Bab 204-Tinggallah DukaTinggallah Sayang

2K 29 0
                                    

SELEPAS pernikahan (Mia-Andi) saya dan datuk cuma mampu bertahan selama seminggu saja di kampung halaman Mia. Datuk pun segera mengatur persiapan untuk pulang ke tanah semenanjung. Abang Mia, lebih awal dari kami.

Tiga hari setelah perkahwinan Mia, dia (abang Mia) pun berangkat ke Jakarta-SingapuraTokyo kerana urusan perniagaannya. Dia juga beijanji mahu berjumpa datuk di PulauPinang. Tarikh, tempat dan waktu akan ditentukan kemudian. Cara mana dia mahu menghubungi datuk yang sentiasa berkelana dari satu tempat ke satu tempat, tidak pula saya ketahui.

Pada hemat saya, datuk akan pulang ke tanah air ikut jalan datang. Ternyata perkiraan saya tidak tepat, datuk memilih jalan pulang ikut pesisir pantai menghala ke utara yang bermula dari Kuala Tungkal dengan melalui beberapa buah pelabuhan hingga sampai ke Belawan.

Datuk merancang singgah diMedan-Deli sehari dua. Kemudian baru uu-nyemberangi Selat Melaka dengan bot dagang dan turun di Batu Uban, Pulau Pinang.

Bila Haji Basilam mengunjungi kami di rumah penginapan, perkara itu segera disampaikan oleh datuk kepadanya.

"Pelik, kamu memang manusia pelik. Suka mencari jalan susah. Kenapa tak balik ikut jalan datang? Bukankah itu lebih mudah dan cepat pula sampai. Kenapa mesti menyusuri pantai sampai ke Deli," itu komen Haji Basilam.

"Aku nak mencari kawan lamayang menetap di Kawasan Istana Deli," jawab datuk.

"Oh, begitu, ada hubungan keluarga dengan kamu?"

'Tak ada, cuma kawan baik saja."

"Kamu memang setia dengan kawan," Haji Basilam senyum sambil menepuk bahu datuk. Mereka ketawa.

"Kawan aku itu ada hubungan dengan kerabat di Raja Perak tapi, tak ada kuasa," kata datuk setelah ketawa mereka terhenti.

"Kenapa tak berkuasa pula? Agaknya, keturunan derhaka."

"Bukan derhaka tetapi, menentang Inggeris lalu dipecat oleh orang Inggeris yang berkuasa di Perak,saudara maranya yang lain dilantik menjadi raja memerintah negeri."

"Itu bukan derhaka tetapi, pahlawan," kata Haji Basilam penuh semangat. Datuk mengangguk lemah.

"Setiap kali dia datang ke Perak menemui kaum keluarganya di sana, dia akan singgah ke rumah aku. Cara kebetulan pula isterinya itu adalah penari di Istana Deli."

"Bila kamu berdua nak bertolak ke sana," cungkil Haji Basilam.

"Dua hari lagi."

"Pengantin baru dah tahu ke belum yang kamu mahu meninggalkan tempat ini?"

Pertanyaan yang diajukan oleh Haji Basilam tidak dijawab oleh datuk. Dia termenung panjang sambil mengkerutkan dahi. Macam, ada sesuatu yang bermain dalam kepala datuk.

"Saya fikir, tak payahlah beritahu mereka," mendadak saja datuk bersuara.

"Kenapa pula?" Pintas Haji Basilam.

"Rasanya, tak manis ganggu pengantin baru."

"Hissss........." sanggah Haji Basilam.

"Saya tak mahu kacau mereka haji."

"Biar aku yang beritahu, lagi pun Mia tu anak angkat aku. Biar dia tahu kalau awak tak bawa si Andi ke sini, besar kemungkinan dia belum dapat bertemu jodoh."

"Mengapa kesitu pula yang difikirkan. Bukankah jodoh pertemuan itu adalah ketentuan dan hal Allah. KepadaNya kita patut mengucapkan syukur. Saya adalah penyebabnya atas gerak Allah juga."

Dialog yang rancak berhenti seketika. Datuk renung lantai. Haji Basilam mengigit bibir. Agaknya, dia berfikir di mana lojiknya kata-kata yang diaturkan oleh datuk sebentar tadi.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 15 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now