Bab 196-Dikejar Ulat Bangkai

2.6K 44 0
                                    

BAGI mempastikan apa yang berada di dalam perut bumi, datuk segera mengambil sepotong kayu yang panjangnya kira-kira tiga kaki. Pada pengamatan saya, kayu tersebut adalah dahan pokok manggis yang patah. Dengan dahan kayu manggis itu juga, datuk menekan permukaan tanah yang berombak. Sungguh mengejutkan, dalam sekelip mata saja dahan manggis yang dibenamkan terus hancur. Bagi menggelakkan kehancuran itu melarat ke bahagian atas, datuk terus menyentap bahagian dahan yang terselamat. Dari lubang kayu yang dicabut, muncul beratus ribu anai-anai dan ulat pemakan bangkai. "Pelik," datuk merunggut. "Memang pelik tuk," secara tidak sengaja saya bersuara. "Humm " datuk seperti mengeluh. Bahagian kayu yang berada ditangan segera dilemparkan ke arah kumpulan anai-anai dan ulat pemakan bangkai yang keluar membuak-buak dari lubang. Merayap dipermukaan bumi, kemudian berebut-rebut masuk ke lubang, saling tindih-menindih, gigit-mengigit. Akibatnya, ada yang mati. Sebaik saja puntung kayu yang dilemparkan oleh datuk jatuh atas tanah milik bekas isteri Syam, ulat pemakan mayat dan anai-anai membuak-huak keluar dari lubang, berkejaran menuju ke arah puntung kayu yang tersadai lalu menghurungnya.

Dalam sekelip mata, puntung kayu itu hilang tanpa kesan. Dan anai-anai serta ulat pemakan mayat kembali berebut-rebut masuk ke lubang. Semua yang terjadi didepan mata, memang tidak masuk di akal. Sukar untuk dipercayai oleh orang lain. "Lihat saja Tamar, jaga mulut jangan celupar," datuk mengingatkan saya sambil merenung ke tanah yang kembali berombak, beralur memanjang menuju ke arah rumah arwah isteri Syam. Bunyi anai-anai dan ulat pemakan bangkai jelas kedengaran seperti desiran angin. Adakalanya, memekakkan anak telinga. "Belum pernah aku melihat kejadian seperti ini," terkeluar ungkapan dari kelopak bibir datuk, matanya tidak berkedip melihat tanah yang beralun dan berombak.

KERING

SEMUA pepokok yang tumbuh di kawasan tanah tersebut kelihatan mati kekeringan. Dedaun yang mati kering berguguran, kulit pohon merkah dan terkoyak. Setiap kali dahan atau ranting yang kering jatuh ke bumi terus hilang dimamah anai-anai dan ulat pemakan bangkai. Saya yakin, sama ada di rempuh angin atau tidak pokok-pokok yang mati kekeringan itu akan rebah ke bumi untuk habuan ulat pemakan bangkai dan anai-anai dibumi. "Sejak bila keadaan jadi begini?" Sepasang anak mata datuk meraut tajam ke wajah Syam. Sebelum meluahkan jawapan, Syam mengkedutkan dahi seolah-olah mengingati sesuatu ditengah-tengah pancaran matahari yang

terik. "Selepas berpisah dengan pakcik di jalan besar, saya terus balik. Tapi, sepanjang malam tu, saya tak dapat tidur." "Kenapa pula?" Soal datuk. "Pintu bilik saya diketuk orang yang bertalu-talu, bila dibuka tak ada apa-apa. Perkara macam tu berlaku setiap malam hingga ke subuh." "Selalunya, pukul berapa pintu bilik kamu mula diketuk?" "Kira-kira pukul sebelas malam, pada kebiasaannya ada tandatanda dulu." "Apa tanda-tandanya," datuk memintas. "Saya terdengar suara anjing menyalak panjang. Sayup-sayup. Kemudian saya terasa seram, bulu roma saya tegak dan saya tercium bau hapak, macam bau bangkai kering. Bila semuanya hilang, barulah pintu bilik saya diketuk. Bila gangguan itu hilang ," Syam tidak meneruskan ceritanya. Syam terus mengigit ibu jari kanan dan menghisapnya macam budak kecil menghisap puting. Biji matanya terbeliak, bila pokok durian dibucu sempadan yang mati kering, cara mendadak tumbang ke bumi. Dalam sekelip mata, anai-anai dan ulat pemakan bangkai menghurungi batang durian hingga hilang tanpa meninggalkan sebarang bekas. Sesungguhnya, apa yang berlaku membuat kami (datuk, saya dan Syam) terpegun kehairanan. Perlahan-lahan datuk gelengkan kepala. Saya tidak dapat menangkap maksud dari gelenggan kepada datuk itu, sama ada bermaksud kagum atau menafikan kejadian yang dilihatnya. "Pedulikan apa yang terjadi, sambung cerita kamu yang terputus tadi, Syam," perlahan sekali nada suara datuk. Tetapi, senyuman untuk Syam bertali arus dikelopak bibirnya. "Bila gangguan itu hilang, saya terdengar macam ada sejenis binatang mengigit kayu yang ada di dalam rumah seperti papan dinding, kayu tingkap, palang pintu. Pendek kata mana-mana alatalat atau perkakas rumah yang dibuat dari kayu. Bila saya ketuk bahagian kayu yang dijangka ada binatang kecil, bunyi bising itu terus hilang." "Masa bila bunyi bising dalam kayu itu betul-betul berhenti?" Tanya datuk. "Bila matahari terbit." "Kamu tidak cuba mengesannya, Syam." "Tidak pula, kerana saya tak perlu. Sebabnya, semua kayu dalam rumah nampak teguh dan utuh."

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 15 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now