Teaser 8 ( Ready stock)

316 4 0
                                    

Masih Terus Berharap 🌹

“Kenapa duduk sini? Masuklah. Tak baik senja-senja macam ni duduk dekat luar.”

Karl tersenyum kelat. Dia pandang gambar yang diambil ketika mama pernah datang ke sini. Setiap kali mama ada melawatnya, dia akan menangkap gambar mama secara curi-curi.

“Mama memang tak dapat balik ke hari ni?” Jujur dia masih berharap wanita itu akan pulang ke sini. Dapat berjumpa untuk lima minit, sudah cukup untuk dia melepaskan rindu.

“Mama tak dapat balik. Insya-Allah, cuti hujung tahun ni dia datang ambil Karl. Hujung tahun ni Karl dah nak SPM. Kan mama janji nak bawa Karl ke sana lepas SPM.” Puan Raihan cuba menyedapkan hati cucunya.

Karl mendongak ke arah langit. Sudah lebih enam tahun dia ditinggalkan di sini. Alasan yang diberi oleh nenek, sudah dapat dihafal.

“Nek, mama sebenarnya bencikan Karl ke?”

“Hishh…. mana ada. Kan mama selalu telefon Karl.”

“Dia call pun kalau ada sebab. Macam hari ni. Dia call sebab tak jadi nak balik.”

Puan Raihan menarik nafas dalam-dalam. Dia nampak jelas wajah Karl begitu kecewa dengan tindakan anaknya hari ini.

“Tadi Karl ada nampak gambar mama di facebook. Mama tengah bercuti dengan keluarga baru dia. Kenapa dia tak bawa Karl bersama?

Puan Raihan kehilangan ayat. Kalau dulu, mungkin dia boleh mencipta alasan. Sekarang Karl dah berusia 17 tahun. Dah mampu berfikir dengan matang. Serba salah dia dibuatnya.

“Karl nak masuk bilik. Nak solat.”

“Karl tak nak ke masjid hari ini?”

Karl sekadar menggeleng. Dia hanya mahu berkurung di dalam bilik saja. Di bilik, Karl mengunci pintu dari dalam. Malam ini dia tidak mahu diganggu oleh sesiapa.

Di atas katil, dia menatap gambar mama. Tanpa sedar, air matanya mengalir ke pipi. Dalam setahun, hanya beberapa kali saja dia dapat bertemu dengan emak kandungnya. Sejak mama berkahwin lain, makin susah dia bertemu dengan wanita itu.

“Papa, mama… Karl rindu.”

Masih terbayang lagi ketika arwah papa meninggal dunia di atas ribanya. Terasa sempit dadanya untuk bernafas. Wajahnya berubah pucat.

Dia beristigfar di dalam hati. Wajahnya diraup perlahan. Kedua tangannnya masih menggigil. Dia cuba bertenang. Nafas ditarik dalam-dalam. Setiap kali dia teringat kejadian itu, dia pasti sukar untuk bernafas. Perkara ini tidak pernah diceritakan kepada sesiapa.

Dia masih ingat perbualan terakhirnya ketika bersama arwah papa. Kata papa, walaupun dia sudah mempunyai adik, kasih sayang mereka tidak akan berkurangan. Tapi kenapa mama semakin jauh walaupun budak lelaki itu hanya anak tiri?

“Mama dah tak sayangkan Karl. Mama lebih sayangkan orang lain.”

Karl terbaring lemah di katil. Teresak-esak dia menangis. Sudah lama dia rindukan pelukan dan pujukan dari mama. Hubungan mereka semakin jauh. Namun Karl masih  berharap agar wanita itu akan datang mencarinya dan menyayanginya sama seperti dulu.

🌹🌹🌹🌹

EMA bergegas mengangkat pakaian di ampaian. Bila-bila masa saja hujan akan turun. Nasib baiklah dia sedar cuaca semakin mendung. Pakaian yang sudah diangkat, dimasukkan ke dalam bakul.

Dia berlari anak menuju ke pintu dapur. Masuk saja ke dalam rumah, dia bertembung dengan Puan Riyana. Senyuman diberikan kepada wanita anggun itu.

“Aunty baru nak angkat baju tu. Terima kasih, Ema.”

“Tak payahlah aunty cakap macam tu. Ni memang kerja Ema.”

