu.

"Aku manusia yang tak reti nak bersyukur. Selama ini aku tak pernah nak hargai dia. Kerana aku juga la... Dia berubah." Suara yang penuh kekesalan. Serba sedikit Muhammad menyalahkan dirinya.

Muhammad meraup wajahnya kasar sekaligus menghapuskan sisa air matanya.

Aku jatuh kasihan melihat keadaan Muhammad sekarang. Kehilangan isterinya. Bagaimanakah kalau aku yang berada di tempatnya sekarang? Aku takkan sekuat dia.

Aku jadi gerun bila memikirkan suatu hari nanti, andai kata Adam yang meninggalkan aku dahulu. Aku pejam mata aku rapat. Ya Allah... Aku tak boleh bayangkan, Adam tiada di sisiku suatu hari nanti. Aku sayangkan Adam sepenuh hati aku.

"Semua orang turut merasai kehilangan akak Puteri. Jangan pernah salahkan diri awak atas semua yang terjadi ini. Ini ialah suratan takdir. Allah dan pinjamkan Kak Puteri kepada awak hanya untuk seketika. Sekarang sudah tiba masanya untuk Kak Puteri, kembali kepada-Nya. Kita juga akan kembali kepada Dia suatu hari nanti."

"Tiada apa yang tinggal lagi untuk aku, Hawa. Aku kehilangan segalanya. Aku kehilangan anak dan isteri aku dalam sekelip mata," ujar Muhammad diiringi esak tangisan.

Aku mengerti kekesalannya sekarang kerana aku pernah turut merasai. Dia kehilangan anak di dalam kemalangan jalan raya, begitu juga dengan aku. Aku kehilangan Tuan Riyadh As-Siddiq. Pada mulanya aku juga tidak reda dengan ketentuan Allah. Aku bertanya dekat Dia, kenapa harus ambil anak aku?

Tetapi, aku harus sedar yang aku masih ada Ian. Tuan Ian Al-Fattah. Allah cuma ambil Riyadh... Tapi, Dia masih belum ambil anak aku lagi seorang. Aku sepatutnya bersyukur bukannya salahkan takdir.

Ian yang sedari tadi mengunci mulutnya, mulai berkata sesuatu sambil tangan kecilnya memegang lembut pipi abinya." Kenapa abi menangis?"

"Sebab abi sedih. Abi sedih sangat sekarang Ian."

Ian dengan keprihatinannya, menyeka lembut air mata Muhammad dengan belakang telapak tangannya. Leher Muhammad kembali di rangkul erat. Tidak mahu lepas. Ian meletakkan kepalanya di bahu Muhammad sambil tangan kecilnya itu menepuk perlahan bahu Muhammad.

Comelnya anak aku... Aku tahu Ian sekarang mahu menenangkan abinya. Dengan cara tersendiri.

"Abi menangis la lagi. Ian kan ada. Ian boleh tolong... Tolong kesat air mata abi," tutur Ian lancar.

Aku tersenyum segaris. Rapat sungguh Ian dengan abinya. Secara tidak langsung kehadiran Ian sekarang mampu memecahkan tawa Muhammad di kala ini.

"Umi pun boleh pujuk abi." Tambah anak aku lagi seraya matanya membundar memandang aku di sisinya.

Hai la... Anak aku ni.

Buat sesaat mata aku dan Muhammad saling bertemu.


KEKASIH BAYANGAN [COMPLETED]Where stories live. Discover now