Bab 194-Terapung Diatas Kubur

4.9K 40 0
                                    

SETELAH berjaya menawan anak muda dalam jumlah yang ditetapkan. Dia (wanita yang mahu mengekalkan kecantikan) akan mandi air halia pada waktu tengah malam, selama tiga bulan disamping makan jenis-jenis pucuk tertentu. Selama tiga bulan juga tidak boleh menjamah nasi kecuali buah-buahan terutama pisang, betik, mentimun bendang. Pokoknya, jangan makan buahbuahan yang terlalu masam atau terlalu manis. Apakah simati mengamalkan semuanya ini? Sebelum Sham, entah berapa ramai anak muda belia menjadi suaminya. Ke mana dia membawa sejumlah wang yang begitu banyak. Barangkali wang tersebut digunakan dengan sewenang-wenangnya untuk mempengaruhi anakanak muda supaya tertarik padanya yang sekaligus menjadi suaminya. Kenapa wajahnya begitu menakutkan setelah nyawanya bercerai dengan badan. Semua persoalan yang berlegar-legar dalam kepala Datuk, tidak menemui jawapan yang khusus. "Kita buat di sini saja. Itulah permintaan suaminya." "Ahh........ " sahut Datuk. Dan semua yang bermain dalam tempurung kepalanya lenyap. Pak Imam segera mengatur persiapan, menentukan di mana jenazah harus diletakkan, di mana pula apara jemaah harus berdiri. Apa yang direncana dan disusun oleh Pak Imam tidak mendapat bantahan daripada Datuk. "Kalau sudah setuju, biar saya jenguk ke dalam, apakah jenazah sudah dimandikan dan dikafankan." "Jangan begitu kawan," kata Pak Imam sambil merenung biji mata Datuk. Mereka segera berbalas senyum. Tanpa membuang masa, Pak Imam segera membuang masa, Pak Imam segera menghilangkan diri di balik kain tabir yang memisahkan ruang tengah dan ruang dapur. Di situlah jenazah dimandikan. "Kenapa Imam?" Suara Datuk cemas melihat kemunculan Pak Imam dari balik tabir dengan wajah yang pucat. "Tak ada apa-apa." "Mustahil tak ada apa-apa. muka kamu pucat. Gerak geri kamu lain macam saja nampaknya." "Begini," Pak Imam tepuk bahu Datuk. Kemudian, mereka bergerak ke tepi jalan jendela. Sama-sama merenung ke luar, melihat cuaca petang yang kian redup. Orang-orang kampung duduk berserakkan di halaman, bersedia memberi bantuan bila diperlukan. "Apa yang mahu kamu cakapkan imam.?" Tanya datuk. "Begini, Hajah Safiah beritahu, semasa jenazah dimandikan, dari lubang hidungnya keluar semacam nanah. Dari lubang pusatnya pula keluar dari sejenis benda halus sebesar benang, berwarna hitam bila jatuh atas batang pisang terus bergerak-gerak macam cacing tanah masuk ke batang pisang dan keluar semula lalu menggigit kulit mayat dalam jumlah yang banyak. Bila kena air, benda aneh itu hancur menjadi air yang berwarna hitam, macam air limbah dan baunya sungguh busuk. Dari mulutnya keluar buih ombak laut. Mujurlah, semuanya berjaya di atasi oleh Hajah Safiah dan kawan-kawannya," jelas Pak Imam sambil menelan air liur. Wajahnya nampak gusar sekali. "Sudah dikafankan?" Tanya datuk. "Sudah." "Syukurlah, diharapkan selepas ini, tidak ada kejadian yang ganjil terjadi," Datuk melahirkan harapan.

"Saya harap pun begitu juga." "Sekarang ni, bolehlah Pak Imam buat pengumuman menjemput sesiapa yang sudi ikut sembahyang jenazah." "Terima kasih kerana mengingatkan saya." balas Pak Imam.

PELAWA

DARI muka jendela Pak Imam buat pengumuman, mempelawa sesiapa yang sudah untuk bersama-sama menyembahyangkan jenazah. Pelawaan itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Dan sembahyang jenazah pun bermula. Suami simati menangis, dia tidak menyangka orang-orang kampung masih mahu menolongnya. Selama ini, dia beranggapan orang-orang kampung memandang serong padanya dan dia datang ke masjid kerana mahu mencari dukun atau pawang bagi mengubati sakit isterinya. "Kenapa menangis, relakan isteri kamu pergi. Dari Allah dia datang kepada Allah dia kembali," Kata ketua kampung pada suami simati yang menangis tersedu," iringkan pemergiannya dengan doa," sambung ketua kampung. Suami si mati segera memeluk tubuh ketua kampung. "Saya menjauhkan diri dari orang-orang kampung kerana menurut kata isteri saya," suami simati mengadu pada ketua kampung. "Apa katanya?" desak ketua kampung. "Katanya, orang kampung memulaukan dirinya dan saya." "Sekarang kamu lihat sendiri, siapa yang betul. Sudahlah, mari kita tunggu jenazah turun," pujuk ketua kampung. Suamisimati pun akur dengan nasihat ketua kampung. Jenazah pun diturunkan dari rumah dan terus diletakkan dalam pengusung. Penutup pengusung yang dibalut dengan kain bertulis dengan ayat-ayat suci. Ketua kampung memilih dua belas orang pemuda yang berbadan tegap dan sasa. Mereka akan mengusung jenazah secara bergilir-gilir hingga sampai ke liang kubur. Suami simati tidak membantah dengan kumpulan pemuda yang dipilih oleh ketua kampung. "Cuma ada satu permintaan saya tuk ketua," Sham mula bersuara di bawah sinar matahari yang kian mengecil. Di kaki langit kelihatan tompok-tompok awan yang menandakan, dalam tempoh waktu kira-kira dua jam lagi, matahari akan jatuh di kaki langit dan senja pun akan berlenggang turun. "Apa dia permintaan kamu, cakap cepat." "Dalam jarak lebih kurang dua rantai mahu sampai ke lubang kubur, saya mahu memikul pengusung jenazah sebelah kanan." "Kenapa dah dekat baru nak usung jenazah tidak dari mula-mula lagi." "Itu amanat isteri saya tuk ketua. Kalau saya tak tunaikan, buruk padahnya nanti." "Kalau itu amanat arwah isteri kamu, kami tak menghalangnya," kata ketua kampung. Sham tersenyum panjang, kepuasan tergambar diwajahnya. Dialog antara Sham dengan ketua kampung diikuti oleh Datuk dan Haji Basilam dengan teliti. Bagi Datuk, semacam ada sesuatu yang ganjil di atas permintaan suami simati. Mungkin ada muslihat yang tersembunyi, Datuk membuat kesimpulan tersendiri. Pak Imam segera mendekati ketua kampung, mereka berbincang tentang sesuatu. Beberapa minit kemudian, ketua kampung mengarahkan empat pemuda gagah berdiri di empat penjuru pengusung. Pak Imam segera mengambil tempat di kepala tangga, kedua-dua belah kelopak bibimya bergerak. Barangkali dia membaca al-Fatihah. Sebaik saja kelopak bibir Pak Imam berhenti

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 15 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now