Bakul pakaian itu diangkat dan dibawa ke ruang tamu. Belum sempat dia naik ke tingkat atas, Puan Riyana segera menghalang.

“Letak aje dekat situ. Nanti aunty sendiri bawa naik.”

“Tapi…”

“Tak apa. Ema mesti penat belajar kan. Tadi aunty ada berbual dengan mak Ema, Dia cakap, Ema tengah buat ulangkaji.”

Tersengih-sengih Ema. Mak pun satu. Semua benda nak diberitahu.

“Ha’ah. Bulan depan nak SPM. Tu yang risau. Kepala Ema ni, susah sikit nak masuk ilmu. Kena baca banyak kali baru masuk. Lainlah Naz. Dia pandai.”

Tersenyum wanita itu. Tiba-tiba dia teringatkan anaknya di kampung. Bangga juga dia mendapat tahu Karl sentiasa mendapat keputusan yang cemerlang di sekolah.

“Ema boleh temankan aunty minum petang?”

“Eh, mestilah boleh. Nak Ema buatkan air apa?”

“Buat teh panas. Untuk kita berdua. Uncle keluar hantar barang ke asrama Naz. Jom kita ke dapur. Bakul tu, tinggalkan dekat situ.”

Ema hanya menurut arahan. Dia segera ke dapur untuk membancuh air minuman. Biskut jagung dikeluarkan dari tin ke pinggan. Selepas siap membancuh, dia membawa air dan biskut itu ke meja makan.

“Ini airnya, aunty.”

Puan Riyana mengarahkan gadis itu duduk di sisinya. Ema menuang air ke dalam cawan dan dihulurkan kepada wanita itu. Perlahan-lahan wanita itu mencicip sedikit teh yang masih panas.

“Anak aunty pun ambil SPM bulan depan.”

Hampir tersembur air yang diminumnya. Ema berdeham perlahan menghilangkan rasa perit di tekak. Mulutnya masih ternganga. Wanita itu hanya tergelak kecil melihat reaksi Ema.

“Aunty ada anak?”

“Ada. Lelaki. Umur dia sebaya Ema,” jawab Puan Riyana.

“Mana dia sekarang?”

“Dekat kampung. Dia tinggal dengan mak aunty. Kami jarang berjumpa.”

Tak berkelip mata Ema dibuatnya. Selama ini dia sangkakan wanita itu berstatus bujang ketika berkahwin dengan tuan rumah ini. Baru hari ini dia tahu tentang kewujudan anak lelaki Puan Riyana.

“Kenapa aunty tak bawa dia tinggal dekat sini?”

Terdiam Puan Riyana. Jujur dia tidak mampu menjawab soalan itu. Selama ini, dia sudah berbohong kepada suaminya. Kononnya Karl tidak mahu meninggalkan kampung.

“Biar Ema teka. Mesti dia tak nak tinggal dengan aunty kan. Yalah, ada sesetengah orang ni, dia tak suka mak atau ayah dia kahwin baru. Betul tak?”

Puan Riyana tersenyum kelat.

“Mungkin juga. Suami aunty meninggal tujuh tahun yang lepas. Aunty datang sini untuk cari pekerjaan. Tapi tak sangka aunty dapat rezeki jodoh juga.”

Tergelak mereka berdua.

“Aunty mesti rindu dengan anak aunty tu kan.”

Melihat wanita itu tidak memberi jawapan, Ema semakin pelik. Tapi dia tidak mahu memaksa. Mungkin juga Puan Riyana sedang bersedih.

“Boleh Ema tahu nama anak aunty?”

Puan Riyana pandang wajah Ema. Dia hanya tersenyum. “Rahsia.”

Masam mencuka wajah Ema. Kecewa juga mendengar jawapan Puan Riyana. Tapi bukan cara dia untuk mendesak. Dia capai sekeping biskut jagung dan dicicahkan bersama teh panas.

Puan Riyana masih ralit melihat Ema. Tingkah laku gadis itu, mengingatkan dia kepada Karl. Tubir matanya terasa hangat. Anaknya sangat gemar makan biskut bersama teh panas. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini dia sering teringatkan anaknya.

🌹🌹🌹

Masih Terus Berharap (Tajuk asal Berhenti Berharap)Where stories live. Discover now