Bab 201-Tak Dapat Kawal Perasaan

2.3K 24 0
                                    

SEPANJANG perjalanan hati jadi terhibur dengan telatah sipemandu. Bila melintasi sesuatu kawasan tanpa diminta, dia akan memberi penerangan tentang kawasan tersebut. Apa hasil utama tempat itu dan sejarahnya. Mata pencarian yang menjadi sumber rezeki penduduk di sini.

Andainya, kawasan atau daerah tersebut mempunyai tarian tradisional sendiri, dia akan mengerak-gerakkan leher meniru gaya tarian penduduk di situ. Begitu juga bila menyanyi, tanpa segan silu dia akan mendendangkan lagu asli daerah mengikut loghat bahasa disitu. Habis bercerita tentang sejarah, ada budaya atau kawasan yang kami lalui. Dia akan bercerita tentang dirinya. Sipemandu bagaikan bernostalgia dengan dunia pelaut yang ditinggalkannya. Mulumya tidak mengenal penat menceritakan kota pelabuhan yang disinggahinya.

Pelabuhan Singapura, Pulau Pinang, Kemaman, Kelang tetap tersenarai dalam ingatannya. Di samping beberapa buah pelabuhan terkenal di Eropah dan Afrika. Setiap pelabuhan dia akan mengakhiri waktu malamnya dengan mendakap wanita cantik. Berjudi dan mabuk, perkara lumrah buatnya. "Seronok jadi pelaut bang," kata Andi Kamarool. "Dunia pelaut penuh cabaran, keimanan dan hukum Allah dilanggar secara terang-terangan," jawabnya sambil memulas setering mengikut selekoh jalan ke kanan.

"Tetapi, kamu dapat pengalaman yang berharga. Dapat melihat dunia orang putih, dunia orang hitam dan dunia orang yang kulitnya serupa dengan kulit kita," Haji Basilam masuk campur dalam percakapan. Datuk hanya pasang telinga saja. Saya, terhibur dengan dialog-dialog yang dihamburkan oleh mereka.

"Betul, tapi.............. ," sipemandu tidak meneruskan kata-kata. Dia menumpukan sepenuh perhatian terhadap kereta yang dipandunya. Sebuah lori datang dari depan dengan laju dan terpaksa berselisih disuatu selekoh yang sempat.

DIHIMPIT LORI

AKIBAT dihimpit oleh lori, dia terpaksa ke tepi dan empat tayar keretanya masuk ke dalam rumput. Melanggar lopak dan lubang tepi jalan. Semua yang berada dalam perut kereta tersengguksengguk.

"Drebar yang mementingkan diri sendiri, tak mahu fikir langsung tentang keselamatan diri orang lain," runggut pemandu sebaik sahaja kereta yang dipandunya berada semula diatas jalan raya. "Jangan marah, syukur padaAllah kerana kita semuanya terselamat," datuk memberikan komentar. Semua yang ada dalam perut kereta anggukkan kepala.

"Kita sambung cerita saya tadi," cetus pemandu. "Silakan," balas Haji Basilam. "Memang betul jadi pelaut banyak pengalaman. Tapi, saya tidak mahu anak cucu saya jadi pelaut," tambahnya dengan wajah yang cukup tenang. "Kenapa pula?" soal Andi Kamarool.

Panjang ceritanya, cukuplah saya seorang saja yang mengalaminya. Biarlah kisah pahit manis pelaut menjadi rahsia diri saya," katanya dan terus mematikan cerita tentang dirinya.

Memang Adi Putra terjumlah dalam lelaki yang suka bercerita. Sikapnya itu, menjadikan dirinya popular dan amat disenangi oleh para penumpang keretanya. Buktinya, habis cerita tentang dunia pelaut, dia bercerita tentang pengalaman-pengalaman lucu yang pernah dialaminya.

Saya dan Andi Kamarool ketawa terbahak-bahak dibuatnya. Walaupun tidak ketawa macam kami tetapi, Haji Basilam dan datuk tersenyum juga. "Hidup ni, kalau terlalu serius cepat mati, kalau selalu ketawa tanpa sebab, nanti orang fikir kita gila pula," katanya.

HIDUP

Penjelasan dari Adi Putra mengembirakan Haji Basilam dan datuk. Keraguan dan kesangsian yang terpamir di wajah, tidak kelihatan lagi. "Kalau dah begitu, kita masuk saja," Haji Basilam cuit bahu datuk. "Jum..." jawab datuk. Semua melangkah ke perut restoran. Meja panjang di sudut restoran yang kosong segera kami isi.

Macam biasa, datuk hanya minum air putih. Haji Basilam dengan kopi pekatnya. Saya dan Andi Kamarool tidak melepaskan peluang. Kami makan dengan semahu-mahunya. Makanan yang disediakan memang menyelerakan. Semasa kami menikmati makan pagi Adi Putra menemui seseorang di belakang restoran. Kemudian orang itu, (anak muda berusia sekitar tiga puluhan) diperkenalkan kepada kami sebagai pemilik restoran. Dia merasa bangga dan megah atas kedatangan kami.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 15 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now